1 Raja Nebukadnezar membuat sebuah patung emas setinggi enam puluh hasta dan selebar enam hasta. Dia mendirikannya di Dataran Dura di Wilayah Babel.
2 Kemudian Raja Nebukadnezar memanggil wakil raja, penguasa, pembesar, penasihat negara, bendahara, hakim, ahli hukum, dan semua pegawai wilayah untuk menghadiri perasmian patung yang telah didirikan Raja Nebukadnezar itu.
3 Maka wakil raja, penguasa, pembesar, penasihat negara, bendahara, hakim, ahli hukum, dan semua pegawai wilayah berkumpul menghadiri perasmian patung yang telah didirikan Raja Nebukadnezar. Mereka berdiri di hadapan patung yang telah didirikan Nebukadnezar itu.
4 Lalu seorang bentara berseru dengan suara nyaring, “Kepadamu diperintahkan demikian, wahai orang daripada berbagai-bagai suku, bangsa, dan bahasa:
5 sebaik sahaja kamu mendengar bunyi nafiri, seruling, kecapi, rebab, gambus, serunai, dan pelbagai jenis muzik, sujudlah menyembah patung emas yang telah didirikan oleh Raja Nebukadnezar.
6 Sesiapa yang tidak mahu sujud menyembah, saat itu juga dia akan dicampakkan ke dalam dapur api yang menyala-nyala.”
7 Maka, sebaik sahaja seluruh rakyat mendengar suara nafiri, seruling, kecapi, rebab, gambus, dan pelbagai jenis muzik, maka orang daripada segala suku, bangsa, dan bahasa sujud menyembah patung emas yang telah didirikan oleh Raja Nebukadnezar.
8 Pada waktu itu juga, datanglah beberapa orang Kasdim melontarkan tuduhan terhadap orang Yahudi.
9 Mereka berkata kepada Raja Nebukadnezar, “Dirgahayu Raja!
10 Tuanku Raja telah mengeluarkan titah bahawa setiap orang yang mendengar bunyi nafiri, seruling, kecapi, rebab, gambus, serunai, dan pelbagai jenis muzik harus sujud menyembah patung emas itu,
11 dan sesiapa yang tidak mahu sujud menyembahnya harus dicampakkan ke dalam dapur api yang menyala-nyala.
12 Ada beberapa orang Yahudi yang telah tuanku lantik untuk mengurus hal ehwal Wilayah Babel, iaitu Sadrakh, Mesakh, dan Abednego. Mereka itu tidak mengendahkan Tuanku Raja. Mereka tidak mahu menyembah para tuhan tuanku dan tidak mahu menyembah patung emas yang telah tuanku dirikan itu.”
13 Maka dengan amat murka sekali, Nebukadnezar memerintahkan supaya Sadrakh, Mesakh, dan Abednego dibawa untuk menghadapnya. Lalu dibawalah mereka itu untuk menghadap raja.
14 Nebukadnezar bertanya kepada mereka, “Wahai Sadrakh, Mesakh, dan Abednego, benarkah kamu tidak mahu menyembah para tuhanku dan tidak mahu menyembah patung emas yang telah kudirikan itu?
15 Sekarang, jika kamu sudah sedia, sebaik sahaja kamu mendengar bunyi nafiri, seruling, kecapi, rebab, gambus, serunai, dan pelbagai jenis muzik, sujudlah menyembah patung yang kubuat itu. Tetapi jika kamu tidak mahu menyembahnya, saat itu juga kamu akan dicampakkan ke dalam dapur api yang menyala-nyala! Maka tuhan manakah yang dapat melepaskan kamu daripada tanganku?”
16 Sadrakh, Mesakh, dan Abednego menjawab Raja Nebukadnezar, “Tidak ada gunanya kami memberikan jawapan kepada tuanku dalam hal ini.
17 Kalau harus demikian, maka Allah yang kami sembah sanggup melepaskan kami dari dapur api yang menyala-nyala itu, dan Dia akan melepaskan kami daripada tangan Tuanku Raja.
18 Tetapi kalaupun tidak, harap Tuanku Raja maklum bahawa kami tidak mahu menyembah tuhan-tuhan tuanku dan tidak mahu menyembah patung emas yang tuanku dirikan itu.”
19 Maka meluap-luaplah murka Nebukadnezar sehingga air mukanya berubah terhadap Sadrakh, Mesakh, dan Abednego. Dia memerintah supaya menyalakan dapur api itu tujuh kali lebih panas daripada biasanya.
20 Lalu dia memerintah beberapa orang yang sangat kuat daripada tenteranya untuk mengikat Sadrakh, Mesakh, dan Abednego, supaya mereka dicampakkan ke dalam dapur api yang menyala-nyala itu.
21 Kemudian ketiga-tiga orang yang masih memakai jubah, celana, serban, dan pakaian lainnya itu diikat, lalu dicampakkan ke dalam dapur api yang menyala-nyala.
22 Kerana perintah raja itu keras dan dapur api itu dipanaskan secara luar biasa, maka mereka yang mengangkat Sadrakh, Mesakh, dan Abednego itu mati oleh bahang api yang bernyala itu
23 manakala ketiga-tiga orang itu, yakni Sadrakh, Mesakh, dan Abednego, jatuh dengan terikat ke dalam dapur api yang menyala-nyala itu.
24 Kemudian terperanjatlah Raja Nebukadnezar lalu bangun dengan segera. Tanyanya kepada para menterinya, “Bukankah tiga orang yang kita campakkan dengan terikat ke dalam api itu?” Jawab mereka kepada raja, “Benar, ya Raja.”
25 Kata raja, “Tetapi kulihat empat orang berjalan-jalan dengan bebas di tengah-tengah api itu tanpa sebarang luka, dan rupa orang yang keempat itu seperti anak tuhan!”
26 Setelah itu, Nebukadnezar mendekati pintu dapur api yang menyala-nyala itu. Dia berkata, “Sadrakh, Mesakh, dan Abednego, hamba-hamba Allah Yang Maha Tinggi, keluarlah dan datanglah ke mari!” Lalu keluarlah Sadrakh, Mesakh, dan Abednego dari tengah-tengah api itu,
27 sementara para wakil raja, para penguasa, para pembesar, dan para menteri raja datang berkumpul. Mereka melihat bahawa tubuh ketiga-tiga orang itu tidak terkesan langsung oleh api, rambut di kepala mereka tidak hangus, jubah mereka tidak berubah, dan bau terbakar pun tidak ada pada mereka.
28 Kata Nebukadnezar, “Segala puji bagi Allah yang disembah Sadrakh, Mesakh, dan Abednego! Dia telah mengutus malaikat-Nya untuk melepaskan hamba-hamba-Nya yang percaya kepada-Nya sehingga berani melanggar perintah raja. Mereka rela menyerahkan tubuh mereka kerana tidak mahu beribadat atau menyembah tuhan mana-mana pun selain Allah mereka.
29 Oleh sebab itu, aku mengeluarkan titah: Orang daripada suku, bangsa, dan bahasa mana-mana pun yang berani mengatakan sesuatu yang salah terhadap Allah yang disembah Sadrakh, Mesakh, dan Abednego, akan dikerat-kerat dan rumahnya akan dijadikan timbunan puing, kerana tidak ada tuhan lain yang dapat menyelamatkan dengan cara demikian.”
30 Kemudian raja menaikkan kedudukan Sadrakh, Mesakh, dan Abednego di Wilayah Babel.

Studi Alkitab lengkap, silahkan lihat Alkitab SABDA :: Daniel 3
Studi Alkitab mobile, silahkan lihat Alkitab Mobi :: Daniel 3

Download Aplikasi Alkitab Karaoke (BETA) Android:
https://play.google.com/store/apps/details?id=org.sabda.alkitabkaraoke
Kunjungi Alkitab Audio Diglot:
AYT - KJV