1 Pada tahun keempat pemerintahan Yoyakim anak Yosia, raja Yehuda, iaitu tahun pertama pemerintahan Nebukadnezar, raja Babel, datanglah firman kepada Yeremia mengenai seluruh rakyat Yehuda.
2 Firman itu disampaikan Nabi Yeremia kepada seluruh rakyat Yehuda dan kepada seluruh penduduk Yerusalem, katanya,
3 “Dari tahun ketiga belas zaman pemerintahan Yosia anak Amon, raja Yehuda, sehingga hari ini – jadi, sudah selama dua puluh tiga tahun – firman TUHAN datang kepadaku dan aku terus-menerus menyampaikannya kepadamu, tetapi kamu tidak mahu mendengar.
4 TUHAN juga terus-menerus mengutus kepadamu semua hamba-Nya, para nabi, tetapi kamu tidak mahu mendengar dan tidak mahu memasang telinga untuk mendengar.
5 Mereka berkata, ‘Hendaklah setiap orang bertaubat daripada perilaku yang jahat dan daripada segala perbuatan yang jahat, maka kamu akan tinggal di negeri yang dikurniakan TUHAN kepadamu dan kepada nenek moyangmu sejak dahulukala untuk selama-lamanya.
6 Jangan ikuti tuhan-tuhan lain untuk beribadat dan sujud menyembah tuhan-tuhan itu. Jangan bangkitkan murka-Ku dengan buatan tanganmu, supaya Aku tidak mendatangkan malapetaka kepadamu.
7 Tetapi kamu tidak mahu mendengar Aku,’ demikianlah firman TUHAN, ‘sehingga kamu membangkitkan murka-Ku dengan buatan tanganmu, dan menyusahkan dirimu sendiri.’
8 Oleh sebab itu beginilah firman TUHAN alam semesta, ‘Kerana kamu tidak mahu mendengar firman-Ku,
9 sesungguhnya Aku akan mengirim utusan untuk menjemput semua suku bangsa dari utara,’ demikianlah firman TUHAN, ‘dan memanggil Nebukadnezar, raja Babel, hamba-Ku itu. Akan Kubawa mereka untuk menyerang negeri ini, menyerang penduduknya dan semua bangsa di sekitarnya. Akan Kutumpaskan mereka dan Kubuat mereka menjadi kengerian, cemuhan, dan reruntuhan untuk selama-lamanya.
10 Akan Kulenyapkan daripada kalangan mereka suara kegirangan dan suara kegembiraan, suara pengantin lelaki dan suara pengantin perempuan, bunyi batu kisaran dan sinar pelita.
11 Seluruh negeri ini akan menjadi reruntuhan dan ketandusan. Bangsa-bangsa itu akan menghamba kepada raja Babel selama tujuh puluh tahun.
12 Setelah genap tujuh puluh tahun, Aku akan menghukum raja Babel dan bangsa itu kerana kesalahan mereka,’ demikianlah firman TUHAN. ‘Negeri orang Kasdim akan Kujadikan tempat yang sunyi sepi untuk selama-lamanya.
13 Aku akan menimpakan kepada negeri itu segala firman yang telah Kusampaikan tentang dia, iaitu semua yang tertulis dalam kitab ini, yang telah dinubuatkan Yeremia tentang segala bangsa itu.
14 Banyak bangsa dan raja besar akan memperhamba mereka juga. Aku akan membalas mereka setimpal dengan pekerjaan mereka dan setimpal dengan perbuatan tangan mereka.’ ”
15 Beginilah firman TUHAN, Allah Israel, kepadaku, “Ambillah cawan berisi air anggur murka-Ku ini daripada tangan-Ku dan bawanya kepada segala bangsa. Lalu suruhlah segala bangsa yang telah Aku utuskan engkau kepada mereka itu supaya meminum air anggur itu.
16 Mereka akan minum, terhuyung-huyung, dan menjadi gila kerana pedang yang Kukirimkan ke tengah-tengah mereka.”
17 Lalu aku mengambil cawan itu daripada tangan TUHAN dan membuat segala bangsa yang telah TUHAN utuskan aku kepada mereka supaya meminum air anggur itu:
18 Yerusalem dan kota-kota Yehuda berserta raja-rajanya dan para pembesarnya, sehingga semuanya menjadi reruntuhan, kengerian, cemuhan, dan kutukan, sebagaimana nyata pada hari ini;
19 Firaun, raja Mesir, berserta para pegawainya, para pembesarnya, dan seluruh rakyatnya;
20 semua bangsa campuran; semua raja negeri Us; semua raja negeri Filistin (Askelon, Gaza, Ekron, dan saki-baki orang Asdod);
21 Edom, Moab, dan bani Amon;
22 semua raja Tirus, semua raja Sidon, raja-raja daerah pesisir di seberang laut;
23 Dedan, Tema, Bus, dan semua orang yang dipotong tepi rambut mereka;
24 semua raja Arab, dan semua raja bangsa campuran yang berdiam di gurun;
25 semua raja Zimri; semua raja Elam; semua raja Madai;
26 semua raja dari utara, dekat ataupun jauh, seorang demi seorang, dan semua kerajaan dunia yang ada di muka bumi. Raja Sesakh pun akan meminumnya selepas mereka.
27 “Kemudian katakanlah kepada mereka, ‘Beginilah firman TUHAN alam semesta, Allah Israel: Minumlah, mabuklah, dan muntahlah! Robohlah dan jangan bangun lagi, kerana pedang yang akan Kukirim ke tengah-tengah kamu.’
28 Apabila mereka enggan menerima cawan itu daripada tanganmu dan menolak untuk meminumnya, katakanlah kepada mereka, ‘Beginilah firman TUHAN alam semesta: Kamu harus meminumnya.
29 Lihat, Aku mula mendatangkan malapetaka di kota yang disebut dengan nama-Ku – masakan kamu terlepas daripada hukuman? Kamu tidak akan terlepas daripada hukuman, kerana Aku akan mengerahkan pedang terhadap seluruh penduduk bumi, demikianlah firman TUHAN alam semesta.’
30 Mengenai engkau, nubuatkanlah kepada mereka segala firman ini dan katakanlah kepada mereka, ‘TUHAN bergemuruh dari tempat tinggi dan memperdengarkan suara-Nya dari tempat kediaman-Nya yang suci. Dia akan bergemuruh terhadap padang ragut-Nya. Pekikan seperti pekikan para pengirik buah anggur akan diteriakkan-Nya kepada seluruh penduduk bumi.
31 Gaduhnya akan sampai ke hujung bumi, kerana TUHAN berbantah dengan bangsa-bangsa. Dia akan berperkara dengan semua manusia, orang fasiq akan diserahkan-Nya kepada pedang,’ ” demikianlah firman TUHAN.
32 Beginilah firman TUHAN alam semesta, “Lihat, malapetaka terserak daripada bangsa kepada bangsa. Badai besar akan naik dari hujung-hujung bumi.
33 Pada hari itu orang yang dihancurkan TUHAN akan berkaparan dari hujung bumi yang satu sampai ke hujung bumi lainnya. Mereka tidak akan diratapi, tidak akan dikumpulkan, dan tidak akan dikuburkan, melainkan akan menjadi baja kandang di permukaan tanah.
34 Meraung-raunglah dan menjeritlah, wahai para gembala, berguling-gulinglah dalam debu, wahai para pemimpin kawanan domba, kerana sudah genap waktunya bagimu untuk dibantai. Kamu akan jatuh pecah seperti perkakas yang indah.
35 Para gembala tidak akan dapat lari, dan para pemimpin kawanan domba tidak akan dapat terselamat.
36 Terdengar jeritan para gembala, para pemimpin kawanan domba meraung-raung, kerana TUHAN memusnahkan padang rumput mereka.
37 Padang-padang rumput yang damai dijadikan lengang, kerana murka TUHAN yang menyala-nyala.
38 Seperti singa Dia meninggalkan tempat kediaman-Nya. Negeri mereka sudah menjadi tandus, kerana kegarangan si penindas, kerana murka-Nya yang menyala-nyala.”