1 Pada permulaan pemerintahan Zedekia anak Yosia, raja Yehuda, datanglah firman daripada TUHAN kepada Yeremia.
2 Beginilah firman TUHAN kepadaku, “Buatlah tali pengikat dan kuk, lalu pasanglah pada tengkukmu.
3 Kemudian kirimlah pesan kepada raja Edom, raja Moab, raja bani Amon, raja Tirus, dan raja Sidon dengan perantaraan para utusan yang datang ke Yerusalem untuk menghadap Zedekia, raja Yehuda.
4 Suruhlah orang itu menyatakan kepada tuan mereka, ‘Beginilah firman TUHAN alam semesta, Allah Israel: “Inilah yang harus kamu sampaikan kepada tuan-tuanmu:
5 Akulah yang menjadikan bumi serta manusia dan binatang yang ada di atas muka bumi dengan kuasa-Ku yang besar dan lengan-Ku yang terhulur. Aku menyerahkannya kepada orang yang sesuai pada pandangan-Ku.
6 Sekarang, Aku menyerahkan seluruh negeri ini ke dalam tangan Nebukadnezar, raja Babel, hamba-Ku itu. Bahkan binatang liar pun telah Kuserahkan supaya takluk kepadanya.
7 Segala bangsa akan takluk kepadanya, kepada anaknya, dan kepada cucunya, sampailah tiba waktu negerinya sendiri jatuh. Pada waktu itu, banyak bangsa dan raja besar akan menaklukkannya.
8 Jika ada bangsa atau kerajaan yang tidak mahu takluk kepada Nebukadnezar, raja Babel, dan yang tidak mahu merelakan tengkuknya dikenakan kuk raja Babel, maka bangsa itu akan Kuhukum dengan pedang, bencana kebuluran, dan wabak penyakit,” demikianlah firman TUHAN, “sampai Aku menghancurkan mereka dengan perantaraannya.
9 Mengenai kamu, jangan dengarkan nabimu, penenungmu, tukang mimpimu, peramalmu, atau tukang sihirmu yang berkata kepadamu, ‘Kamu tidak akan takluk kepada raja Babel.’
10 Mereka menyampaikan nubuat dusta kepadamu sehingga kamu akan dijauhkan dari tanahmu. Aku akan menghalau kamu sehingga kamu binasa.
11 Tetapi bangsa yang mahu merelakan tengkuknya dikenakan kuk raja Babel dan takluk kepadanya akan Kubiarkan tinggal di tanahnya sendiri, demikianlah firman TUHAN. Mereka akan menggarapnya dan tinggal di situ.” ’ ”
12 Kepada Zedekia, raja Yehuda, kusampaikan pula segala firman itu. Kataku, “Relakanlah tengkukmu dikenakan kuk raja Babel. Takluklah kepadanya dan kepada bangsanya supaya kamu hidup.
13 Mengapa engkau dan rakyatmu harus mati oleh pedang, bencana kebuluran, dan wabak penyakit seperti yang difirmankan TUHAN tentang bangsa yang tidak mahu takluk kepada raja Babel?
14 Jangan dengarkan perkataan para nabi yang berkata kepadamu, ‘Kamu tidak akan takluk kepada raja Babel,’ kerana mereka menyampaikan nubuat dusta kepadamu.
15 ‘Aku tidak mengutus mereka,’ demikianlah firman TUHAN, ‘tetapi mereka menyampaikan nubuat dusta atas nama-Ku, sehingga Aku menghalau kamu dan kamu pun binasa bersama-sama para nabi yang menyampaikan nubuat kepadamu itu.’ ”
16 Aku pun berbicara kepada para imam dan kepada seluruh rakyat itu demikian, “Beginilah firman TUHAN: Jangan dengarkan perkataan para nabimu yang menyampaikan nubuat kepadamu, ‘Sesungguhnya, segala alat kelengkapan Bait TUHAN akan segera dikembalikan dari Babel.’ Mereka menyampaikan nubuat dusta kepadamu.
17 Jangan dengarkan mereka. Takluklah kepada raja Babel, supaya kamu hidup. Mengapa kota ini harus menjadi reruntuhan?
18 Jika mereka memang nabi dan jika firman TUHAN ada pada mereka, biarlah mereka bermohon kepada TUHAN alam semesta, supaya saki-baki alat kelengkapan yang masih ada di Bait TUHAN, di istana raja Yehuda, dan di Yerusalem tidak dibawa pergi ke Babel.
19 Kerana beginilah firman TUHAN alam semesta, mengenai tiang-tiang, kolam, alas-alasnya, serta alat kelengkapan selebihnya yang tersisa di kota ini,
20 yang tidak diambil oleh Nebukadnezar, raja Babel, ketika dia membuang Yekhonya anak Yoyakim, raja Yehuda, dari Yerusalem ke Babel berserta semua bangsawan Yehuda dan Yerusalem –
21 sungguh, beginilah firman TUHAN alam semesta, Allah Israel, mengenai kelengkapan – segala saki-baki alat kelengkapan di Bait TUHAN, di istana raja Yehuda, dan di Yerusalem:
22 ‘Semua itu akan dibawa ke Babel dan akan tinggal di sana sampai hari Aku mendatanginya lagi,’ demikianlah firman TUHAN. ‘Kemudian Aku akan membawa semua itu dan mengembalikannya ke tempat ini.’ ”

Studi Alkitab lengkap, silahkan lihat Alkitab SABDA :: Yeremia 27
Studi Alkitab mobile, silahkan lihat Alkitab Mobi :: Yeremia 27

Download Aplikasi Alkitab Karaoke (BETA) Android:
https://play.google.com/store/apps/details?id=org.sabda.alkitabkaraoke
Kunjungi Alkitab Audio Diglot:
AYT - KJV