1 Pergilah Simson ke Timna dan di situ dia melihat seorang gadis Filistin.
2 Lalu dia pulang dan memberitahu kepada ayahnya dan ibunya, “Di Timna aku melihat seorang gadis Filistin. Tolong, ambillah dia untuk menjadi isteriku.”
3 Tetapi ayah dan ibunya berkata kepadanya, “Tidak adakah seorang perempuan daripada kalangan anak perempuan sanak saudaramu atau daripada seluruh bangsa kita sehingga kamu mesti memperisteri perempuan golongan orang Filistin yang tidak bersunat itu?” Tetapi Simson menjawab ayahnya, “Ambillah dia untukku, kerana aku menyukai dia.”
4 Tetapi ayah dan ibunya tidak tahu bahawa hal itu berasal daripada TUHAN kerana Dia sedang mencari peluang untuk memerangi orang Filistin yang memerintah orang Israel pada masa itu.
5 Lalu pergilah Simson berserta ayah dan ibunya ke Timna. Setiba mereka di kebun anggur di Timna, seekor singa muda mendatangi Simson dengan mengaum.
6 Maka berkuasalah Roh TUHAN atas Simson sehingga dia yang tiada sesuatu senjata di tangannya mampu mengoyak singa itu sebagaimana orang mengoyak anak kambing. Tetapi dia tidak menceritakan hal itu kepada kedua-dua ayah dan ibunya.
7 Lalu dia pergi dan bercakap dengan perempuan itu, yang kelihatan bagus kepada Simson.
8 Setelah beberapa hari, Simson kembali lagi untuk berkahwin dengan perempuan itu. Ketika dia mengalih pandangan ke arah bangkai singa itu, dia terlihat ada kawanan lebah serta ada madu pada bangkai singa itu.
9 Maka dia mengeruk madu itu ke dalam tangannya dan memakannya sambil berjalan terus. Setibanya kepada ayah dan ibunya, dia memberikan sebahagian daripada madu itu kepada mereka dan mereka memakannya. Tetapi dia tidak menceritakan bahawa madu itu dikeruknya daripada dalam bangkai singa.
10 Setelah ayahnya pergi kepada perempuan itu, Simson mengadakan jamuan di sana seperti yang lazim dilakukan oleh kalangan muda.
11 Mereka yang melihatnya terus memilih tiga puluh orang kawan pengantin untuk menemaninya.
12 Berkatalah Simson kepada mereka, “Aku mahu memberikan teka-teki kepada kamu. Jika kamu dapat memberikan jawapan yang tepat kepadaku dalam masa tujuh hari acara jamuan ini, aku akan menghadiahkan kepadamu tiga puluh helai pakaian linen dan tiga puluh helai persalinan.
13 Tetapi jika kamu tidak dapat memberikan jawapannya kepadaku, maka kamulah yang harus memberikan tiga puluh helai pakaian linen dan tiga puluh persalinan.” Maka kata mereka kepadanya, “Sebutlah teka-tekimu itu, supaya kami dengar.”
14 Berkatalah Simson kepada mereka, “Daripada yang memakan keluar makanan, daripada yang kuat keluar manisan.” Dalam tempoh tiga hari mereka masih tidak dapat memberikan jawapan bagi teka-teki itu.
15 Pada hari ketujuh berkatalah mereka kepada isteri Simson, “Pujuklah suamimu agar dia memberitahu kami jawapan teka-teki itu; kalau tidak, kami akan membakar kamu berserta seisi rumah ayahmu. Adakah kamu mengundang kami untuk menjadikan kami papa? Tidak begitu, bukan?”
16 Maka sambil menangis isteri Simson memeluk Simson sambil berkata, “Kamu memang benci dan tidak mencintaiku; kamu berikan teka-teki kepada warga sebangsaku, tetapi jawapannya tidak kamu beritahukan kepadaku.” Maka Simson menjawab, “Ayah dan ibuku pun tidak aku beritahu, apatah lagi kamu?”
17 Tetapi selama tujuh hari jamuan itu diadakan, isterinya terus menangis di sisinya. Lalu pada hari yang ketujuh dia memberitahu jawapannya kepada isterinya yang terus merengek-rengek kepadanya. Lalu perempuan itu memberitahukan jawapan teka-teki itu kepada lelaki yang sebangsa dengannya.
18 Lalu pada hari yang ketujuh itu, sebelum matahari terbenam, berkatalah orang kota itu kepadanya, “Apakah yang lebih manis daripada madu? Apakah yang lebih kuat daripada singa?” Dia menjawab, “Kalau kamu tidak membajak dengan lembu betinaku yang muda, pasti kamu tidak mampu menemukan jawapan teka-tekiku.”
19 Maka berkuasalah Roh TUHAN ke atasnya lalu dia pergi ke Askelon dan dibunuhnya tiga puluh orang di sana. Pakaian mereka diambil lalu diberikannya persalinan itu kepada mereka yang dapat memberikan jawapan teka-teki itu. Namun demikian, kemarahannya tetap bernyala-nyala, lalu pulanglah dia ke rumah ayahnya.
20 Maka isteri Simson itu diberikan kepada kawannya iaitu bekas pengiring pengantinnya.

Studi Alkitab lengkap, silahkan lihat Alkitab SABDA :: Hakim-hakim 14
Studi Alkitab mobile, silahkan lihat Alkitab Mobi :: Hakim-hakim 14

Download Aplikasi Alkitab Karaoke (BETA) Android:
https://play.google.com/store/apps/details?id=org.sabda.alkitabkaraoke
Kunjungi Alkitab Audio Diglot:
AYT - KJV