1 Kemudian dia membawa aku ke ruang besar Bait Suci. Diukurnya tiang-tiang temboknya, enam hasta tebalnya, baik di sayap kiri mahupun di sayap kanan.
2 Lebar pintu masuk ialah sepuluh hasta. Dinding di sisi kanan dan sisi kiri pintu itu berukuran lima hasta. Diukurnya pula ruang besar bait itu, empat puluh hasta panjangnya dan dua puluh hasta lebarnya.
3 Kemudian dia masuk ke ruang dalam dan mengukur tiang tembok pintu masuknya, dua hasta tebalnya. Lebar pintunya enam hasta, manakala dinding-dinding samping pintu itu tujuh hasta.
4 Diukurnya ruang dalam itu, dua puluh hasta panjangnya dan dua puluh hasta lebarnya, letaknya tepat di belakang ruang besar. Lalu dia berkata kepadaku, ‘Ini ialah Tempat Yang Maha Suci.’
5 Kemudian dia mengukur tembok Bait Suci, enam hasta tebalnya. Di sekeliling Bait Suci ada bilik-bilik tambahan yang lebarnya empat hasta.
6 Bilik-bilik tambahan itu tersusun dalam tiga tingkat, iaitu ada tiga puluh buah bilik setiap tingkatnya. Ada ceruk-ceruk dinding yang dibuat pada sekeliling Bait Suci untuk menopang bilik-bilik tambahan itu, sehingga bilik-bilik itu tidak ditopang oleh tembok Bait Suci.
7 Semakin ke atas bilik-bilik tambahan itu semakin lebar, kerana ukuran ceruk di sekeliling Bait Suci semakin lebar semakin ke atas. Orang dapat menaiki tangga dari tingkat bawah ke tingkat atas melalui tingkat tengah.
8 Kulihat pula Bait Suci berdiri di atas alas yang lebih tinggi daripada sekelilingnya, juga sebagai asas bagi bilik-bilik tambahan yang ada. Tingginya ialah sebatang tongkat, iaitu enam hasta.
9 Tebal tembok bahagian luar bilik tambahan ialah lima hasta. Lalu ada kawasan yang dibiarkan kosong di antara bilik tambahan Bait Suci
10 dengan bilik-bilik di kedua-dua belah sisi Bait Suci, lebarnya dua puluh hasta.
11 Pintu-pintu bilik tambahan menghadap ke kawasan yang dibiarkan kosong, satu menghadap ke utara dan yang lain menghadap ke selatan. Di sekeliling bangunan ada teras selebar lima hasta yang dibiarkan kosong.
12 Ada sebuah bangunan yang menghadap pelataran sebelah barat, lebarnya tujuh puluh hasta dan panjangnya sembilan puluh hasta, dikelilingi tembok setebal lima hasta.
13 Kemudian dia mengukur Bait Suci, seratus hasta panjangnya. Pelataran barat berserta dengan bangunan dan temboknya juga sepanjang seratus hasta.
14 Lebar pelataran di sebelah timur termasuk sebelah kiri dan kanan Bait Suci bahagian depan ialah seratus hasta.
15 Lalu diukurnya panjang bangunan yang menghadap pelataran barat di belakang Bait Suci berserta tembok di kedua-dua belah sisinya, seratus hasta. Ruang besar, ruang dalam, serambi yang menghadap ke pelataran,
16 juga ambang-ambang pintu, jendela-jendela berbidai, dan serambi-serambi di sekeliling ketiga-tiga ruang itu seluruhnya dilapisi papan dari lantai sampai ke jendela (jendela-jendela ini tertutup),
17 hingga ke bahagian atas pintu masuk bahkan sampai ke ruang dalam Bait Suci, dan juga di luar. Pada seluruh bentang tembok di sekeliling ruang dalam dan ruang besar,
18 terukir kerubin serta pokok kurma, dengan setiap pokok kurma diapit oleh dua kerubin. Setiap kerubin mempunyai dua muka:
19 muka manusia menghadap ke pokok kurma yang satu dan muka singa menghadap ke pokok kurma yang lain. Demikianlah dibuat secara berkeliling di seluruh Bait itu.
20 Pada dinding ruang besar, dari lantai sampai ke atas pintu masuk terdapat ukiran kerubin serta pokok-pokok kurma.
21 Bingkai pintu ruang besar berbentuk empat persegi, dan di depan Tempat Yang Maha Suci ada sesuatu yang serupa dengan itu.
22 Di situ ada suatu benda menyerupai mazbah daripada kayu, tiga hasta tingginya dan dua hasta panjang sisi-sisinya. Sudutnya, alasnya, dan dindingnya terbuat daripada kayu. Lalu dia berkata kepadaku, ‘Inilah meja yang ada di hadapan TUHAN.’
23 Ruang besar dan Tempat Yang Maha Suci mempunyai dua pintu.
24 Setiap pintu itu terdiri daripada dua daun pintu yang dapat berputar.
25 Pada pintu-pintu ruang besar terukir kerubin dan pokok kurma, sama seperti yang ada pada dinding. Di depan serambi, di muka bangunan sebelah luarnya ada tudung kayu.
26 Pada dinding-dinding samping serambi terdapat jendela berbidai dan ukiran pokok-pokok kurma di kedua-dua belah sisinya. Bilik tambahan Bait itu pun mempunyai tudung.

Studi Alkitab lengkap, silahkan lihat Alkitab SABDA :: Yehezkiel 41
Studi Alkitab mobile, silahkan lihat Alkitab Mobi :: Yehezkiel 41

Download Aplikasi Alkitab Karaoke (BETA) Android:
https://play.google.com/store/apps/details?id=org.sabda.alkitabkaraoke
Kunjungi Alkitab Audio Diglot:
AYT - KJV