1 Susulan kematian Yosua, orang Israel bertanya kepada TUHAN, “Siapakah daripada kami yang harus lebih dahulu menghadapi orang Kanaan dalam peperangan antara kami dengan mereka?”
2 TUHAN pun berfirman, “Yehuda yang harus mara di hadapan; sesungguhnya Aku telah menyerahkan negeri itu ke dalam tangannya.”
3 Berkatalah Yehuda kepada Simeon, saudaranya, “Maralah bersama-samaku ke wilayah yang telah diuntukkan kepadaku agar kita boleh memerangi bani Kanaan. Kelak aku pun akan mara bersama-sama kamu ke wilayah yang diuntukkan kepadamu.” Lalu Simeon mara bersama-sama Yehuda.
4 Maka suku Yehuda mara lalu bertempur dan TUHAN menyerahkan bani Kanaan dan bani Feris ke dalam tangan mereka, tumpaslah puak musuh yang seramai sepuluh ribu orang itu di Bezek.
5 Mereka menemui Adoni-Bezek di Bezek lalu mereka memeranginya dan berjaya menewaskan bani Kanaan dan bani Feris.
6 Adoni-Bezek yang melarikan diri dikejar dan sesudah ditangkap, ibu jari tangan dan kakinya dipotong oleh mereka.
7 Berkatalah Adoni-Bezek, “Dahulunya tujuh puluh orang raja yang kudung ibu jari tangan dan ibu jari kaki mereka memungut sisa makanan di bawah mejaku. Allah telah membalas kepadaku sebagaimana yang kulakukan dahulu.” Dia dibawa ke Yerusalem dan di sanalah dia mati.
8 Seterusnya bani Yehuda berperang melawan Yerusalem dan berjaya menawan kota itu dan selanjutnya menggempurnya dengan pedang serta membakarnya.
9 Setelah itu, bani Yehuda menyerang bani Kanaan yang menghuni daerah pergunungan, dan di bumi Negeb dan juga mereka yang mendiami kawasan tanah rendah.
10 Lalu puak Yehuda menyerang bani Kanaan yang mendiami Hebron (yang dahulunya bernama Kiryat-Arba) dan menggempur Sesai, Ahiman dan Talmai.
11 Dari sana mereka mara lalu menyerang penduduk Debir. Nama Debir sebelumnya ialah Kiryat-Sefer.
12 Berkatalah Kaleb, “Sesiapa yang menumpaskan dan menawan Kiryat-Sefer, kepadanya akan kuberikan anak perempuanku, Akhsa, sebagai isterinya.”
13 Otniel, anak Kenas, adik Kaleb, menawan kota itu. Maka Kaleb memberikan anak perempuannya, Akhsa, kepada Otniel untuk menjadi isterinya.
14 Pada waktu perempuan itu datang kepada Otniel, dia memujuk suaminya untuk meminta sepetak ladang daripada ayahnya. Ketika perempuan itu turun dari keldainya, Kaleb bertanya kepadanya, “Apakah yang kauinginkan?”
15 Jawabnya, “Berilah aku berkat. Ayah telah menempatkan aku di Tanah Negeb. Oleh itu, berilah aku juga beberapa mata air.” Maka Kaleb pun memberinya mata-mata air di sebelah hulu dan hilir.
16 Maka bani Keni, iaitu keturunan ayah mertua Musa, keluar bersama-sama bani Yehuda meninggalkan kota pokok kurma menuju ke Gurun Yehuda di Tanah Negeb berdekatan dengan Arad, lalu mereka bermastautin dengan penduduk di situ.
17 Seterusnya Yehuda bersama-sama saudaranya, Simeon, menyerang bani Kanaan di Zefat. Kota itu dimusnahkan dan diberikan nama baru, iaitu Horma.
18 Bani Yehuda juga merebut tiga lagi buah kota, iaitu Gaza, Askelon dan Ekron, masing-masing dengan seluruh daerahnya sekali.
19 TUHAN menyertai bani Yehuda sehingga mereka turut memiliki wilayah pergunungan, namun mereka gagal mengusir penduduk di kawasan lembah yang mempunyai rata besi.
20 Mereka memberikan Hebron kepada Kaleb sebagaimana yang dijanjikan Musa dahulu, lalu Kaleb mengusir tiga orang anak Enak dari situ.
21 Bani Benyamin juga tidak mengusir bani Yebus yang mendiami Yerusalem malah sampai sekarang bani Yebus masih mendiami Yerusalem bersama-sama bani Benyamin.
22 Demikian jugalah bani Yusuf menyerang Betel, dan TUHAN menyertai mereka.
23 Bani Yusuf mengintip kota Betel (yang dahulunya bernama Lus).
24 Berkatalah para pengintip kepada seorang lelaki yang keluar dari kota itu, “Tolong tunjukkan kepada kami jalan masuk ke kota ini, dan kami akan melayan kamu dengan baik.”
25 Lelaki itu menunjukkan jalan masuk ke kota itu kepada mereka lalu mereka menyerang kota itu dan hanya melepaskan orang itu berserta seisi keluarganya.
26 Orang itu pergi ke negeri bani Het lalu mendirikan sebuah kota yang dinamakannya Lus di sana. Nama itu kekal sampai sekarang.
27 Bani Manasye tidak menawan Bet-Sean ataupun mengusir semua penduduknya. Demikianlah juga di kota-kota Taanakh, Dor, Yibleam dan Megido yang ditawan namun para warganya tidak diusir kerana bani Kanaan berkeras untuk terus menetap di bumi itu.
28 Setelah orang Israel menjadi kuat, mereka menjadikan bani Kanaan buruh paksa, namun bani Kanaan tidak dinyahkan dari bumi itu.
29 Bani Efraim pun tidak menghalau bani Kanaan yang mendiami Gezer dan bani Kanaan terus tinggal di situ bersama-sama mereka.
30 Bani Zebulon juga tidak mengusir penduduk Kitron dan Nahalol, tetapi seluruh bani Kanaan dibenarkan terus menetap di tengah-tengah mereka dan dijadikan buruh paksa.
31 Bani Asyer tidak menghalau penduduk di daerah-daerah Ako, Sidon, Ahlab, Akhzib, Helba, Afek dan Rehob,
32 tetapi bani Asyer tinggal di tengah-tengah bani Kanaan, iaitu penduduk tempatan yang tidak diusir dari bumi asal mereka.
33 Bani Naftali tidak menghalau penduduk di Bet-Semes dan di Bet-Anat, tetapi mereka menghuni di tengah-tengah bani Kanaan, iaitu penduduk asal itu, yang dijadikan mereka buruh paksa mereka.
34 Bani Amori memaksa bani Dan berpindah ke wilayah pergunungan dan tidak membenarkan mereka turun ke kawasan lembah.
35 Akan tetapi, bani Amori berkeras untuk tetap diam di Gunung Heres dan di Ayalon serta di Saalbim. Namun begitu, setelah bani Yusuf semakin kuat, bani Amori juga menjadi buruh paksa.
36 Adapun sempadan negeri bani Amori itu meliputi kawasan curam Akrabim yang menanjak dari Sela ke atas pendakian lagi.

Studi Alkitab lengkap, silahkan lihat Alkitab SABDA :: Hakim-hakim 1
Studi Alkitab mobile, silahkan lihat Alkitab Mobi :: Hakim-hakim 1

Download Aplikasi Alkitab Karaoke (BETA) Android:
https://play.google.com/store/apps/details?id=org.sabda.alkitabkaraoke
Kunjungi Alkitab Audio Diglot:
AYT - KJV