1 Pada suatu waktu, beberapa orang tua-tua Israel datang lalu duduk di hadapanku.
2 Kemudian datanglah firman TUHAN kepadaku demikian,
3 ‘Wahai anak manusia, kalangan ini menjunjung berhala-berhala mereka dalam hati dan meletakkan kejahatan mereka sebagai batu sandungan di hadapan mereka. Masakan Aku sudi mereka mencari petunjuk-Ku?
4 Oleh sebab itu berbicaralah dengan mereka dan katakan kepada mereka: Beginilah firman Tuhan ALLAH, “Setiap orang daripada keturunan kaum Israel yang menjunjung berhala-berhalanya dalam hatinya dan meletakkan kejahatannya sebagai batu sandungan di hadapannya lalu datang kepada nabi, maka Aku, TUHAN, akan menjawab dia sehubungan dengan berhalanya yang banyak itu.
5 Maksudnya ialah supaya Aku dapat menambat hati keturunan kaum Israel yang seluruhnya telah berpaling daripada-Ku kerana berhala-berhala mereka.”
6 Oleh sebab itu katakanlah kepada keturunan kaum Israel: Beginilah firman Tuhan ALLAH, “Bertaubatlah dan berpalinglah daripada berhala-berhalamu. Palingkanlah mukamu daripada segala kekejianmu.
7 Apabila seseorang, baik daripada keturunan kaum Israel mahupun daripada golongan pendatang yang tinggal di antara orang Israel, menjauhkan diri daripada-Ku, menjunjung berhala-berhalanya dalam hatinya, dan meletakkan kejahatannya sebagai batu sandungan di hadapannya lalu datang kepada nabi untuk mencari petunjuk-Ku baginya, maka Aku, TUHAN, akan menjawab dia.
8 Aku akan memusuhi orang itu dan menjadikannya suatu tanda serta ibarat. Aku pun akan melenyapkan dia daripada kalangan umat-Ku. Maka kamu akan tahu bahawa Akulah TUHAN.
9 Apabila seorang nabi terperdaya sehingga dia menyampaikan suatu perkataan – Aku, TUHAN, yang memperdaya nabi itu – maka Aku akan menghulurkan tangan-Ku melawan dia dan membinasakannya daripada tengah-tengah umat-Ku Israel.
10 Mereka, baik nabi itu mahupun orang yang mencari petunjuk, akan menanggung hukuman diri sendiri.
11 Dengan demikian keturunan kaum Israel tidak akan mengembara lagi daripada-Ku dan tidak akan menajiskan diri lagi dengan segala pelanggaran mereka. Mereka akan menjadi umat-Ku dan Aku menjadi Allah mereka, demikianlah firman Tuhan ALLAH.” ’
12 Datanglah firman TUHAN kepadaku demikian,
13 ‘Wahai anak manusia, jika sesebuah negeri berdosa terhadap Aku dengan berbuat mungkar sehingga Aku menghulurkan tangan-Ku melawan negeri itu lalu memutuskan bekalan makanannya, mendatangkan bencana kebuluran ke atasnya, dan melenyapkan manusia serta binatang daripada dalamnya,
14 maka biarpun di negeri itu ada Nuh, Daniel, dan Ayub, ketiga-tiga orang itu hanya akan menyelamatkan jiwa mereka sendiri atas sebab perbenaran mereka, demikianlah firman Tuhan ALLAH.
15 Jika Aku membiarkan binatang buas lalu-lalang di negeri itu dan membuat negeri itu kehilangan penduduk hingga menjadi sunyi sepi lantaran tidak ada yang berani melintasinya akibat adanya binatang-binatang itu,
16 maka biarpun ketiga-tiga orang itu ada di negeri itu – demi Aku yang hidup, demikianlah firman Tuhan ALLAH – mereka tidak akan dapat menyelamatkan anak mereka baik lelaki mahupun perempuan. Hanya mereka sendirilah yang akan diselamatkan, sedangkan negeri itu akan menjadi sunyi sepi.
17 Atau, jika Aku mendatangkan pedang atas negeri itu dan berfirman, “Wahai pedang, jalanilah negeri itu!” lalu Aku melenyapkan manusia serta binatang daripada dalamnya,
18 maka biarpun ketiga-tiga orang itu ada di negeri itu – demi Aku yang hidup, demikianlah firman Tuhan ALLAH – mereka tidak akan dapat menyelamatkan anak-anak mereka baik lelaki mahupun perempuan, melainkan hanya mereka sendirilah yang akan diselamatkan.
19 Atau, jika Aku mendatangkan wabak penyakit ke negeri itu dan mencurahkan murka-Ku berupa penumpahan darah ke atasnya untuk melenyapkan manusia serta binatang daripada dalamnya,
20 maka biarpun Nuh, Daniel, dan Ayub ada di negeri itu – demi Aku yang hidup, demikianlah firman Tuhan ALLAH – mereka tidak akan dapat menyelamatkan anaknya baik lelaki mahupun perempuan, melainkan hanya akan menyelamatkan jiwa sendiri kerana perbenaran mereka.
21 Sesungguhnya, beginilah firman Tuhan ALLAH, “Terlebih lagi jika Aku mendatangkan atas Yerusalem keempat-empat hukuman-Ku yang berat, iaitu pedang, bencana kebuluran, binatang buas, dan wabak penyakit untuk melenyapkan manusia serta binatang daripada dalamnya!
22 Walaupun demikian, akan tertinggal di sana orang yang terselamat, iaitu anak lelaki dan perempuan yang akan dibawa keluar. Ya, mereka akan keluar mendapatkan kamu. Ketika kamu melihat tingkah laku dan tindak-tanduk mereka, kamu akan berasa terhibur sehubungan dengan malapetaka yang Kudatangkan ke atas Yerusalem – segala sesuatu yang Kudatangkan atasnya.
23 Mereka akan menghiburkan kamu ketika kamu melihat tingkah laku dan tindak-tanduk mereka. Maka kamu akan tahu bahawa bukan tanpa alasan Kulakukan segala sesuatu yang telah Kuperbuat atasnya, demikianlah firman Tuhan ALLAH.”

Studi Alkitab lengkap, silahkan lihat Alkitab SABDA :: Yehezkiel 14
Studi Alkitab mobile, silahkan lihat Alkitab Mobi :: Yehezkiel 14

Download Aplikasi Alkitab Karaoke (BETA) Android:
https://play.google.com/store/apps/details?id=org.sabda.alkitabkaraoke
Kunjungi Alkitab Audio Diglot:
AYT - KJV