1 Apabila Raja negeri Arad, orang Kanaan yang tinggal di Tanah Negeb, mendengar bahawa orang Israel datang melalui jalan Atarim, berperanglah dia melawan orang Israel dan menawan beberapa orang daripada mereka.
2 Lalu bernazarlah orang Israel kepada TUHAN: “Jika Engkau menyerahkan bangsa ini ke dalam tangan kami, maka kami akan menumpaskan kota-kota mereka.”
3 TUHAN mendengar permohonan orang Israel dan menyerahkan orang Kanaan itu. Mereka pun menumpaskan orang itu berserta kota-kota mereka. Itulah sebabnya tempat itu dinamai Horma.
4 Mereka melanjutkan perjalanan dari Gunung Hor ke arah Laut Merah untuk mengelilingi Tanah Edom. Akan tetapi, bangsa itu tidak dapat menahan hati lagi di tengah jalan.
5 Mereka merungut-rungut terhadap Allah dan Musa, “Mengapakah kamu memimpin kami keluar dari Mesir? Supaya kami mati di gurun? Sesungguhnya, di sini tidak ada roti dan tidak ada air, dan kami muak dengan makanan tidak berguna ini!”
6 Kemudian TUHAN melepaskan ular-ular berbisa ke tengah-tengah bangsa itu. Ular-ular itu memagut umat itu sehingga banyak rakyat Israel yang mati.
7 Maka datanglah bangsa itu kepada Musa dan berkata, “Kami telah berdosa kerana kami berkata-kata melawan TUHAN dan kamu. Berdoalah kepada TUHAN supaya Dia menjauhkan ular-ular ini daripada kami.” Lalu Musa berdoa bagi bangsa itu,
8 dan TUHAN berfirman kepada Musa, “Buatlah arca ular berbisa dan letaklah di atas sebatang tiang. Sesiapa pun yang dipagut oleh ular tadi akan tetap hidup kalau dia melihat arca ular itu.”
9 Lalu Musa membuat ular tembaga dan meletakkannya di atas sebatang tiang. Jika ada sesiapa yang dipagut oleh ular, dia akan memandang arca ular tembaga dan terus hidup.
10 Maka berangkatlah orang Israel lalu berkhemah di Obot.
11 Setelah itu, mereka berangkat pula meninggalkan Obot, lalu berkhemah di reruntuhan Abarim, di gurun yang menghadap ke Moab, di sebelah timur.
12 Dari situ mereka melanjutkan perjalanan, lalu berkhemah di Lembah Zered.
13 Dari situ mereka berangkat lagi, lalu berkhemah di seberang Sungai Arnon di gurun, yang mengalir dari daerah orang Amori. Sungai Arnon ialah perbatasan antara daerah bani Moab dengan bani Amori.
14 Itulah sebabnya disebutkan dalam Kitab Hikayat Peperangan TUHAN, “Waheb di Sufa dan lembah-lembah Sungai Arnon,
15 dan lereng lembah-lembah yang terbentang ke arah Kota Ar, condong ke perbatasan Moab.”
16 Dari situ mereka berangkat menuju Beer. Itulah perigi tempat TUHAN berfirman kepada Musa, “Kumpulkanlah bangsa itu, Aku akan memberi mereka air.”
17 Pada waktu itu orang Israel menyanyikan nyanyian ini: “Membuak-buaklah, wahai perigi! Bernyanyilah tentang dia,
18 perigi yang digali oleh pembesar, yang dikorek oleh kaum bangsawan dalam kalangan bangsa itu dengan cokmar pemerintahan dan dengan tongkat-tongkat mereka.” Selanjutnya, dari gurun itu mereka berangkat ke Matana,
19 dari Matana ke Nahaliel, dari Nahaliel ke Bamot,
20 dari Bamot ke lembah yang di daerah Moab, dekat puncak Gunung Pisga yang menghadap ke gurun.
21 Kemudian orang Israel mengirim beberapa orang utusan kepada Sihon, raja bani Amori, dengan pesan,
22 “Izinkanlah kami lalu di negerimu. Kami tidak akan menyimpang memasuki ladang atau kebun anggurmu, dan kami tidak akan minum air dari perigimu. Kami hendak berjalan menyusuri jalan raya raja sahaja sehingga kami lalu di perbatasanmu.”
23 Akan tetapi, Sihon tidak mengizinkan orang Israel lalu di daerahnya. Sebaliknya, dia mengerahkan seluruh pasukannya keluar mendatangi orang Israel di gurun. Setibanya di Yahas berperanglah dia melawan orang Israel.
24 Namun demikian, orang Israel mengalahkannya dengan mata pedang dan menduduki negerinya dari Sungai Arnon sampai ke Sungai Yabok, hingga sejauh perbatasan bani Amon, kerana perbatasan bani Amon itu kuat.
25 Orang Israel merebut semua kota itu lalu tinggal di kota-kota orang Amori, iaitu di Hesbon dan di kota-kota kecil sekitarnya.
26 Hesbon ialah kota kediaman Sihon, raja bani Amori. Dia pernah berperang melawan raja Moab yang terdahulu dan merebut seluruh negeri itu daripada tangannya, sampai ke Arnon.
27 Itulah sebabnya penyair-penyair berkata, “Datanglah ke Hesbon, biarlah kota kediaman Sihon itu dibangunkan dan diperkuat!
28 Api keluar dari Hesbon, nyala api dari kota kediaman Sihon, menghanguskan Ar-Moab, warga tempat-tempat tinggi dekat Sungai Arnon.
29 Malangnya kamu, hai Moab! Binasalah kamu, hai umat Kamos! Dia membuat anak-anak lelakinya menjadi pelarian dan anak-anak perempuannya menjadi tawanan bagi Sihon, raja bani Amori.
30 Kita telah memanah mereka, maka Hesbon binasa sampai ke Dibon. Kita pun telah menanduskannya sampai ke Nofah, yang terbentang sampai ke Medeba.”
31 Demikianlah orang Israel tinggal di negeri bani Amori.
32 Kemudian Musa mengutus orang untuk mengintip Yaezer, lalu mereka berhasil merebut kota-kota kecil di sekitarnya dan mengusir mana-mana bani Amori yang ada di sana.
33 Setelah itu, mereka berbalik dan maju ke arah Basan. Og, raja Basan, keluar menghadapi mereka berserta seluruh pasukannya untuk berperang di Edrei.
34 Tetapi TUHAN berfirman kepada Musa, “Jangan takut kepadanya kerana Aku telah menyerahkan dia dan seluruh pasukannya ke dalam tanganmu, bahkan seluruh negerinya. Lakukanlah terhadapnya sebagaimana kamu lakukan terhadap Sihon, raja bani Amori, yang tinggal di Hesbon.”
35 Maka mereka pun mengalahkan Og, anak-anaknya, dan seluruh pasukannya hinggakan tiada seorang pun yang terselamat. Setelah itu, mereka menduduki negerinya.