1 Elihu berkata,
2 “Dengarlah kata-kataku, wahai kalangan bijak. Perhatikanlah aku, wahai kalangan berpengetahuan,
3 kerana telinga menguji kata-kata sebagaimana langit-langit mengecap makanan.
4 Mari kita putuskan bagi kita apa yang adil, mari kita tentukan antara kita apa yang baik.
5 Ayub berkata, ‘Aku benar, tetapi Allah telah mengambil hakku.
6 Sungguhpun aku mempunyai hak, aku dianggap pembohong. Sungguhpun aku tidak melakukan pelanggaran, lukaku tidak dapat disembuhkan.’
7 Siapakah manusia seperti Ayub, yang meminum cemuhan seperti air?
8 Dia bersekutu dengan para pelaku kejahatan, dan bergaul dengan kalangan fasiq.
9 Katanya, ‘Tidak ada gunanya bagi manusia kalau Allah berkenan dengannya.’
10 Oleh sebab itu dengarlah aku, wahai kalangan berakal, ‘Jauhlah daripada Allah untuk berbuat fasiq, jauhlah daripada Yang Maha Kuasa untuk berbuat kezaliman.’
11 Dia membalas manusia menurut perbuatan mereka, Dia membuat orang mendapat ganjaran menurut kelakuan mereka.
12 Sungguh, Allah tidak akan berbuat fasiq, Yang Maha Kuasa tidak akan membengkokkan keadilan.
13 Siapa mempercayakan bumi kepada-Nya? Siapa menanggungkan seluruh dunia kepada-Nya?
14 Jika Dia menetapkan kehendak-Nya dan menarik kembali roh-Nya serta nafas-Nya,
15 maka putuslah nyawa semua makhluk bersama-sama, dan manusia kembali menjadi debu.
16 Jika engkau memiliki pengertian, dengarlah ini, perhatikanlah bunyi perkataanku.
17 Wajarkah pembenci keadilan memerintah? Wajarkah engkau menyalahkan Dia yang adil dan perkasa,
18 yang berfirman kepada raja, ‘Wahai, orang dursila,’ dan kepada para bangsawan, ‘Wahai, orang fasiq,’
19 yang tidak memihak kepada para pembesar dan tidak memandang orang kaya lebih daripada orang miskin, kerana mereka semua buatan tangan-Nya?
20 Dalam sesaat mereka mati. Pada tengah malam orang digoyangkan lalu lenyap, kalangan perkasa disingkirkan bukan oleh tangan manusia.
21 Mata-Nya memandang jalan-jalan manusia, dan melihat segala langkahnya.
22 Tidak ada kegelapan atau bayang-bayang maut, tempat para pelaku kejahatan dapat bersembunyi.
23 Tidak perlu Allah memeriksa manusia lagi sehingga orang itu harus datang menghadap-Nya di pengadilan.
24 Dia menghancurkan kalangan perkasa tanpa pemeriksaan, dan mengangkat kalangan lain menggantikan mereka.
25 Jadi, Dia mengetahui pekerjaan mereka dan menggulingkan mereka pada malam hari sehingga mereka hancur.
26 Dia menampar mereka kerana kefasiqan mereka di tempat yang terlihat oleh orang lain,
27 kerana mereka menjauh daripada-Nya dan tidak mahu mengendahkan segala jalan-Nya.
28 Mereka menyebabkan seruan orang miskin sampai kepada-Nya, dan Dia mendengar seruan orang yang sengsara.
29 Kalau Dia berdiam-diam sahaja, siapa dapat menyalahkan-Nya? Kalau Dia menyembunyikan wajah-Nya, siapa yang dapat memandang-Nya? Dia berkuasa atas suatu bangsa, dan juga atas diri seseorang,
30 supaya jangan orang munafik menaiki takhta, supaya jangan rakyat terjerat.
31 Adakah orang yang berkata kepada Allah, ‘Aku telah meninggikan diri, tetapi aku tidak akan lagi berbuat kesalahan.
32 Kiranya Kauajar aku hal yang tidak kulihat. Jika aku telah berbuat zalim, maka aku tidak akan melakukannya lagi’?
33 Haruskah Dia melakukan pembalasan menurut kehendakmu, padahal engkau sendiri menolaknya? Engkaulah yang harus memutuskan, bukan aku. Oleh sebab itu katakanlah apa yang kauketahui.
34 Orang yang berakal akan berkata kepadaku, begitu pula orang bijak yang mendengar aku:
35 ‘Ayub berbicara tanpa pengetahuan. Kata-katanya tidak bijaksana.’
36 Andai Ayub diuji sampai penghabisan, kerana dia menjawab seperti kalangan jahat!
37 Dia menambah dosanya dengan pelanggaran, bertepuk tangan dalam kalangan kita sambil bermegah, dan memperbanyak kata-katanya menentang Allah.”

Studi Alkitab lengkap, silahkan lihat Alkitab SABDA :: Ayub 34
Studi Alkitab mobile, silahkan lihat Alkitab Mobi :: Ayub 34

Download Aplikasi Alkitab Karaoke (BETA) Android:
https://play.google.com/store/apps/details?id=org.sabda.alkitabkaraoke
Kunjungi Alkitab Audio Diglot:
AYT - KJV