1 Dengarlah firman TUHAN, wahai orang Israel, kerana TUHAN ada sungutan tentang penduduk negeri ini: “Tidak ada kesetiaan, tidak ada kasih, malah juga tidak ada pengetahuan akan Allah di negeri ini.
2 Yang ada hanyalah mengutuk, berbohong, membunuh, mencuri, dan berzina! Mereka langsung tidak mengendahkan segala larangan, dan penumpahan darah menyusul penumpahan darah.
3 Oleh sebab itu negeri ini berkabung, seluruh penghuninya merana, termasuklah segala mergastua di padang dan burung di udara. Bahkan ikan-ikan di laut pun lenyap.”
4 Namun begitu, jangan ada seorang pun yang berani membantah, jangan seorang pun berani mengherdik, kerana bangsamu itu seperti orang yang berbantah-bantah dengan imam.
5 Engkau tersandung pada siang hari dan nabi pun tersandung bersama-samamu pada malam hari. Aku akan membinasakan Israel, ibumu.
6 Umat-Ku binasa kerana kurang ilmu pengetahuan. Kerana sedemikian engkau menolak ilmu pengetahuan, maka Aku pun menolak engkau menjadi imam bagi-Ku. Kerana engkau telah melupakan hukum Allahmu, maka Aku pun akan melupakan anak-anakmu.
7 Semakin ramai imam itu, semakin bertambah-tambah dosa mereka terhadap Aku. Oleh sebab itu Aku akan mengubah kemuliaan mereka menjadi kehinaan.
8 Mereka mendapat rezeki daripada berdosanya umat-Ku, lantas mereka mengharapkan umat-Ku terus dalam kemungkaran.
9 Maka akan terjadi: sebagaimana nasib umat, demikianlah nasib imam. Aku akan menghukum mereka kerana perilaku mereka dan membalas mereka menurut perbuatan mereka.
10 Mereka akan makan tetapi tidak kenyang, mereka akan berzina tetapi tidak menjadi semakin ramai, kerana mereka telah meninggalkan TUHAN dan menduakan-Nya dengan menyembah tuhan-tuhan lain.
11 Persundalan, air anggur dan air anggur baru menghilangkan akal.
12 Umat-Ku meminta petunjuk daripada berhala kayu dan mendapat pernyataan daripada tongkat faal. Mereka disesatkan oleh roh kekufuran, dan berbuat kemungkaran dengan menyeleweng daripada Allah mereka.
13 Mereka mempersembahkan korban di atas puncak-puncak gunung, membakar dupa di atas bukit-bukit, di bawah pokok oak, pokok hawar, dan pokok rimbun, kerana naungannya baik. Maka para anak perempuanmu melacur dan para menantu perempuanmu berzina.
14 Aku tidak akan menghukum para anak perempuanmu apabila mereka melacur, atau para menantu perempuanmu apabila mereka berzina, kerana kaum lelaki sendiri pergi menyisih untuk bergaul dengan pelacur dan mempersembahkan korban bersama dengan para pelacur kuil. Maka bangsa yang tidak berpengertian itu akan mengalami kemusnahan.
15 Kalaupun engkau berlaku kufur, wahai Israel, jangan sampai Yehuda turut bersalah! Jangan pula datang ke Gilgal, jangan naik ke Bet-Awen dan jangan bersumpah, ‘Demi TUHAN yang hidup!’
16 Israel keras kepala seperti lembu yang ketegar. Masakan sekarang TUHAN menggembala mereka seperti domba di padang yang luas?
17 Efraim bersekutu dengan berhala-berhala. Biarkanlah dia!
18 Minuman keras mereka habis, mereka terus-menerus berzina. Para penguasanya sangat menyukai keaiban.
19 Angin membungkus mereka dengan sayap-sayapnya dan mereka akan mendapat aib bahana korban-korban yang dipersembahkan mereka kepada berhala itu.

Studi Alkitab lengkap, silahkan lihat Alkitab SABDA :: Hosea 4
Studi Alkitab mobile, silahkan lihat Alkitab Mobi :: Hosea 4

Download Aplikasi Alkitab Karaoke (BETA) Android:
https://play.google.com/store/apps/details?id=org.sabda.alkitabkaraoke
Kunjungi Alkitab Audio Diglot:
AYT - KJV