1 Maka berlakulah bencana kebuluran di negeri itu, lain daripada kebuluran pertama yang menimpa pada zaman Abraham. Maka pergilah Ishak ke Gerar untuk menghadap Abimelekh, raja orang Filistin.
2 Lalu TUHAN menampakkan diri kepadanya dan berfirman, “Jangan pergi ke Mesir. Tinggallah di negeri yang akan Kuberitahu kepadamu.
3 Tinggallah sementara di negeri itu, maka Aku akan bersama-samamu dan memberkatimu, kerana kepadamu dan kepada keturunan kamulah akan Kukurniakan seluruh negeri itu. Aku akan memenuhi ikrar yang Kujanjikan kepada ayahmu, Abraham.
4 Aku akan melipatgandakan berkali ganda keturunanmu sehingga ramainya seperti bintang di langit. Aku akan mengurniakan seluruh negeri ini kepada keturunanmu, dan melalui benihmu semua bangsa di bumi akan diberkati,
5 kerana Abraham mematuhi firman-Ku serta berpegang teguh pada segala kewajipannya kepada-Ku, segala perintah-Ku, segala ketetapan-Ku, dan segala hukum-Ku.”
6 Maka tinggallah Ishak di Gerar.
7 Ketika para lelaki di tempat itu bertanya tentang isterinya, Ishak menjawab, “Dia saudaraku,” kerana dia takut mengatakan, “Dia isteriku.” Fikirnya, “Jangan-jangan aku dibunuh oleh para lelaki di tempat ini kerana Ribka yang amat cantik parasnya.”
8 Setelah agak lama Ishak berada di situ, pada suatu kali, Abimelekh, raja orang Filistin, yang melihat keluar dari jendela, terlihat Ishak sedang bercumbuan dengan Ribka, isterinya.
9 Maka Abimelekh memanggil Ishak dan berkata, “Ternyata dia isterimu! Bagaimana boleh kaukatakan, ‘Dia saudaraku’?” Jawab Ishak kepadanya, “Kerana fikirku, ‘Jangan-jangan aku mati kerana dia.’ ”
10 Kata Abimelekh pula, “Apakah yang telah kaulakukan terhadap kami ini? Mudah sahaja salah seorang warga ini meniduri isterimu sehingga dengan demikian engkau menimpakan kesalahan kepada kami.”
11 Kemudian Abimelekh memberikan perintah kepada seluruh bangsa itu, katanya, “Sesiapa yang menyentuh orang ini atau isterinya, pasti dihukum mati.”
12 Ishak bertani di negeri itu dan dalam tahun itu juga dia memperoleh hasil seratus kali lipat ganda kerana TUHAN memberkatinya.
13 Lalu dia menjadi kaya dan terus bertambah kaya, sehingga menjadi sangat kaya.
14 Dia memiliki kawanan domba, kawanan lembu, dan banyak hamba, sehingga orang Filistin iri hati terhadapnya.
15 Semua perigi yang digali oleh hamba-hamba ayahnya pada zaman Abraham, ayahnya, itu, telah ditutup oleh orang Filistin dan ditimbunkan dengan tanah.
16 Kemudian Abimelekh berkata kepada Ishak, “Pergilah daripada kami, kerana kamu telah menjadi jauh lebih kuat daripada kami.”
17 Maka pergilah Ishak dari sana. Didirikannya khemahnya di Lembah Gerar lalu tinggal di situ.
18 Kemudian Ishak menggali kembali perigi-perigi yang telah digali pada zaman Abraham, ayahnya, kerana orang Filistin telah menutupnya sesudah kematian Abraham. Dia pun menamai perigi-perigi itu sebagaimana ayahnya menamainya.
19 Akan tetapi, ketika hamba-hamba Ishak menggali lembah itu dan mendapati di sana sebuah mata air yang membuak-buak airnya,
20 bertengkarlah gembala-gembala Gerar dengan gembala-gembala Ishak. Kata mereka, “Air ini milik kami!” Maka Ishak menamai perigi itu Esek, kerana warga di situ bertengkar dengannya.
21 Mereka menggali perigi yang lain pula, tetapi orang itu mengatakan itu juga milik mereka. Maka Ishak menamai perigi itu Sitna.
22 Ishak pindah dari sana lalu menggali perigi yang lain, tetapi kali ini orang itu tidak mempertikaikan pemilikannya. Maka dia menamai perigi itu Rehobot, kerana katanya, “Sekarang TUHAN telah memberikan kelapangan kepada kita, sehingga kita dapat beranak cucu di negeri ini.”
23 Dari sana dia pergi ke Bersyeba.
24 Lalu pada waktu malam TUHAN menampakkan diri kepadanya dan berfirman, “Akulah Allah Abraham, ayahmu. Jangan takut, kerana Aku menyertai kamu. Aku akan memberkatimu dan memperbanyak keturunanmu kerana Abraham, hamba-Ku itu.”
25 Kemudian Ishak membina sebuah mazbah di sana dan menyeru nama TUHAN. Di situ dia mendirikan khemahnya, dan hamba-hambanya menggali sebuah perigi.
26 Maka datanglah Abimelekh kepadanya dari Gerar bersama-sama Ahuzat sahabatnya dan Pikhol panglima tenteranya.
27 Kata Ishak kepada mereka, “Apakah sebabnya kamu datang menemuiku padahal kamu benci padaku dan telah menyuruh aku pergi daripada kamu?”
28 Jawab mereka, “Kami sudah melihat dengan nyata bahawa TUHAN menyertai kamu. Jadi, kami berfikir, ‘Sebaiknya ada ikrar antara kita,’ iaitu antara kami dan kamu. Mari kita mengikat perjanjian antara kita
29 bahawa kamu tidak akan berbuat jahat terhadap kami, seperti kami dahulu tidak mengusik kamu melainkan selalu berbuat baik terhadapmu dan menyuruh kamu pergi dengan damai. Sekarang ini pun kamu diberkati TUHAN.”
30 Ishak mengadakan jamuan untuk mereka, lalu mereka pun makan dan minum.
31 Keesokan harinya mereka bangun pagi-pagi lalu bersumpah satu sama lain. Setelah itu, Ishak melepaskan mereka dan mereka pun pergi meninggalkannya dengan damai.
32 Pada hari itu juga hamba-hamba Ishak datang memberitahu kepadanya tentang perigi yang telah digali mereka. Kata mereka kepadanya, “Kami telah mendapatkan air!”
33 Ishak menamai perigi itu Syeba. Itulah sebabnya kota itu dinamai Bersyeba sehingga hari ini.
34 Ketika Esau berumur empat puluh tahun, dia memperisteri Yudit, anak Beeri, orang Het, dan Basmat anak Elon, orang Het.
35 Kedua-dua isterinya itu menimbulkan kegetiran dalam hati Ishak dan Ribka.

Studi Alkitab lengkap, silahkan lihat Alkitab SABDA :: Kejadian 26
Studi Alkitab mobile, silahkan lihat Alkitab Mobi :: Kejadian 26

Download Aplikasi Alkitab Karaoke (BETA) Android:
https://play.google.com/store/apps/details?id=org.sabda.alkitabkaraoke
Kunjungi Alkitab Audio Diglot:
AYT - KJV