1 Maka berangkatlah Israel dengan membawa segala harta bendanya. Setibanya di Bersyeba, dia mempersembahkan korban sembelihan kepada Allah Ishak ayahnya.
2 Lalu Allah berfirman kepada Israel dalam penglihatan pada malam hari, “Yakub, Yakub.” Jawabnya, “Ya, aku ada di sini.”
3 Firman-Nya, “Akulah Allah, Allah ayahmu. Jangan takut untuk pergi ke Mesir, kerana Aku akan menjadikan kamu sebuah bangsa yang besar di sana.
4 Aku akan menyertai kamu ke Mesir, dan Aku juga akan pasti membawa kamu kembali. Tangan Yusuflah yang akan menutupkan kelopak matamu.”
5 Kemudian berangkatlah Yakub dari Bersyeba, dan anak-anak Israel membawa Yakub, ayah mereka, juga anak dan isteri masing-masing dengan gerabak yang dikirimkan oleh Firaun untuk menjemput mereka.
6 Selain itu, mereka juga membawa ternakan dan harta benda yang diperoleh mereka di Tanah Kanaan. Lalu tibalah Yakub di Mesir bersama-sama seluruh keturunannya,
7 iaitu kesemua anak cucunya, baik lelaki mahupun perempuan. Seluruh keturunannya dibawanya serta ke Mesir.
8 Inilah nama bani Israel yang datang ke Mesir, iaitu Yakub dan keturunannya. Anak Yakub yang sulung, Ruben.
9 Para anak Ruben ialah Henokh, Palu, Hezron, dan Karmi.
10 Para anak Simeon ialah Yemuel, Yamin, Ohad, Yakhin, Zohar, dan Saul, anak seorang perempuan Kanaan.
11 Para anak Lewi ialah Gerson, Kehat, dan Merari.
12 Para anak Yehuda ialah Er, Onan, Syela, Peres, dan Zerah. Tetapi Er dan Onan sudah mati di Tanah Kanaan. Para anak Peres ialah Hezron dan Hamul.
13 Para anak Isakhar ialah Tola, Pua, Ayub, dan Simron.
14 Para anak Zebulon ialah Sered, Elon, dan Yahleel.
15 Mereka ini ialah keturunan Lea, yang melahirkan anak untuk Yakub di Padan-Aram, di samping Dina, anak perempuannya. Jadi, seluruh keturunan Yakub daripada Lea, sama ada lelaki atau perempuan, berjumlah tiga puluh tiga orang.
16 Para anak Gad ialah Zifyon, Hagi, Syuni, Ezbon, Eri, Arodi, dan Areli.
17 Para anak Asyer ialah Yimna, Yiswa, Yiswi, Beria, serta Serah, saudara perempuan mereka. Para anak Beria ialah Heber dan Malkiel.
18 Mereka ini ialah keturunan Zilpa, hamba perempuan yang diberikan Laban kepada Lea, anaknya. Jadi, seluruh keturunan Yakub yang berasal daripada Zilpa itu berjumlah enam belas orang.
19 Para anak Rahel, isteri Yakub ialah Yusuf dan Benyamin.
20 Manakala para anak Yusuf ialah Manasye dan Efraim, yang dilahirkan di Mesir oleh Asnat anak Potifera, imam di On.
21 Para anak Benyamin ialah Bela, Bekher, Asybel, Gera, Naaman, Ehi, Ros, Mupim, Hupim, dan Ared.
22 Mereka ini ialah keturunan Yakub daripada Rahel yang berjumlah empat belas orang.
23 Anak Dan ialah Husim
24 Para anak Naftali ialah Yahzeel, Guni, Yezer, dan Syilem.
25 Mereka itu ialah keturunan Bilha, hamba perempuan yang diberikan Laban kepada Rahel, anaknya. Jadi, seluruh keturunan Yakub yang berasal daripada Bilha berjumlah tujuh orang.
26 Jumlah orang yang datang ke Mesir bersama-sama Yakub, iaitu keturunannya, belum termasuk isteri masing-masing, ialah enam puluh enam orang.
27 Jika diambil kira dua orang anak Yusuf yang dilahirkan untuknya di Mesir maka seluruh keluarga Yakub yang ada di Mesir pada masa itu berjumlah tujuh puluh orang.
28 Yakub menyuruh Yehuda untuk mendahuluinya bagi menemui Yusuf dan menunjukkan arah menuju Gosyen. Setelah mereka sampai di Tanah Gosyen,
29 Yusuf menyediakan ratanya lalu pergi untuk menemui Israel, ayahnya, di Gosyen. Sebaik sahaja bertemu, Yusuf memeluk leher ayahnya dan menangis lama di bahunya.
30 Kata Israel kepada Yusuf, “Sekarang biarlah aku mati, kerana aku telah melihat wajahmu dan tahu bahawa kamu masih hidup.”
31 Lalu Yusuf berkata kepada para saudaranya dan kepada keluarga ayahnya, “Aku akan pergi memberitahu Firaun, ‘Saudara-saudara hamba dan keluarga ayah hamba, yang tinggal di Tanah Kanaan, sudah datang kepada hamba.
32 Mereka itu gembala dan memang biasa memelihara kawanan ternakan dan mereka membawa bersama-sama mereka kesemua kawanan domba, lembu, dan kesemua harta benda mereka.’
33 Jadi, apabila Firaun memanggil kamu dan bertanya, ‘Apakah pekerjaanmu?’
34 Jawablah, ‘Sejak kecil bahkan sampai sekarang hamba-hambamu ini memelihara ternakan, sebagaimana juga para nenek moyang kami.’ Dengan demikian, kamu dapat tinggal di Tanah Gosyen kerana warga Mesir memandang keji terhadap semua gembala ternakan.”

Studi Alkitab lengkap, silahkan lihat Alkitab SABDA :: Kejadian 46
Studi Alkitab mobile, silahkan lihat Alkitab Mobi :: Kejadian 46

Download Aplikasi Alkitab Karaoke (BETA) Android:
https://play.google.com/store/apps/details?id=org.sabda.alkitabkaraoke
Kunjungi Alkitab Audio Diglot:
AYT - KJV