1 Jadi, apabila kamu telah mengalami semua hal ini, iaitu berkat dan laknat yang telah kuhadapkan kepadamu itu, dan kamu bertaubat dalam hatimu di tengah-tengah segala bangsa tempat kamu dibuang oleh TUHAN, Allahmu,
2 lalu kamu dan anak-anakmu berbalik kepada TUHAN, Allahmu, dan mematuhi-Nya dengan sepenuh hatimu dan dengan sepenuh jiwamu, seperti semua yang kuperintahkan kepadamu pada hari ini,
3 maka TUHAN, Allahmu, akan memulihkan keadaanmu dan akan mengasihani engkau. Dia akan kembali menghimpunkan kamu daripada kalangan bangsa di mana TUHAN, Allahmu, mencerai-beraikan kamu.
4 Bahkan jika ada antaramu yang terbuang ke hujung langit, maka dari sana juga TUHAN, Allahmu, akan menghimpunkan kamu, dan dari sana juga Dia akan mengambil kamu.
5 TUHAN, Allahmu, akan membawa kamu masuk ke negeri yang dimiliki nenek moyangmu, dan kamu juga akan memilikinya. Dia akan berbuat baik kepadamu dan meramaikan jumlahmu melebihi jumlah nenek moyangmu.
6 TUHAN, Allahmu, akan menyunat hatimu serta hati keturunanmu, sehingga kamu mengasihi TUHAN, Allahmu, dengan sepenuh hatimu dan dengan sepenuh jiwamu, supaya engkau dapat hidup.
7 TUHAN, Allahmu, akan menimpakan segala laknat ini kepada musuh-musuhmu dan kepada mereka yang membenci serta menganiaya kamu.
8 Kamu akan kembali mematuhi TUHAN dan melakukan segala perintah-Nya yang kusampaikan kepadamu pada hari ini.
9 TUHAN, Allahmu, akan membuat kamu berkelimpahan dalam segala hasil pekerjaan tanganmu, dalam buah kandunganmu, dalam hasil ternakanmu, dan dalam hasil tanahmu. TUHAN sekali lagi akan berkenan mendatangkan kebaikan ke atasmu – sebagaimana Dia dahulu berkenan kepada nenek moyangmu –
10 asalkan kamu mematuhi TUHAN, Allahmu, dengan berpegang teguh pada segala perintah-Nya serta segala kanun-Nya yang tertulis dalam Kitab Suci Taurat ini, dan asalkan kamu berbalik kepada TUHAN, Allahmu, dengan sepenuh hatimu dan dengan sepenuh jiwamu.
11 Sesungguhnya, perintah yang kusampaikan kepadamu pada hari ini tidaklah sukar bagimu dan tidaklah jauh daripada pencapaian kamu.
12 Bukan di langit tempatnya sehingga engkau berkata, ‘Siapakah yang akan naik ke langit dan mengambilnya untuk kita supaya kita dapat mendengarkannya lalu melakukannya?’
13 Bukan pula di seberang laut tempatnya sehingga kamu berkata, ‘Siapakah yang akan pergi ke seberang laut dan mengambilnya untuk kita supaya kita dapat mendengarkannya lalu melakukannya?’
14 Firman itu sangat dekat denganmu, iaitu dalam mulutmu dan dalam hatimu, sehingga kamu dapat melakukannya.
15 Lihatlah, pada hari ini aku menghadapkan kepadamu kehidupan dan kebahagiaan, kematian dan kesusahan.
16 Pada hari ini aku memerintahkan engkau untuk mengasihi TUHAN, Allahmu, dengan menjalani hidup menurut jalan-Nya dan berpegang teguh pada segala perintah-Nya, kanun-Nya, serta segala peraturan-Nya. Dengan demikian engkau akan hidup, bertambah ramai, dan diberkati TUHAN, Allahmu, di negeri yang akan kaumasuki untuk kaududuki kelak.
17 Akan tetapi, jika hatimu berpaling dan kamu tidak mahu mendengar, bahkan kamu disesatkan sehingga kamu sujud menyembah tuhan-tuhan lain serta beribadat kepadanya,
18 maka pada hari ini kunyatakan kepadamu bahawa kamu pasti binasa. Umurmu pun tidak akan lama di negeri yang akan kaumasuki dan kaududuki dengan menyeberangi Sungai Yordan.
19 Pada hari ini juga aku memanggil langit dan bumi untuk menjadi saksi atas kamu, bahawa aku telah menghadapkan kepadamu kehidupan dan kematian, berkat dan kutukan. Pilihlah kehidupan, supaya engkau dan keturunanmu dapat hidup.
20 Kasihilah TUHAN, Allahmu, patuhilah Dia, dan berpautlah kepada-Nya. Sesungguhnya, Dialah sumber hidupmu dan yang membuat umurmu panjang, sehingga engkau dapat tinggal di tanah yang telah disumpahkan TUHAN untuk memberikannya kepada nenek moyangmu, iaitu Abraham, Ishak, dan Yakub.”

Studi Alkitab lengkap, silahkan lihat Alkitab SABDA :: Ulangan 30
Studi Alkitab mobile, silahkan lihat Alkitab Mobi :: Ulangan 30

Download Aplikasi Alkitab Karaoke (BETA) Android:
https://play.google.com/store/apps/details?id=org.sabda.alkitabkaraoke
Kunjungi Alkitab Audio Diglot:
AYT - KJV