1 Berserulah! Adakah sesiapa yang akan menjawab kamu? Kepada siapakah antara malaikat suci akan engkau berpaling?
2 Sesungguhnya, orang bodoh dibunuh oleh rasa kesal, dan orang yang bebal dimatikan oleh dengki.
3 Aku pernah melihat orang bodoh berakar, tetapi tiba-tiba sahaja, kukutuk kediamannya.
4 Anak-anaknya jauh daripada selamat, mereka dihancurkan di pintu gerbang tanpa ada yang menolong.
5 Apa yang dituainya, dimakan habis oleh orang yang kelaparan, direnggut bahkan daripada duri, dan orang yang dahaga menghasratkan kekayaannya.
6 Kesusahan tidak terbit daripada debu dan kesukaran tidak tumbuh dari tanah,
7 tetapi manusia dilahirkan bagi kesukaran, seperti bunga api melayang tinggi.
8 Tetapi aku, tentu aku akan mencari Allah, kepada Allah akan kuserahkan perkaraku.
9 Dia melakukan hal-hal besar yang tidak mampu kita cari, hal-hal ajaib yang tidak terhingga jumlahnya.
10 Dia menurunkan hujan ke permukaan bumi, dan mengirimkan air ke permukaan padang.
11 Dia menempatkan orang bawahan pada kedudukan yang tinggi, dan orang yang berdukacita diangkat supaya selamat.
12 Dia menggagalkan rancangan orang cerdik, sehingga upaya tangan mereka tidak berhasil.
13 Dia memerangkap orang bijak dengan kecerdikan mereka sendiri, dan rancangan orang yang banyak muslihat segera ditamatkan-Nya.
14 Pada siang hari mereka menjumpai kegelapan, pada tengah hari mereka meraba-raba seperti pada malam hari.
15 Tetapi Dia menyelamatkan orang melarat daripada pedang yang keluar daripada mulut mereka, bahkan daripada tangan orang yang kuat.
16 Dengan demikian orang miskin mempunyai harapan, dan kezaliman tutup mulut.
17 Sesungguhnya, berbahagialah orang yang ditegur Allah. Maka janganlah kaupandang rendah didikan Yang Maha Kuasa.
18 Dia melukai, tetapi juga membalut. Dia meremukkan, tetapi tangan-Nya juga menyembuhkan.
19 Dia akan melepaskan engkau daripada enam kesesakan, dan dalam yang ketujuh engkau tidak akan terkena malapetaka.
20 Pada masa kelaparan Dia akan menebus engkau daripada maut, dan pada masa perang daripada kuasa pedang.
21 Engkau akan terlindung daripada cemeti lidah orang, engkau tidak akan takut ketika kemusnahan datang.
22 Engkau akan mentertawakan kemusnahan dan kelaparan, dan tidak akan takut kepada binatang liar.
23 Dengan batu-batu di padang engkau akan mengadakan perjanjian, binatang liar akan berdamai dengan engkau.
24 Engkau akan dapati khemahmu selamat sejahtera, ketika engkau memeriksa kediamanmu, engkau tidak akan kehilangan apa-apa.
25 Engkau akan tahu bahawa keturunanmu menjadi ramai dan anak cucumu seperti rumput di bumi.
26 Engkau akan masuk kubur pada takat penuh usiamu seperti timbunan gandum dibawa masuk pada musimnya.
27 Sesungguhnya, hal-hal ini sudah kami kaji, dan memang demikianlah adanya. Dengarlah dan ketahuilah!”