1 Terjadilah pada zaman ketika tiada raja memerintah Israel, di bahagian paling terpencil di pergunungan Efraim tinggal seorang Lewi yang mengambil seorang gundik dari Betlehem-Yehuda.
2 Tetapi gundiknya curang terhadapnya lalu pergi daripadanya dan diam di rumah ayahnya di Betlehem-Yehuda. Dia berada selama empat bulan lamanya di rumah ayahnya.
3 Lantas bertindaklah suaminya lalu pergi menyusul perempuan itu untuk memujuknya dan membawanya pulang. Bersama-samanya dia membawa seorang hamba dan sepasang keldai. Lalu perempuan itu membawanya masuk ke rumah ayahnya, dan ketika ayahnya melihat lelaki itu, amat sukacitalah dia menemui menantunya.
4 Mertuanya pun menahannya maka tinggallah dia selama tiga hari bersama-sama mertuanya dan makan, minum dan bermalam di sana.
5 Pada hari yang keempat, ketika mereka bangun pagi-pagi lagi dan ketika orang Lewi itu berkemas untuk pergi, berkatalah ayah perempuan itu kepada menantunya, “Alasilah perutmu dahulu dengan sekeping roti, kemudian bolehlah kamu pergi.”
6 Maka duduklah mereka, lalu mereka makan dan minum bersama-sama. Kata ayah perempuan itu kepada lelaki itu, “Sudilah kiranya untuk tinggal bermalam dan biarlah hatimu gembira.”
7 Ketika lelaki itu bangun untuk pergi juga, mertuanya tetap mendesaknya sehingga dia akhirnya tinggal untuk bermalam lagi di sana.
8 Pada hari yang kelima, ketika dia bangun pagi-pagi untuk pergi, berkatalah ayah perempuan itu, “Mari, segarkanlah dirimu dahulu, dan tinggallah sebentar lagi, sampai lepas tengah hari.” Lalu makanlah kedua-dua mereka.
9 Ketika lelaki itu bangun untuk pergi bersama-sama gundiknya serta hambanya, berkatalah mertuanya kepadanya, “Lihatlah, hari sudah menjelang petang dan matahari telah mulai turun; baiklah tinggal bermalam, lihat, matahari hampir terbenam, bermalamlah di sini dan biarlah hatimu gembira. Esok kamu dapat bangun pagi-pagi untuk berjalan dan pulang ke rumahmu.”
10 Akan tetapi, lelaki itu enggan bermalam lagi di situ lalu dia berkemas, dan pergi. Maka sampailah dia di daerah yang bersetentang dengan Yebus (iaitu Yerusalem) dan bersama-samanya ada sepasang keldai yang berpelana serta gundiknya.
11 Ketika mereka menghampiri Yebus, matahari telah hampir terbenam, lalu hambanya berkata kepadanya, “Tuan, mari kita singgah dan bermalam di kota orang Yebus ini.”
12 Tetapi tuannya menjawab, “Kita tidak akan singgah di kota asing yang warganya bukan orang Israel, tetapi kita akan berjalan terus sampai ke Gibea.”
13 Katanya lagi kepada hambanya, “Marilah kita berjalan sampai ke salah satu tempat di sana dan bermalam di Gibea atau di Rama.”
14 Oleh itu, mereka meneruskan perjalanan, dan matahari terbenam ketika mereka hampir tiba di Gibea yang menjadi kepunyaan bani Benyamin.
15 Mereka pun singgah serta memasuki kota Gibea untuk bermalam di situ. Setibanya mereka di kota itu, duduklah mereka di tanah lapang kota kerana tidak ada seorang pun yang mengajak mereka untuk bermalam di rumah.
16 Tetapi pada malam itu datanglah seorang tua, yang pulang dari pekerjaannya di ladang. Lelaki itu berasal dari pergunungan Efraim dan tinggal sebagai pendatang di Gibea, manakala penduduk setempat ialah warga daripada bani Benyamin.
17 Ketika dia melayangkan pandangan dan terlihat pengembara yang berada di tanah lapang kota, berkatalah orang tua itu, “Ke manakah tujuanmu dan dari manakah kamu datang?”
18 Pengembara itu menjawabnya, “Kami sedang dalam perjalanan dari Betlehem di Yehuda dan menuju ke pergunungan Efraim. Dari sanalah aku berasal. Sebelum ini aku pergi ke Betlehem di Yehuda dan sekarang sedang berjalan pulang ke Rumah Tuhan. Tetapi tidak ada sesiapa yang mengajak aku ke rumahnya.
19 Padaku ada jerami dan makanan untuk keldai kami, dan ada roti dan anggur untuk aku sendiri, untuk hamba perempuan ini dan untuk hambaku yang bersama-sama hambamu ini; kami tidak kekurangan sesuatu.”
20 Berkatalah orang tua itu, “Sejahteralah kamu. Usah khuatir, segala yang kamu perlukan biarlah aku yang menanggung, tetapi janganlah kamu bermalam di tanah lapang kota ini.”
21 Maka dibawanyalah lelaki itu masuk ke rumahnya, dan keldai-keldai orang itu diberinya makan; lalu mereka pun membasuh kaki, makan dan minum.
22 Tetapi sedang mereka bergembira makan dan minum itu, datanglah beberapa orang jahat kota itu yang mengepung rumah itu. Mereka mengetuk pintu rumah itu dengan kuat sambil berkata kepada orang tua, pemilik rumah itu, “Bawalah ke luar orang yang datang ke rumahmu itu, supaya kami menyetubuhi dia.”
23 Keluarlah pemilik rumah itu menemui mereka dan berkata kepada mereka, “Tidak, janganlah saudara-saudaraku berbuat jahat kerana lelaki ini telah masuk ke rumahku, janganlah kamu berbuat kerja durjana itu.
24 Lihat, di sini ada anak gadisku, yang masih perawan, dan juga gundik orang itu. Biar kubawa kedua-duanya ke luar. Perkosalah mereka dan perbuatlah dengan mereka ikut suka hati kamu tetapi terhadap orang ini janganlah kamu berbuat durjana.”
25 Tetapi lelaki-lelaki itu tidak mahu mendengar kata-katanya. Lalu orang Lewi itu menangkap gundiknya dan membawanya keluar kepada mereka. Lalu mereka memperkosa perempuan itu semalam-malaman serta menderanya sampai pagi. Pada waktu fajar menyingsing barulah mereka melepaskan perempuan itu.
26 Menjelang pagi kembalilah perempuan itu tetapi dia jatuh rebah di depan pintu rumah orang itu, tempat tuannya bermalam, dan dia terbujur di sana sampai pagi menjadi terang.
27 Pada waktu pagi ketika tuannya bangun lalu membuka pintu rumah dan pergi ke luar untuk menyambung perjalanannya, tampaklah kepadanya gundiknya sedang terbujur di depan pintu rumah dengan tangannya pada ambang pintu.
28 Berkatalah dia kepada perempuan itu, “Bangunlah, marilah kita pergi.” Tetapi tidak ada jawapan. Lalu diangkatnya dan diletakkanlah mayat itu di atas keldai. Kemudian dia pergi menuju ke tempat kediamannya.
29 Sesampai dia di rumahnya dia mengambil pisau, dipegangnyalah mayat gundiknya lalu dipotongnya menurut tulang-tulangnya kepada dua belas kerat, lalu dikirimnya ke seluruh daerah orang Israel.
30 Dan setiap orang yang melihat potongan mayat itu berkata, “Hal yang sebegini belum pernah terjadi dan belum pernah terlihat, sejak orang Israel keluar dari Tanah Mesir sampai sekarang. Fikirkan hal itu, pertimbangkanlah, lalu berbicaralah!”

Studi Alkitab lengkap, silahkan lihat Alkitab SABDA :: Hakim-hakim 19
Studi Alkitab mobile, silahkan lihat Alkitab Mobi :: Hakim-hakim 19

Download Aplikasi Alkitab Karaoke (BETA) Android:
https://play.google.com/store/apps/details?id=org.sabda.alkitabkaraoke
Kunjungi Alkitab Audio Diglot:
AYT - KJV