1 Ayub melanjutkan huraiannya, katanya,
2 “Kalaulah aku seperti dalam bulan-bulan yang silam, seperti semasa hari-hari Allah melindungiku,
3 ketika pelita-Nya bersinar di atas kepalaku dan dengan cahaya-Nya aku berjalan dalam kegelapan.
4 Kalaulah aku seperti pada masa mudaku, ketika persahabatan Allah menaungi khemahku;
5 ketika Yang Maha Kuasa masih bersama denganku, dan anak-anakku ada di sekelilingku;
6 ketika langkah-langkahku bermandikan dadih, dan batu pejal mencucurkan aliran minyak bagiku.
7 Dahulu, ketika aku keluar ke pintu gerbang kota, dan ketika kusediakan kerusiku di alun-alun,
8 kalangan muda melihatku dan undur diri, sedang kalangan tua bangkit berdiri;
9 para pembesar berhenti bicara dan menekapkan tangan ke mulut;
10 suara para penghulu tidak terdengar, lidah mereka melekat ke langit-langit mulut.
11 Ketika telinga mendengar, aku disebut berbahagia; ketika mata melihat, aku dipuji,
12 kerana aku menyelamatkan orang miskin yang berteriak minta tolong, dan anak-anak yatim tiada sesiapa yang menolong mereka.
13 Aku menerima ucapan berkat daripada orang yang nyaris binasa, dan kubuat hati seorang balu bersorak-sorai.
14 Perbenaran kupakai sebagai pakaianku, keadilan seperti jubah dan serban bagiku.
15 Aku menjadi mata bagi orang buta dan kaki bagi orang tempang.
16 Aku menjadi bapa bagi fakir miskin, kuselidiki perkara orang yang tidak kuketahui.
17 Aku mematahkan geraham orang zalim dan menyentakkan mangsa daripada gigi-giginya.
18 Fikirku, ‘Aku akan mati di sarangku dan memperbanyak hari-hariku seperti pasir.
19 Akarku menjulur ke air, embun bermalam di cabangku.
20 Kemuliaanku tetap segar kepadaku, busur panahku diperbaharu di tanganku.
21 Orang mendengar dan menantikan aku, mereka berdiam diri mendengar nasihatku.
22 Setelah aku berbicara, mereka tidak berbicara lagi, kata-kataku menetes ke atas mereka.
23 Mereka menantikan aku seperti menantikan hujan, mereka mengangakan mulut seperti menadah hujan pada akhir musim.
24 Jika aku tersenyum kepada mereka, mereka tidak dapat mempercayainya dan seri mukaku tidak dapat dimuramkan mereka.
25 Aku memilih jalan bagi mereka dan duduk sebagai kepala. Aku bersemayam seperti raja di tengah-tengah pasukannya, seperti orang yang menghiburkan kalangan yang berkabung.’ ”