1 Pada waktu itu, Hizkia jatuh sakit dan hampir mati. Datanglah Nabi Yesaya anak Amos datang menemuinya dan berkata kepadanya, “Beginilah firman TUHAN, ‘Uruskanlah rumah tanggamu, kerana engkau akan mati, dan tidak akan sembuh lagi.’ ”
2 Kemudian Hizkia memalingkan mukanya ke dinding dan berdoa kepada TUHAN,
3 katanya, “Ya TUHAN, semoga Engkau ingat betapa aku telah hidup di hadapan-Mu dengan setia dan tulus hati, serta melakukan apa yang baik di mata-Mu.” Lalu Hizkia menangis tersedu-sedu.
4 Maka firman TUHAN datang kepada Yesaya demikian,
5 “Pergilah dan katakanlah kepada Hizkia, ‘Beginilah firman TUHAN, Allah Daud, leluhurmu, “Telah Kudengar doamu dan telah Kulihat air matamu. Sesungguhnya, Aku akan menambahkan umurmu lima belas tahun lagi.
6 Aku akan melepaskan engkau dan kota ini daripada tangan raja Asyur. Aku akan melindungi kota ini.
7 Inilah tanda bagimu daripada TUHAN, bahawa TUHAN akan melaksanakan firman yang telah disampaikan-Nya itu:
8 Sesungguhnya, Aku akan memundurkan bayang-bayang penanda yang jatuh di jenjang matahari buatan Ahas, sepuluh jenjang ke belakang.’ ” Maka mundurlah matahari sepuluh anak tangga dari jarak yang telah ditempuhnya.
9 Tulisan Hizkia, raja Yehuda, setelah dia sakit dan sembuh daripada penyakitnya itu.
10 Aku berkata, “Pada pertengahan umurku aku harus memasuki pintu gerbang alam kubur dan kehilangan tahun-tahunku yang masih berbaki.”
11 Aku berkata, “Aku tidak akan melihat TUHAN lagi; ya, TUHAN, di negeri orang hidup. Aku tidak akan memandang manusia lagi serta penduduk dunia.
12 Kediamanku dibongkar dan dibuka seperti khemah seorang gembala. Seperti tukang tenun aku menggulung hidupku. Dia memutuskan nyawaku daripada benang lungsin. Dari siang sampai malam Engkau menghancurkan aku.
13 Aku menenangkan diriku sampai pagi hari, tetapi seperti singa, demikianlah Dia mematahkan semua tulangku. Dari siang sampai malam Engkau membawaku ke akhir hidupku.
14 Seperti burung layang-layang atau burung bangau, demikianlah aku mencicit. Aku merintih seperti burung merpati, mataku redup kerana terus menengadah. Ya Tuhan, aku tertekan! Jadilah jaminan bagiku!
15 Apakah yang dapat kukatakan? Dia sudah berfirman kepadaku dan Dia sendiri sudah melakukannya. Aku akan berjalan perlahan-lahan sepanjang usia hidupku, kerana kepahitan jiwaku.
16 Ya Tuhan, oleh hal-hal tertentu manusia hidup, dan oleh semua itu pula rohku hidup. Sembuhkanlah aku dan hidupkanlah aku.
17 Sesungguhnya, kepahitan yang dalam mendatangkan kesejahteraan bagiku. Kerana kasih-Mu kepada jiwaku, Engkau telah melepaskannya daripada lubang kebinasaan. Engkau telah melemparkan segala dosaku ke belakang-Mu.
18 Alam kubur tidak dapat mengucap syukur kepada-Mu, maut tidak dapat memuji-muji Engkau; orang yang turun ke liang kubur tidak dapat lagi mengharapkan kesetiaan-Mu.
19 Orang hidup, ya, orang hiduplah yang mengucap syukur kepada-Mu, seperti yang kulakukan pada hari ini. Para bapa akan bercerita kepada anak mereka tentang kesetiaan-Mu.
20 TUHAN telah menyelamatkan aku, sebab itu kita hendak memainkan muzik kecapi seumur hidup kita di dalam Bait TUHAN.”
21 Kemudiannya Yesaya berkata, “Ambillah ramasan buah ara dan lekapkanlah pada bisul itu, maka bisul itu akan sembuh.”
22 Lalu Hizkia bertanya, “Apakah tandanya bahawa aku akan pergi ke Bait TUHAN?”

Studi Alkitab lengkap, silahkan lihat Alkitab SABDA :: Yesaya 38
Studi Alkitab mobile, silahkan lihat Alkitab Mobi :: Yesaya 38

Download Aplikasi Alkitab Karaoke (BETA) Android:
https://play.google.com/store/apps/details?id=org.sabda.alkitabkaraoke
Kunjungi Alkitab Audio Diglot:
AYT - KJV