1 Ayub melanjutkan huraiannya, katanya,
2 “Demi Allah yang hidup, yang telah mengambil hakku, demi Yang Maha Kuasa, yang telah membuat jiwaku menjadi getir,
3 selagi aku masih lagi bernyawa dan nafas Allah masih di dalam lubang hidungku,
4 bibirku tidak akan mengatakan kezaliman dan lidahku tidak akan mengungkapkan penipuan;
5 janganlah aku sekali-kali berkata kamu tidak bersalah, sampai putus nyawa pun aku tidak akan menyingkirkan ketulusan hatiku.
6 Kupegang perbenaranku dengan teguh dan tidak kulepaskan, hatiku tidak mencela sehari pun daripada umurku.
7 Biarlah musuhku bernasib seperti orang fasiq, orang yang melawan aku seperti orang zalim.
8 Apakah harapan orang durjana ketika Allah menghancurkannya ketika Allah mengambil nyawanya?
9 Adakah Allah mahu mendengar seruannya ketika kesesakan menimpanya?
10 Dapatkah dia bersenang-senang di dalam Yang Maha Kuasa dan berseru kepada Allah setiap waktu?
11 Aku akan mengajar kamu fasal kuasa Allah, apa yang ada pada Yang Maha Kuasa tidak akan kusembunyikan.
12 Sesungguhnya, kamu semua sudah melihatnya. Mengapa pula kamu mengujarkan kata-kata yang sia-sia?
13 Inilah bahagian orang fasiq yang dikhaskan Allah, harta pusaka orang kejam yang diterima mereka daripada Yang Maha Kuasa:
14 Jika anak-pinaknya bertambah ramai, mereka dimakan pedang. Anak cucunya tidak kenyang dengan makanan.
15 Kalangan orangnya yang tertinggal dikuburkan kerana wabak, dan balu mereka tidak menangisi mereka.
16 Sekalipun dia menimbunkan perak seperti debu dan melonggokkan pakaian seperti tanah liat,
17 maka apa yang ditimbunkannya akan dipakai oleh orang benar, dan perak yang dilonggokkannya akan dibahagi-bahagikan oleh orang yang tidak bersalah.
18 Dia mendirikan rumahnya sebagaimana sarang gegat, seperti pondok yang dibuat oleh si penjaga.
19 Dia berbaring sebagai orang kaya, tetapi tidak lagi dapat melakukannya. Dia membuka matanya dan semuanya sudah tiada lagi.
20 Kedahsyatan menyergapnya seperti air bah, angin puyuh melayangkannya pada malam hari.
21 Angin timur mengangkatnya, lalu dia lenyap. Dia disapukan dari tempatnya.
22 Tanpa belas kasihan, Allah melontarinya, dia lari pontang-panting daripada kuasa-Nya.
23 Orang bertepuk tangan kerana dia dan berdesis-desis mengusirnya dari tempatnya.”