1 Kemudian Ayub menjawab,
2 “Dengarlah baik-baik kata-kataku. Biarlah itu menjadi penghiburanmu.
3 Bersabarlah, aku hendak berbicara. Setelah aku berbicara bolehlah kamu mempersendakan lagi.
4 Adakah keluhanku tertuju kepada manusia? Mengapa hatiku tidak boleh tidak sabar?
5 Pandanglah aku dan tercenganglah, tekapkanlah tangan ke mulut.
6 Jika aku mengingatnya, aku tergoncang. Kengerian mencengkam tubuhku.
7 Mengapakah orang fasiq terus hidup, menjadi tua bahkan bertambah-tambah kekuatannya?
8 Keturunan mereka mapan di hadapan mereka dan bersama dengan mereka, anak cucu mereka di hadapan mata mereka.
9 Rumah-rumah mereka aman, tidak ada yang berasa takut; tongkat penghukuman Allah tidak menimpa mereka.
10 Lembu jantan mereka menjadi pembiak dan tidak gagal, lembu betina mereka beranak dan tidak keguguran.
11 Mereka melepaskan kanak-kanak mereka keluar seperti kawanan domba, anak mereka melompat-lompat.
12 Mereka menyanyi diiringi bunyi rebana dan kecapi, bergembira diiringi bunyi seruling.
13 Mereka menghabiskan hari-hari mereka dalam kemakmuran dan dengan tenang turun ke alam kubur.
14 Padahal mereka berkata kepada Allah, ‘Nyahlah daripada kami! Kami tidak ingin mengenal jalan-jalan-Mu.
15 Apakah Yang Maha Kuasa itu sehingga kami harus beribadat kepada-Nya? Apa faedahnya bagi kami kalau kami berdoa kepada-Nya?’
16 Namun demikian, kemakmuran mereka tidak terletak dalam kuasa mereka sendiri! Maka nasihat orang fasiq itu memang jauh daripadaku.
17 Berapa seringkah pelita orang fasiq dipadamkan, kemalangan menimpa mereka, dan kesakitan dibahagikan Allah kepada mereka dalam murka-Nya?
18 Berapa seringkah mereka seperti jerami yang diterbangkan angin, seperti sekam yang dilayangkan angin puyuh?
19 Kamu berkata, ‘Kerana kesalahan seseorang Allah menyimpan hukuman bagi anak-anaknya,’ tetapi biarlah itu dibalas atas kalangan itu sendiri, supaya mereka tahu!
20 Biarlah matanya sendiri melihat kebinasaannya, biarlah dia sendiri minum daripada murka Yang Maha Kuasa,
21 kerana peduli apa dia dengan keluarganya setelah dia mati, setelah berakhirnya sekian bulan-bulannya?
22 Dapatkah orang mengajarkan pengetahuan kepada Allah, memandangkan Dia juga mengadili orang yang berkedudukan tinggi?
23 Seorang mati dengan sepenuh kekuatannya, dan dalam segala keadaan terjamin dan selesa.
24 Perutnya penuh dengan air susu, sumsum tulangnya masih segar.
25 Seorang yang lain lagi mati dengan hati getir, tanpa pernah menikmati apa yang baik.
26 Namun demikian, mereka sama-sama berbaring dalam debu; belatung menyelubungi mereka.
27 Sesungguhnya, aku tahu apa yang kamu fikirkan dan muslihatmu untuk menzalimi aku.
28 Kamu berkata, ‘Di mana rumah pemuka itu? Di manakah khemah kediaman orang fasiq itu?’
29 Adakah kamu pernah bertanya kepada orang yang lalu-lalang di jalan? Tidakkah kamu memperhatikan petunjuk-petunjuk mereka,
30 bahawa orang jahat terlindung daripada hari bencana dan mereka dibawa menyingkir pada hari kemurkaan Allah?
31 Siapakah yang menggugat kelakuannya di depan mukanya? Sesiapa yang membalas dia selaras dengan perbuatannya?
32 Dia dihantar orang ke kuburan, makamnya dijaga.
33 Gumpalan-gumpalan tanah di lembah terasa sedap baginya. Semua orang mengikuti di belakangnya, sebagaimana orang yang tidak terhitung banyaknya sudah mendahuluinya.
34 Jadi bagaimanakah kamu dapat menghiburkan aku dengan kesia-siaan? Semua jawapanmu hanya menyisakan kemungkaran belaka.”