1 TUHAN berfirman kepada Musa,
2 “Lakukanlah pembalasan terhadap orang Midian ke atas segala perbuatan mereka terhadap orang Israel. Setelah itu, kamu akan dikumpulkan bersama dengan kaum leluhurmu.”
3 Kata Musa kepada bangsa itu, “Hendaklah kamu persenjatai beberapa orang daripada kalangan kamu untuk berperang. Hendaklah mereka serang Midian demi menjalankan pembalasan TUHAN terhadap Midian.
4 Hendaklah kamu hantar seribu orang daripada setiap suku di Israel untuk berperang.”
5 Maka dikerahkanlah ribuan orang Israel yang sanggup berperang, seribu orang dari setiap suku. Jadi, jumlah seluruhnya dua belas ribu orang.
6 Musa pun menghantar mereka, iaitu seribu orang daripada setiap suku itu, untuk berperang bersama-sama Pinehas, anak Imam Eleazar, yang membawa kelengkapan tempat suci serta segala nafiri yang memberikan isyarat semboyan di tangannya.
7 Lalu seperti yang diperintahkan TUHAN kepada Musa, berperanglah mereka melawan orang Midian, dan membunuh setiap lelaki.
8 Mereka juga berjaya membunuh kelima-lima orang raja orang Midian, iaitu Ewi, Rekem, Zur, Hur, dan Reba. Malahan riwayat Bileam anak Beor juga ditamatkan mereka dengan pedang.
9 Para warga perempuan Midian berserta anak-anak mereka ditawan oleh orang Israel. Semua haiwan, ternakan, dan segala harta benda mereka juga dijarah.
10 Selain itu, semua kota tempat kediaman mereka dan semua perkhemahan Midian dibakar.
11 Orang Israel mengambil segala jarahan serta rampasan itu, termasuk juga haiwan dan para tawanan,
12 lalu membawa semua itu kepada Musa, Imam Eleazar, dan umat Israel di perkhemahan mereka yang terletak di dataran Moab, di tepi Sungai Yordan dekat Yerikho.
13 Kemudian Musa, Imam Eleazar, dan semua pemimpin umat itu pergi menyongsong mereka di luar perkhemahan.
14 Akan tetapi, Musa menjadi marah dengan ketua-ketua pasukan, iaitu para pemimpin pasukan setiap seribu orang dan para pemimpin pasukan setiap seratus orang yang pulang daripada peperangan.
15 Kata Musa kepada mereka, “Jadi, kamu membiarkan semua perempuan hidup?
16 Ingat, atas nasihat Bileam, merekalah yang menyebabkan orang Israel berbuat mungkar terhadap TUHAN berhubungan dengan perkara Peor, sehingga wabak melanda umat TUHAN.
17 Sekarang, matikanlah semua anak lelaki mereka, juga semua perempuan yang pernah bersetubuh dengan lelaki.
18 Tetapi biarkanlah hidup semua anak perempuan yang belum pernah bersetubuh dengan lelaki, dan ambillah mereka bagimu.
19 Berkhemahlah di luar perkhemahan tujuh hari lamanya, hendaklah sesiapa pun yang telah membunuh orang serta menyentuh mayat orang yang tewas itu menyucikan diri pada hari ketiga dan ketujuh. Hal ini berkuat kuasa baik bagi kamu mahupun orang tawananmu.
20 Sucikanlah juga setiap pakaian, setiap barang yang terbuat daripada kulit, daripada bulu kambing, serta daripada kayu.”
21 Maka berkatalah Imam Eleazar kepada pejuang yang telah pergi berperang, “Inilah ketetapan hukum yang diperintahkan TUHAN kepada Musa.
22 Hendaklah emas, perak, tembaga, besi, timah putih, dan timah hitam,
23 iaitu segala sesuatu yang tahan api disucikan dalam api supaya menjadi suci. Tetapi kemudian hendaklah barang-barang itu juga disucikan dengan air pembersih kecemaran. Manakala semua yang tidak tahan api hendaklah kamu celup ke dalam air.
24 Cucilah pakaianmu pada hari ketujuh, maka kamu akan menjadi suci. Sesudah itu barulah kamu boleh masuk ke dalam perkhemahan.”
25 TUHAN berfirman kepada Musa,
26 “Hendaklah kamu, Imam Eleazar, dan ketua-ketua kaum keluarga umat itu menghitung jumlah rampasan yang telah diangkut, baik manusia mahupun haiwan.
27 Bahagikanlah rampasan itu menjadi dua bahagian, separuh untuk pasukan perang yang telah pergi bertempur, dan separuh lagi untuk seluruh umat.
28 Daripada pejuang yang pergi bertempur, pungutlah ufti bagi TUHAN, iaitu satu daripada setiap lima ratus bilangan manusia, lembu, keldai, serta domba.
29 Ambillah itu daripada separuh bahagian milik mereka, lalu serahkanlah kepada Imam Eleazar sebagai persembahan khusus kepada TUHAN.
30 Sementara itu, dari separuh bahagian milik orang Israel ambillah satu daripada setiap lima puluh bilangan manusia, lembu, keldai, domba, serta segala haiwan, lalu serahkanlah kepada bani Lewi yang berkewajipan menguruskan Khemah Suci TUHAN.”
31 Maka Musa dan Imam Eleazar melakukan seperti yang diperintahkan TUHAN kepada Musa.
32 Jumlah baki barang rampasan daripada jarahan yang diambil oleh pasukan perang itu ialah 675,000 ekor domba,
33 72,000 ekor lembu,
34 dan 61,000 ekor keldai.
35 Jumlah perempuan yang belum pernah bersetubuh dengan lelaki ialah 32,000 orang.
36 Separuh bahagian yang menjadi milik orang yang pergi berperang berjumlah 337,500 ekor domba.
37 Daripada domba itu, 675 ekor diserahkan kepada TUHAN sebagai ufti.
38 Daripada lembu sejumlah 36,000 ekor, dan 72 ekor diserahkan kepada TUHAN sebagai ufti.
39 Daripada keldai sejumlah 30,500 ekor, 61 ekor diserahkan kepada TUHAN sebagai ufti.
40 Jumlah orang ialah 16,000, dan 32 orang daripada jumlah ini diserahkan kepada TUHAN sebagai ufti.
41 Kemudian Musa menyerahkan kepada Imam Eleazar ufti yang menjadi persembahan khusus bagi TUHAN, seperti yang diperintahkan TUHAN kepada Musa.
42 Separuh bahagian lagi ialah milik orang Israel, yang dipisahkan Musa daripada bahagian orang yang telah berperang.
43 Separuh bahagian milik umat itu berjumlah 337,500 ekor domba,
44 36,000 ekor lembu,
45 30,500 ekor keldai,
46 dan 16,000 orang manusia.
47 Daripada separuh bahagian milik orang Israel itu, Musa mengambil satu dari setiap lima puluh bilangan manusia dan juga binatang, lalu menyerahkannya kepada bani Lewi yang berkewajipan menguruskan Khemah Suci TUHAN, seperti yang diperintahkan TUHAN kepada Musa.
48 Kemudian orang yang mengetuai ribuan tentera itu, iaitu para pemimpin pasukan seribu orang dan para pemimpin pasukan seratus orang, datang menghadap Musa.
49 Mereka berkata kepada Musa, “Hamba-hambamu ini telah menghitung jumlah pejuang yang ada di bawah pimpinan kami. Tiada seorang pun hilang daripada kalangan kami.
50 Oleh sebab itu, kami membawa persembahan berupa barang-barang emas yang didapati oleh mereka masing-masing untuk dipersembahkan kepada TUHAN, iaitu gelang kaki, gelang tangan, cincin, anting-anting, dan gelang lengan supaya diadakan pendamaian bagi nyawa kami di hadapan TUHAN.”
51 Musa dan Imam Eleazar menerima emas itu daripada mereka. Semuanya ialah barang tempaan.
52 Seluruh emas persembahan khusus yang diserahkan kepada TUHAN oleh para pemimpin pasukan seribu orang dan para pemimpin pasukan seratus orang itu ialah 16,750 syikal beratnya.
53 Para pejuang itu memang telah mengambil rampasan bagi diri masing-masing.
54 Setelah Musa dan Imam Eleazar menerima emas itu daripada para pemimpin pasukan seribu orang dan pasukan seratus orang, mereka membawanya masuk ke Khemah Pertemuan sebagai tanda peringatan bagi orang Israel di hadapan TUHAN.