1 Kembalilah, wahai Israel, kepada TUHAN, Allahmu, kerana engkau telah tersandung akibat kesalahanmu.
2 Bawalah kata-kata penyesalan berserta kamu dan kembalilah kepada TUHAN. Katakanlah kepada-Nya, “Ampunkanlah segala kesalahan kami dan terimalah apa yang baik, maka kami akan mempersembahkan pujian seperti korban lembu jantan.
3 Asyur tidak dapat menyelamatkan kami. Kami tidak mahu menunggang kuda, dan tidak akan lagi berkata, ‘Ya Allah kami,’ kepada hasil buatan tangan kami, kerana dalam Engkaulah anak yatim mendapat rahmat.”
4 “Aku akan menyembuhkan mereka daripada kemurtadan mereka, Aku akan mencintai mereka dengan sukarela, kerana murka-Ku telah surut daripada mereka.
5 Aku akan menjadi seperti embun bagi Israel. Dia akan berbunga seperti bunga bakung dan menjulurkan akar-akarnya seperti pokok araz Lebanon.
6 Cabang-cabangnya akan menyebar. Keelokannya akan seperti pokok zaitun dan keharumannya seperti Lebanon.
7 Mereka yang duduk di bawah naungannya akan tumbuh kembali seperti gandum. Mereka akan berbunga seperti pokok anggur, kemasyhurannya seperti air anggur Lebanon.
8 Efraim, apakah lagi urusan-Ku dengan berhala-berhala? Akulah yang menjawab dan memperhatikan engkau. Aku seperti pokok sanubar yang hijau, daripada-Ku kaudapatkan buahmu.”
9 Siapakah yang bijak? Dia akan mengerti hal-hal ini. Siapakah yang berpengertian? Dia akan mengetahuinya. Jalan TUHAN itu lurus dan orang benar akan menempuhnya, tetapi orang derhaka akan jatuh di situ.