1 Jangan bersukacita, wahai Israel! Jangan bergembira seperti bangsa-bangsa lain, atas sebab kekufuran engkau telah meninggalkan Allahmu. Engkau menyukai upah pelacuran di segala tempat pembantingan gandum.
2 Tempat pembantingan gandum dan tempat pemerasan anggur tidak akan memberi mereka makan. Air anggur baru pun akan mengecewakan mereka.
3 Mereka tidak akan tinggal di negeri TUHAN tetapi Efraim akan kembali ke Mesir, dan di Asyur mereka akan memakan makanan yang najis.
4 Mereka tidak akan mencurahkan persembahan minuman air anggur kepada TUHAN, korban-korban sembelihan mereka tidak akan menyenangkan Dia. Roti mereka seperti roti kalangan yang berkabung, semua yang memakannya akan bernajis. Roti mereka itu untuk diri mereka sendiri, dan tidak akan masuk ke dalam Bait TUHAN.
5 Apakah yang akan kamu lakukan pada hari perayaan, pada hari perayaan bagi TUHAN?
6 Sekalipun mereka pergi menghindari pemusnahan, Mesir akan mengumpulkan mereka, Memfis akan menguburkan mereka. Barang-barang perak mereka yang berharga akan ditutupi jelatang, onak duri akan tumbuh di khemah-khemah mereka.
7 Hari-hari penghukuman telah tiba, hari-hari pembalasan telah tiba, Israel akan menyedarinya. Nabi dianggap orang bodoh, orang yang diilhami roh dianggap orang gila, kerana begitu besarnya kesalahanmu dan hebatnya permusuhan itu.
8 Nabi, bersama-sama Allahku, ialah penjaga Efraim, tetapi jerat pemikat burung ada di segala jalannya. Permusuhan ada di Bait Allahnya.
9 Mereka begitu dalam di kancah kehinaan seperti pada hari-hari Gibea. Allah akan mengingat kesalahan mereka dan akan membalas dosa-dosa mereka.
10 “Dahulu Kudapati Israel seperti buah anggur di gurun. Kulihat nenek moyangmu seperti buah pertama pokok ara pada permulaan musim. Akan tetapi, mereka pergi kepada Baal-Peor, dan membaktikan diri kepada berhala yang aib, sehingga mereka jadi menjijikkan seperti apa yang dicintai mereka itu.
11 Kemuliaan Efraim terbang seperti burung, sehingga tidak ada orang yang melahirkan, yang hamil, atau yang mengandung.
12 Sekalipun mereka membesarkan anak-anak mereka, akan Kugugurkan mereka sehingga tidak ada manusia lagi. Ya, malanglah mereka apabila Aku menjauhi mereka.
13 Kulihat Efraim seperti Tirus, tertanam di tempat yang menyenangkan. Tetapi Efraim akan membawa anak-anaknya kepada si pembunuh.”
14 Kurniakanlah kepada mereka, ya TUHAN – apa yang akan Kaukurniakan? Kurniakanlah kepada mereka rahim yang keguguran anak dan buah dada yang kering.
15 “Segala kejahatan mereka memang sudah ada di Gilgal, di sanalah Aku mulai membenci mereka. Kerana kekejaman segala perbuatan mereka, akan Kuhalau mereka dari Bait-Ku. Aku tidak akan mengasihi mereka lagi. Semua pembesar mereka pemberontak.
16 Efraim dipalu, akarnya mengering, mereka tidak berbuah. Bahkan sekalipun mereka melahirkan anak, akan Kumatikan buah kandungan yang dikasihi mereka itu.”
17 Allahku akan membuang mereka, kerana mereka tidak mematuhi Dia. Mereka akan menjadi pengembara di antara bangsa.