1 “Aku telah mengikat perjanjian dengan mataku, bagaimana mungkin kupandang anak dara dengan berahi?
2 Apakah bahagianku daripada Allah di atas, atau harta pusakaku daripada Yang Maha Kuasa di tempat yang tinggi?
3 Bukankah bencana bagi orang yang buruk kelakuannya, dan kemalangan bagi para pelaku kejahatan?
4 Bukankah Allah melihat jalan-jalanku dan menghitung segala langkahku?
5 Jika aku telah berjalan bersama dengan dusta, dan kakiku bergegas menuju tipu daya,
6 biarlah aku ditimbang dengan neraca yang benar supaya Allah mengetahui ketulusan hatiku.
7 Jika langkahku menyimpang dari jalan dan hatiku menuruti pandangan mataku, atau jika noda melekat pada tanganku,
8 biarlah aku menabur lalu orang lain memakan hasilnya, dan biarlah hasil ladangku dicabut sampai ke akarnya.
9 Jika hatiku terpikat kepada perempuan, dan aku menunggu di pintu jiranku,
10 biarlah isteriku menggiling bagi orang lain dan biarlah orang lain menidurinya,
11 kerana hal itu perbuatan keji, kesalahan yang patut dihukum oleh hakim.
12 Itulah api yang menghanguskan sampai ke tempat kebinasaan, itulah yang mencabut seluruh hasilku sampai ke akarnya.
13 Jika aku memandang hina hak hambaku yang lelaki atau yang perempuan ketika mereka berperkara dengan aku,
14 apakah yang boleh kulakukan apabila Allah bertindak? Apabila Dia memeriksa aku, apakah jawapanku kepada-Nya?
15 Bukankah Dia, yang menjadikan aku dalam kandungan, menjadikan orang itu juga? Bukankah Satu juga yang membentuk kami dalam rahim?
16 Jika aku menolak keinginan fakir miskin, membuat sayu mata seorang balu;
17 jika aku memakan makananku sendirian dan anak yatim tidak turut memakannya –
18 malah sejak masa mudaku aku membesarkan dia seperti seorang ayah, sejak dalam kandungan ibuku aku membimbing balu itu;
19 jika aku melihat orang binasa kerana tidak punya pakaian, atau orang melarat tidak punya selimut,
20 dan hatinya tidak memohon berkat bagiku, kerana dia dihangatkan oleh bulu dombaku;
21 jika aku mengacung-acungkan tangan terhadap anak yatim kerana kulihat ada yang menolong aku di pintu gerbang,
22 maka biarlah bahuku lepas daripada belikatku dan lenganku patah daripada persendiannya,
23 kerana aku takut kepada bencana daripada Allah dan di hadapan keluhuran-Nya aku tidak sanggup berbuat apa-apa.
24 Jika aku meletakkan keyakinanku kepada emas atau berkata kepada emas murni, ‘Engkaulah kepercayaanku;’
25 jika aku bersukacita kerana besarnya kekayaanku dan kerana banyaknya perolehan tanganku;
26 jika aku memandang matahari ketika bersinar atau bulan ketika beredar dengan indahnya
27 sehingga diam-diam hatiku terpikat dan mulutku mencium tanganku tanda hormat,
28 maka itu pun kesalahan yang patut dihukum oleh hakim, kerana aku mengingkari Allah yang di atas.
29 Jika aku bersukacita atas kemalangan orang yang membenci aku atau meninggikan diri ketika malapetaka menimpanya –
30 aku tidak membiarkan mulutku berdosa, menuntut nyawa orang itu dengan kutukan;
31 jika kalangan di khemahku tidak berkata, ‘Sesiapa yang tidak dikenyangkan oleh lauk-pauknya?’ –
32 tidak pernah pendatang bermalam di jalan, kerana kubuka pintuku bagi kafilah;
33 jika aku menutupi pelanggaranku seperti yang dilakukan manusia dengan menyembunyikan kesalahanku dalam dadaku,
34 kerana takut kepada orang ramai dan penghinaan kaum keluarga yang mengejutkan aku sehingga aku berdiam diri dan tidak keluar dari pintuku!
35 Ah, kalaulah ada yang mendengar aku! Inilah tanda tanganku! Biarlah Yang Maha Kuasa menjawab aku! Kalaulah ada surat tuduhan yang ditulis oleh pendakwaku!
36 Pastilah aku akan memikulnya di atas bahuku, aku akan mengenakannya seperti mahkota.
37 Aku akan menyatakan jumlah langkahku kepada-Nya. Aku akan menghampiri Dia selaku seorang bangsawan.
38 Jika tanahku menjerit menentang aku dan alur-alur bajaknya menangis bersama-sama;
39 jika aku memakan hasilnya tanpa membayar, atau menyebabkan para pemiliknya kehilangan nyawa,
40 maka biarlah duri tumbuh ganti gandum, dan lalang ganti barli.” Selesailah kata-kata Ayub.