1 Pada hari pertama bulan keenam dalam tahun kedua pemerintahan Raja Darius, datanglah firman TUHAN menerusi Nabi Hagai sebagai perantaraan kepada pembesar negeri Yehuda iaitu Zerubabel anak Sealtiel, dan kepada imam besar iaitu Yosua anak Yozadak seperti begini:
2 “Beginilah firman TUHAN alam semesta: Bangsa ini berkata: Sekarang belum lagi waktu untuk membina semula Bait TUHAN!”
3 Maka datanglah firman TUHAN dengan perantaraan Nabi Hagai:
4 “Sudah tibakah waktunya kamu mendiami rumah-rumah yang berpapan dengan baik walhal Bait ini terus usang dan terbiar dalam kerosakan?
5 Lalu, beginilah firman TUHAN alam semesta: Perhatikanlah keadaanmu!
6 Kamu menabur banyak, tetapi hasil tuaianmu sedikit sahaja. Kamu makan namun tidak berasa kenyang, dan kamu minum, tetapi tidak berasa puas. Kamu berpakaian namun badanmu tidak terasa panas. Orang yang menerima upah pula menyimpan upahnya dalam karung yang berlubang-lubang!
7 Beginilah firman TUHAN alam semesta: Perhatikanlah keadaanmu!
8 Naiklah ke gunung, bawalah kayu dan bangunkan semula Bait itu; agar Aku bersukacita dengannya dan Aku dimuliakan, firman TUHAN.
9 Kamu mengharapkan banyak, tetapi lihatlah betapa sedikit sahaja hasilnya. Ketika kamu membawanya ke rumah, Aku yang menghembuskannya. Mengapa? Demikianlah firman TUHAN alam semesta. Sebabnya bait-Ku terus usang dan terbiar dalam kerosakan, walhal kamu sibuk menguruskan rumah masing-masing.
10 Oleh itu, langit menahan pengeluaran embunnya dan bumi menahan hasilnya.
11 Aku mengundang kemarau untuk melanda ke atas negeri, ke atas pergunungan, ke atas hasil bijirin, ke atas air anggur baru, ke atas minyak, ke atas segala yang dihasilkan oleh tanah, ke atas manusia dan haiwan dan ke atas segala daya usaha dan hasil kerja kamu.”
12 Lalu Zerubabel anak Sealtiel dan Yosua anak Yozadak, imam besar, dan semua saki-baki umat bangsa itu mematuhi seruan TUHAN, Allah mereka, dan juga perkhabaran Nabi Hagai, sebagaimana beliau diutus serta diperintahkan oleh TUHAN, Allah mereka; dan bangsa itu pun takut kepada TUHAN.
13 Maka berkatalah Hagai, utusan TUHAN itu yang menyampaikan perkhabaran TUHAN kepada bangsa itu, yang berbunyi: “Aku menyertai kamu, demikianlah firman TUHAN.”
14 Lalu TUHAN mendorong semangat pembesar Yehuda iaitu Zerubabel anak Sealtiel, dan imam besar iaitu Yosua anak Yozadak, dan semangat seluruh saki-baki umat bangsa itu. Seterusnya mereka pun pergi untuk bekerja menyempurnakan Bait TUHAN alam semesta, Allah mereka,
15 pada hari kedua puluh empat dalam bulan keenam sewaktu tahun kedua pemerintahan Raja Darius.

Studi Alkitab lengkap, silahkan lihat Alkitab SABDA :: Hagai 1
Studi Alkitab mobile, silahkan lihat Alkitab Mobi :: Hagai 1

Download Aplikasi Alkitab Karaoke (BETA) Android:
https://play.google.com/store/apps/details?id=org.sabda.alkitabkaraoke
Kunjungi Alkitab Audio Diglot:
AYT - KJV