1 Maka Elifas, orang Teman, menjawab,
2 “Jika orang cuba bercakap kepadamu, adakah engkau kesal? Tetapi siapakah yang dapat menahan diri daripada berkata-kata?
3 Sesungguhnya, engkau telah mengajar ramai orang, dan engkau telah menguatkan tangan yang lemah.
4 Kata-katamu telah menegakkan orang yang jatuh, dan engkau telah meneguhkan lutut yang longlai.
5 Tetapi sekarang engkau yang ditimpa geruh dan engkau kesal, dirimu yang terkena dan engkau terkejut.
6 Bukankah ketakwaanmu menjadi harapan kekuatanmu, dan ketulusan hidupmu menjadi pengharapanmu?
7 Fikirkanlah, siapa binasa jika tidak bersalah? Mana ada orang benar yang dilenyapkan?
8 Menurut pengamatanku, orang yang membajak kejahatan dan yang menabur kezaliman, hal-hal itu jua yang bakal dituainya.
9 Oleh nafas Allah mereka binasa, oleh hembusan hidung-Nya mereka dihapuskan.
10 Singa boleh mengaum, singa boleh bersuara, tetapi gigi-gigi singa muda dipatahkan.
11 Singa jantan binasa kerana kekurangan mangsa, dan anak-anak singa betina tercerai-berai.
12 Suatu hal disampaikan kepadaku secara diam-diam, telingaku menangkap bisikannya.
13 Dalam kegelisahan kerana penglihatan pada malam hari, ketika tidur yang lelap melanda manusia,
14 ketakutan dan kegentaran menimpaku, sehingga semua tulangku menjadi gementar.
15 Suatu roh melintas di depanku, meremanglah bulu romaku.
16 Ia berhenti, tetapi tidak dapat kukenali rupanya. Ada susuk yang hadir di hadapan mataku, hening, lalu kudengar suara,
17 ‘Mungkinkah manusia lebih benar daripada Allah? Mungkinkah manusia lebih suci daripada Allah?’
18 Kalau hamba-hamba-Nya tidak dipercayai-Nya, dan para malaikat-Nya didakwa-Nya bersalah,
19 apatah lagi mereka yang mendiami rumah tanah liat, yang asasnya berada di dalam debu, dan yang hancur seperti gegat.
20 Di antara pagi dengan petang mereka diremukkan, mereka binasa untuk selama-lamanya tanpa dihiraukan.
21 Bukankah tali khemah mereka dicabut? Mereka mati tanpa sebarang hikmah.