1 Sesungguhnya, TUHAN akan menyayangi Yakub dan akan memilih Israel lagi, lalu menempatkan mereka di tanah mereka. Para pendatang akan bergabung dengan mereka dan menyatukan diri dengan keturunan kaum Yakub.
2 Bangsa-bangsa akan menjemput mereka dan menghantar mereka pulang ke tempatnya. Keturunan kaum Israel akan memiliki orang itu sebagai hamba lelaki dan perempuan di bumi TUHAN. Mereka akan menawan orang yang dahulunya menawan mereka dan berkuasa atas para penindas mereka.
3 Pada waktu TUHAN mengurniakan kepadamu kelegaan daripada kesusahan, keresahan, dan kerja berat yang dipaksakan ke atasmu,
4 maka engkau akan mengucapkan ibarat ini mengenai raja Babel dan berkata, “Betapa si penindas berakhir! Keganasannya sudah berakhir!
5 TUHAN telah mematahkan tongkat orang fasiq, iaitu tongkat kerajaan para penguasa,
6 yang memukul bangsa-bangsa dalam kegeraman dengan pukulan yang tidak terputus, yang memerintah bangsa-bangsa dalam kemurkaan dengan seksaan yang tiada henti-hentinya.
7 Seluruh bumi tenteram dan sentosa, semuanya bergembira dengan sorak-sorai.
8 Bahkan pokok-pokok sanubar dan pokok-pokok araz di Lebanon bergembira kerana engkau, kata mereka, ‘Sejak engkau terbujur kaku, tidak ada lagi yang naik ke mari untuk menebang kami.’
9 Alam kubur di bawah bergetar untuk menyambut kedatanganmu. Dibangunkannya para arwah bagimu, iaitu semua bekas pemimpin di bumi. Semua mantan raja bangsa-bangsa dibangkitkannya dari takhta mereka.
10 Mereka semua akan berbicara dan berkata kepadamu, ‘Engkau juga sudah menjadi lemah seperti kami! Engkau sudah menjadi seperti kami!’
11 Kemegahanmu sudah diturunkan ke alam kubur dengan bunyi gambusmu. Dengan berenga terhampar di bawahmu dan ulat-ulat menjadi selimutmu.
12 Betapa engkau jatuh dari langit, wahai Bintang Timur, anak fajar! Engkau ditumbangkan ke bumi, wahai penakluk bangsa-bangsa!
13 Engkau tadinya berkata dalam hatimu, ‘Aku hendak naik ke langit. Aku hendak meninggikan takhtaku mengatasi bintang-bintang Allah. Aku hendak duduk di gunung pertemuan, di hujung sebelah utara.
14 Aku hendak naik mengatasi ketinggian awan-awan. Aku hendak menyamai Yang Maha Tinggi!’
15 Tetapi engkau malah diturunkan ke alam kubur, ke hujung liang kubur.
16 Orang yang melihat engkau akan mengamat-amati dan memperhatikan engkau, lalu berkata, ‘Inikah dia yang membuat bumi gementar, yang menggoncangkan kerajaan-kerajaan,
17 yang menjadikan dunia seperti gurun dan meruntuhkan kota-kotanya, yang tidak melepaskan para tahanannya pulang ke rumah?
18 Semua mantan raja bangsa-bangsa terbaring dalam kemuliaan di permakaman masing-masing,
19 tetapi engkau terbuang dari kuburmu, seperti cabang yang dipandang keji. Engkau berselubungkan kalangan yang terbunuh yang ditikam pedang, yang turun ke tempat batu-batu liang kubur seperti bangkai yang terinjak-injak.
20 Engkau tidak akan disatukan dengan mereka di dalam kubur, kerana engkau telah memusnahkan negerimu dan membunuh rakyatmu. Keturunan orang yang berbuat jahat tidak akan disebut-sebut untuk selama-lamanya.
21 Siapkanlah tempat pembantaian bagi anak-anak mereka kerana kesalahan nenek moyang mereka. Mereka tidak boleh bangkit menduduki dunia dan memenuhi permukaan bumi dengan kota-kota.”
22 “Aku akan melawan mereka,” demikianlah firman TUHAN alam semesta. “Aku akan melenyapkan Babel, baik namanya, saki-bakinya, mahupun anak dan cucu-cicitnya,” demikianlah firman TUHAN.
23 “Aku akan membuatnya menjadi milik landak dan menjadi paya-paya berair. Aku akan menyapunya dengan penyapu pemusnahan,” demikianlah firman TUHAN alam semesta.
24 TUHAN alam semesta, telah bersumpah, firman-Nya, “Sesungguhnya, seperti yang Kurancangkan, demikianlah akan terlaksana, dan seperti yang Kurancangkan, demikianlah akan terlaksana.
25 Aku akan menghancurkan orang Asyur di tanah-Ku, dan menginjak-injak mereka di atas gunung-gunung-Ku. Kuk akan dibuang daripada umat-Ku dan beban akan disingkirkan daripada bahu mereka.
26 Inilah rancangan yang telah ditetapkan untuk seluruh bumi dan inilah tangan yang terhulur menentang segala bangsa.
27 Apabila TUHAN alam semesta, sudah menetapkan, siapa dapat membatalkan? Tangan-Nya sudah terhulur, siapa dapat mengembalikannya lagi?”
28 Pada tahun mangkatnya Raja Ahas, datanglah pernyataan ilahi ini:
29 wahai seluruh Filistea, jangan gembira kerana rotan orang yang memukul engkau sudah patah, sebab daripada akar ular itu akan muncul ular berbisa dan buahnya akan menjadi ular naga terbang.
30 Yang termiskin di antara fakir miskin akan mendapat makanan dan orang sesak berbaring dengan aman, tetapi Aku akan mematikan akarmu dengan kelaparan, saki-baki orangmu akan dibunuh.
31 Meraung-raunglah, wahai pintu gerbang! Menjeritlah, wahai kota! Cemaslah, wahai seluruh Filistea! Kerana asap tiba dari utara, dan tidak ada yang mengundurkan diri daripada pasukan itu.
32 Jawapan apakah yang akan diberikan kepada para utusan bangsa itu? “TUHAN telah mengasaskan Sion dan kalangan yang tertindas antara umat-Nya akan berlindung di dalamnya.”

Studi Alkitab lengkap, silahkan lihat Alkitab SABDA :: Yesaya 14
Studi Alkitab mobile, silahkan lihat Alkitab Mobi :: Yesaya 14

Download Aplikasi Alkitab Karaoke (BETA) Android:
https://play.google.com/store/apps/details?id=org.sabda.alkitabkaraoke
Kunjungi Alkitab Audio Diglot:
AYT - KJV