1 TUHAN berfirman kepada Musa, “Pergilah menghadap Firaun, kerana Aku telah mengeraskan hatinya dan hati para pegawainya, supaya Aku dapat menunjukkan segala mukjizat-Ku ini dalam kalangan mereka,
2 dan supaya kamu dapat menceritakan kepada anak cucumu bagaimana Aku mempermainkan warga Mesir, serta segala mukjizat yang telah Kulakukan dalam kalangan mereka. Dengan demikian, kamu tahu bahawa Akulah TUHAN.”
3 Maka pergilah Musa dan Harun menghadap Firaun, lalu berkata kepadanya, “Beginilah firman TUHAN, Allah orang Ibrani, ‘Berapa lama lagi kamu menolak untuk merendahkan diri di hadapan-Ku? Izinkanlah umat-Ku pergi, supaya mereka dapat beribadat kepada-Ku.
4 Sebabnya jika kamu tidak mengizinkan umat-Ku pergi, maka hari esok Aku akan mendatangkan kawanan belalang juta ke daerahmu.
5 Segala belalang juta itu akan melitupi permukaan bumi sehingga tanah tidak lagi terlihat. Kawanan belalang juta itu juga akan memakan habis sisa yang terluput, iaitu yang masih tertinggal bagimu setelah peristiwa hujan batu itu, dan akan memakan habis semua pokok yang tumbuh di padang.
6 Kawanan belalang juta itu akan memenuhi istanamu, rumah semua pegawaimu, dan rumah semua warga Mesir. Hal seperti itu belum pernah terjadi pada zaman ayahmu serta nenek moyangmu sejak mereka lahir di dunia sampai hari ini.’ ” Lalu Musa berpaling dan keluar meninggalkan Firaun.
7 Maka berkatalah para pegawai Firaun kepadanya, “Berapa lama lagi orang ini akan menjadi jerat bagi kita? Kami mohon lepaskan sajalah orang Israel itu pergi, supaya mereka dapat beribadat kepada TUHAN, Allah mereka. Belum sedarkah tuanku bahawa Mesir telah binasa?”
8 Musa dan Harun pun dibawa kembali ke hadapan Firaun, lalu dia berkata kepada mereka, “Pergilah, beribadatlah kepada TUHAN, Allahmu. Siapakah sebenarnya yang akan pergi?”
9 Kata Musa, “Kami akan pergi bersama-sama orang tua dan orang muda. Kami akan pergi membawa anak-anak kami, baik lelaki mahupun perempuan, juga kawanan domba dan kawanan lembu kami, kerana kami harus mengadakan perayaan untuk TUHAN.”
10 Kata Firaun kepada mereka, “Semoga TUHAN menyertai kamu seandainya aku mengizinkan kamu pergi bersama-sama anak-anakmu. Lihat, kamu memang berniat jahat!
11 Tidak demikian! Biarlah kaum lelaki sahaja yang pergi beribadat kepada TUHAN, kerana itulah yang kamu inginkan.” Lalu mereka diusir dari hadapan Firaun.
12 TUHAN berfirman kepada Musa, “Hulurkanlah tanganmu ke atas Tanah Mesir supaya muncul kawanan belalang juta di Tanah Mesir dan memakan habis segala tumbuhan di tanah, iaitu segala sesuatu yang masih tertinggal setelah peristiwa hujan batu itu.”
13 Musa pun menghulurkan tongkatnya ke atas Tanah Mesir, lalu TUHAN mendatangkan angin timur ke negeri itu sehari-harian dan semalam-malaman. Pagi harinya angin timur itu membawa kawanan belalang juta.
14 Maka muncullah belalang juta di seluruh Tanah Mesir. Sangat banyak sekali kawanan belalang juta yang hinggap di seluruh daerah Mesir. Sebelum itu tidak pernah muncul sedemikian banyaknya belalang juta dan sesudah itu pun tidak pernah terjadi lagi yang demikian.
15 Kawanan belalang juta itu melitupi seluruh permukaan tanah hingga seluruh wilayah negeri itu menjadi gelap. Segala tumbuhan di tanah serta buah-buahan di pokok yang masih tertinggal setelah peristiwa hujan batu itu dimakan habis oleh kawanan belalang juta. Tidak tertinggal sesuatu pun yang hijau pada pokok serta tumbuh-tumbuhan di padang, di seluruh Tanah Mesir.
16 Maka segeralah Firaun memanggil Musa dan Harun, lalu katanya, “Aku telah berdosa terhadap TUHAN, Allahmu, dan terhadap kamu.
17 Sekarang, mohon ampunkanlah dosaku sekali ini sahaja dan berdoalah kepada TUHAN, Allahmu, supaya Dia menyingkirkan bahaya maut ini daripada diriku.”
18 Musa pun keluar meninggalkan Firaun lalu berdoa kepada TUHAN.
19 Maka TUHAN membalikkan angin itu untuk menjadi angin barat yang sangat kencang. Angin itu membawa semua belalang juta yang ada dan mencampakkannya ke dalam Laut Merah. Tidak ada seekor pun belalang juta yang tertinggal di seluruh daerah Mesir.
20 Namun begitu, TUHAN mengeraskan hati Firaun, sehingga dia tidak mengizinkan orang Israel pergi.
21 TUHAN berfirman kepada Musa, “Hulurkanlah tanganmu ke langit, supaya kegelapan datang ke atas Tanah Mesir, sehingga orang benar-benar merasakan kegelapan itu.”
22 Musa pun menghulurkan tangannya ke langit, lalu datanglah kegelapan yang pekat ke atas seluruh Tanah Mesir selama tiga hari.
23 Orang tidak dapat melihat satu sama lain, dan tiada seorang pun dapat bergerak dari tempatnya selama tiga hari. Akan tetapi, seluruh orang Israel menikmati cahaya di tempat tinggal mereka.
24 Kemudian Firaun memanggil Musa serta berkata, “Pergilah, beribadatlah kepada TUHAN. Hanya, tinggalkanlah kawanan domba dan kawanan lembumu di sini. Anak-anakmu juga boleh pergi bersama-samamu.”
25 Tetapi Musa berkata, “Engkau malah harus memberi kami beberapa korban sembelihan dan korban bakaran supaya kami dapat mempersembahkannya kepada TUHAN, Allah kami.
26 Ternakan kami pun harus kami bawa serta. Seekor pun tidak akan kami tinggalkan, kerana beberapa daripada ternakan itu harus kami ambil untuk beribadat kepada TUHAN, Allah kami. Sebelum sampai di sana, kami tidak tahu apa yang patut kami gunakan untuk beribadat kepada TUHAN kami.”
27 Tetapi TUHAN mengeraskan hati Firaun, sehingga dia tidak mengizinkan mereka pergi.
28 Kata Firaun kepada Musa, “Nyahlah dari hadapanku! Awas, jangan pandang mukaku lagi, kerana pada waktu engkau memandang mukaku, engkau akan mati.”
29 Kata Musa, “Benar seperti katamu! Aku tidak akan memandang mukamu lagi.”

Studi Alkitab lengkap, silahkan lihat Alkitab SABDA :: Keluaran 10
Studi Alkitab mobile, silahkan lihat Alkitab Mobi :: Keluaran 10

Download Aplikasi Alkitab Karaoke (BETA) Android:
https://play.google.com/store/apps/details?id=org.sabda.alkitabkaraoke
Kunjungi Alkitab Audio Diglot:
AYT - KJV