1 Maka berkatalah bani Efraim kepada Gideon, “Mengapakah kamu memperlakukan begini terhadap kami? Mengapa engkau tidak memanggil kami ketika engkau memerangi orang Midian?” Lalu mereka membantah dengan kasar terhadapnya.
2 Dia menjawab kepada mereka, “Apa sangat perbuatanku dalam hal ini berbanding dengan kamu? Bukankah hasil pemetikan susulan bani Efraim lebih baik daripada tuaian buah anggur bani Abiezer?
3 Allah telah menyerahkan Oreb dan Zeeb, kedua-dua orang raja Midian itu ke dalam tanganmu; apa sangat pencapaianku jika dibandingkan dengan kamu?” Setelah dia berkata demikian, redalah marah mereka terhadapnya.
4 Ketika Gideon serta pasukan tiga ratus orang warga itu tiba di Sungai Yordan lalu menyeberangi sungai itu dalam keadaan letih namun masih mengejar musuh,
5 berkatalah dia kepada bani Sukot, “Tolong berikan roti kepada warga yang mengikuti aku ini, kerana mereka keletihan, dan aku sedang mengejar Zebah dan Salmuna, raja-raja Midian.”
6 Namun demikian, para pemimpin bani Sukot menempelaknya, “Sudahkah Zebah dan Salmuna berada dalam tanganmu sehingga harus kami berikan roti kepada tenteramu?”
7 Lantas Gideon menjawab, “Kalau begitu, setelah TUHAN menyerahkan Zebah dan Salmuna ke dalam tanganku, aku akan membanting tubuhmu dengan onak dan duri dari gurun.”
8 Maka berjalanlah dia dari Sukot ke Penuel, dan berkata begitu juga kepada bani Penuel, tetapi mereka itu juga menjawab sama seperti bani Sukot.
9 Maka berkatalah dia juga kepada bani Penuel, “Apabila aku selamat kembali, aku akan merobohkan menara ini.”
10 Ketika itu, Zebah dan Salmuna berada di Karkor bersama-sama bala tentera mereka seramai kira-kira lima belas ribu orang, yakni antara orang dari sebelah timur yang masih hidup setelah terkorbannya seratus dua puluh ribu orang askar yang bersenjatakan pedang.
11 Maralah Gideon melalui laluan kalangan yang diam di dalam khemah di sebelah timur Nobah dan Yogbeha, lalu menyerang tentera itu yang tidak menyedari mereka bakal diserang.
12 Zebah dan Salmuna melarikan diri namun Gideon mengejar dan berjaya menawan kedua-dua orang raja Midian, iaitu Zebah dan Salmuna serta menumpaskan seluruh tentera musuh itu.
13 Maka kembalilah Gideon anak Yoas dari medan perang melalui kawasan curam di Heres.
14 Dia menangkap seorang muda bani Sukot. Setelah disoal pemuda itu menulis untuknya nama para pemimpin serta tua-tua bani Sukot, kesemuanya seramai tujuh puluh tujuh orang.
15 Pergilah Gideon menemui bani Sukot sambil berkata, “Inilah Zebah dan Salmuna yang menjadi penyebab kamu mencela aku dengan berkata, ‘Sudahkah Zebah dan Salmuna itu dalam tanganmu, sehingga kami harus memberikan roti kepada tenteramu yang keletihan itu?’ ”
16 Dihimpunkannya para tua-tua kota itu, dan diambilnya onak dan duri gurun lalu dibantingnya tubuh orang Sukot dengan onak dan duri itu.
17 Menara Penuel dirobohkannya dan warga kota itu dibunuhnya.
18 Kemudian dia bertanya kepada Zebah dan Salmuna, “Bagaimanakah rupa orang yang telah kamu bunuh di Tabor itu?” Jawab mereka, “Mereka itu serupa dengan engkau, masing-masing mirip seperti anak raja.”
19 Berkatalah Gideon, “Mereka itu saudara-saudaraku, anak-anak ibuku! Demi TUHAN yang hidup, jika kamu membiarkan mereka hidup, aku tidak akan membunuh kamu.”
20 Dia berkata kepada Yeter, anak sulungnya, “Bangunlah, bunuhlah mereka.” Akan tetapi, pemuda itu tidak menghunus pedangnya kerana dia yang masih muda mentah itu berasa takut.
21 Maka katalah Zebah dan Salmuna, “Bangunlah dan lakukanlah sendiri kerana seperti orangnya, demikian pula kekuatannya.” Maka bangunlah Gideon membunuh Zebah dan Salmuna, kemudian diambilnya hiasan berbentuk bulan sabit pada leher kesemua unta mereka.
22 Berkatalah orang Israel kepada Gideon, “Jadilah pemerintah kami, baik engkau mahupun anakmu dan cucumu, kerana engkaulah yang telah menyelamatkan kami daripada kuasa orang Midian.”
23 Tetapi Gideon menjawab, “Aku tidak akan memerintah kamu dan juga anakku tidak akan memerintah kamu tetapi TUHAN yang memerintah kamu.”
24 Selanjutnya, kata Gideon kepada mereka, “Satu hal sahaja yang kuminta daripadamu. Baiklah kamu masing-masing memberikan anting-anting daripada jarahannya.” (Orang Midian itu biasa memakai anting-anting emas. Mereka sama seperti orang Ismael).
25 Mereka menjawab, “Kami pasti memberikannya dengan senang hati.” Lalu dihamparkan sehelai kain dan masing-masing melemparkan anting-anting daripada jarahannya ke atas kain itu.
26 Adapun jumlah berat anting-anting emas yang dimintanya itu seribu tujuh ratus syikal emas, namun ada lagi perhiasan bentuk bulan sabit, perhiasan telinga dan pakaian kain warna ungu yang dipakai oleh raja-raja Midian, dan belum terhitung kalung pada leher unta-unta mereka.
27 Maka Gideon membuat efod daripada semua barang itu dan menempatkannya di kotanya, di Ofra. Di sanalah orang Israel melacurkan diri dengan menyembah efod itu; dan efod itulah yang menjadi jerat bagi Gideon dan seisi rumahnya.
28 Maka orang Midian tunduk kepada orang Israel dan tidak dapat menegakkan kepala mereka lagi. Amanlah negeri itu selama empat puluh tahun dalam zaman Gideon.
29 Lalu Yerubaal anak Yoas berangkat dan mendiami rumahnya sendiri.
30 Gideon mempunyai tujuh puluh orang anak lelaki, semua anak kandungnya, kerana dia mempunyai ramai isteri.
31 Gundiknya yang tinggal di Sikhem juga melahirkan seorang anak lelaki yang dinamakan Abimelekh.
32 Gideon anak Yoas mati setelah lanjut usianya. Dia dikuburkan di dalam makam Yoas, ayahnya, di Ofra kota bani Abiezer.
33 Setelah Gideon mati, orang Israel berbuat mungkar melacurkan diri dengan menyembah Baal dan menjadikan Baal-Berit sebagai tuhan mereka.
34 Orang Israel tidak lagi mengingati betapa TUHAN, Allah mereka telah melepaskan mereka daripada cengkaman penganiayaan semua musuh di sekeliling mereka,
35 ataupun menunjukkan kebaikan kepada keturunan Yerubaal iaitu Gideon, setimpal dengan segala jasa baiknya kepada orang Israel.

Studi Alkitab lengkap, silahkan lihat Alkitab SABDA :: Hakim-hakim 8
Studi Alkitab mobile, silahkan lihat Alkitab Mobi :: Hakim-hakim 8

Download Aplikasi Alkitab Karaoke (BETA) Android:
https://play.google.com/store/apps/details?id=org.sabda.alkitabkaraoke
Kunjungi Alkitab Audio Diglot:
AYT - KJV