1 Kemudian dia membawa aku kembali menuju pintu gerbang luar tempat suci yang menghadap ke timur; pintu gerbang ini tertutup.
2 TUHAN berfirman kepadaku, ‘Pintu gerbang ini harus tetap tertutup, tidak boleh dibuka. Tiada seorang pun boleh masuk melaluinya kerana TUHAN, Allah Israel, telah masuk melaluinya. Jadi, pintu itu harus tetap tertutup.
3 Hanya raja itu yang boleh duduk di sana untuk makan santapan di hadapan TUHAN, kerana dia raja. Dia harus masuk melalui serambi pintu gerbang dan keluar melalui jalan itu juga.’
4 Kemudian dia membawa aku melalui pintu gerbang utara ke depan Bait Suci. Ketika kuamati, tampaklah kemuliaan TUHAN memenuhi Bait TUHAN. Lalu aku pun bersujud.
5 TUHAN berfirman kepadaku, ‘Wahai anak manusia, perhatikanlah, lihatlah dengan saksama, dan dengarlah baik-baik segala sesuatu yang Kufirmankan kepadamu tentang segala ketentuan mengenai Bait TUHAN dan tentang segala hukumnya. Perhatikanlah jalan masuk Bait itu dan segala jalan keluar dari tempat suci.
6 Katakanlah kepada orang derhaka, iaitu kepada keturunan kaum Israel: Beginilah firman Tuhan ALLAH, “Cukuplah segala kekejianmu itu, wahai keturunan kaum Israel!
7 Ketika kamu membawa santapan persembahan milik-Ku, iaitu lemak dan darah, kamu membawa masuk orang asing yang tidak bersunat hati dan tubuh mereka ke dalam tempat suci-Ku, sehingga mereka mencemarkan Bait-Ku. Kamu mengingkari perjanjian-Ku sehingga segala kekejianmu bertambah.
8 Kamu tidak menunaikan kewajipan dalam hal barang-barang tempat suci-Ku, melainkan kamu mengangkat orang lain itu untuk menunaikan kewajipan di tempat suci-Ku.”
9 Beginilah firman Tuhan ALLAH, “Setiap orang asing yang tidak bersunat hati dan tubuhnya tidak boleh masuk ke tempat suci-Ku – ya, setiap orang asing yang ada di tengah-tengah orang Israel.
10 Tetapi orang Lewi pun, yang menjauh daripada Aku pada masa kesesatan orang Israel dan yang berpaling daripada Aku demi mengikuti berhala-berhala mereka, akan menanggung kesalahan mereka.
11 Mereka boleh bertugas di tempat suci-Ku, menjadi pengawas di pintu-pintu gerbang Bait Suci, dan menyelenggarakan ibadat di dalam Bait Suci. Mereka boleh menyembelih korban bakaran dan korban sembelihan bagi bangsa itu, serta bertugas melayani bangsa itu.
12 Namun demikian, kerana mereka telah melayani bangsa itu di depan berhala mereka serta menjadi batu sandungan yang menyebabkan keturunan kaum Israel terjatuh ke dalam kesalahan, maka Aku bersumpah mengenai mereka, demikianlah firman Tuhan ALLAH, bahawa mereka akan menanggung kesalahan sendiri.
13 Mereka tidak boleh mendekat kepada-Ku untuk menunaikan tugas sebagai imam bagi-Ku, atau mendekati segala barang-Ku yang suci dan yang teramat suci. Mereka akan menanggung aib serta akibat daripada segala kekejian yang dilakukan mereka.
14 Walaupun demikian, mereka Kutetapkan untuk menunaikan tugas di Bait Suci, khususnya segala pekerjaan yang berhubungan dengan Bait itu dan segala sesuatu yang perlu dilakukan di situ.
15 Akan tetapi, mereka yang akan mendekat kepada-Ku untuk menyelenggarakan ibadat bagi-Ku ialah para imam Lewi dari bani Zadok, yang menunaikan tugas di tempat suci-Ku ketika orang Israel berpaling daripada Aku. Mereka akan bertugas di hadirat-Ku untuk mempersembahkan lemak dan darah kepada-Ku, demikianlah firman Tuhan ALLAH.
16 Selain itu, mereka pun akan masuk ke dalam tempat suci-Ku dan mendekati meja suci-Ku untuk menyelenggarakan ibadat bagi-Ku. Mereka akan menunaikan kewajipan mereka terhadap Aku.
17 Pada waktu mereka memasuki pintu gerbang pelataran dalam, mereka harus memakai pakaian linen. Mereka tidak boleh mengenakan pakaian bulu domba apabila menyelenggarakan ibadat di pintu-pintu gerbang pelataran dalam atau di dalam Bait Suci.
18 Selain itu, mereka pun harus memakai ikat kepala daripada kain linen dan mengenakan celana linen. Mereka tidak boleh mengikat pinggang dengan sesuatu yang membuat mereka berpeluh.
19 Ketika mereka tampil di pelataran luar untuk menemui orang ramai, mereka harus menanggalkan pakaian yang dipakai mereka sewaktu menyelenggarakan ibadat dan menyimpannya di dalam bilik-bilik suci. Mereka harus mengenakan pakaian yang lain supaya jangan orang ramai menjadi suci kalau terkena pakaian mereka.
20 Mereka tidak boleh mencukur habis rambut atau membiarkan rambut tumbuh panjang, melainkan hanya boleh memangkas pendek rambut mereka.
21 Semua imam tidak boleh minum air anggur ketika masuk ke pelataran dalam.
22 Mereka tidak boleh memperisteri seorang balu atau perempuan yang sudah diceraikan oleh suami, melainkan harus memperisteri seorang perawan daripada keturunan kaum Israel atau seorang balu imam.
23 Mereka harus mengajar umat-Ku membezakan antara yang suci dengan yang biasa, dan memberitahukan perbezaan antara yang najis dengan yang tidak najis.
24 Dalam sesuatu perkara mereka harus bertugas sebagai hakim dan mengadili menurut peraturan-peraturan-Ku. Mereka harus berpegang teguh pada segala hukum-Ku dan ketetapan-ketetapan-Ku pada segala hari perayaan-Ku, serta menjaga kesucian hari-hari Sabat-Ku.
25 Mereka tidak boleh mendekati mayat sehingga menjadi najis. Hanya dengan mayat ayah mereka, ibu mereka, anak mereka baik lelaki mahupun perempuan, saudara lelaki mereka, atau saudara perempuan mereka yang belum bersuami, mereka boleh menajiskan diri.
26 Setelah disucikan, dia harus menghitung tujuh hari.
27 Pada hari dia masuk lagi ke pelataran dalam serta ke tempat suci untuk menyelenggarakan ibadat di tempat suci, dia harus mempersembahkan korban penghapus dosanya, demikianlah firman Tuhan ALLAH.
28 Mereka akan memiliki satu harta pusaka: Akulah harta pusaka mereka. Jangan berikan kepada mereka tanah milik di Israel. Akulah milik mereka.
29 Mereka harus memakan persembahan bahan makanan, korban penghapus dosa, dan korban penebus kesalahan. Apa-apa pun yang diwakafkan di Israel akan menjadi bahagian mereka.
30 Semua yang terbaik daripada hasil pertama apa-apa pun serta segala persembahan khusus apa-apa pun daripada segala persembahan khusus kamu ialah bahagian imam. Yang terbaik daripada tepung barlimu harus kauberikan kepada imam supaya berkat turun ke atas rumahmu.
31 Segala burung dan haiwan yang sudah mati atau dicabik-cabikkan binatang buas tidak boleh dimakan oleh imam.” ’

Studi Alkitab lengkap, silahkan lihat Alkitab SABDA :: Yehezkiel 44
Studi Alkitab mobile, silahkan lihat Alkitab Mobi :: Yehezkiel 44

Download Aplikasi Alkitab Karaoke (BETA) Android:
https://play.google.com/store/apps/details?id=org.sabda.alkitabkaraoke
Kunjungi Alkitab Audio Diglot:
AYT - KJV