1 Kemudian Ayub menjawab,
2 “Bahkan hari ini pun keluhanku getir, tekananku berat, begitu juga keluh-kesahku.
3 Sekiranya aku tahu di mana aku boleh menemui Dia, sehingga aku boleh datang ke tempat Dia bersemayam!
4 Aku akan menyusun perkaraku di hadapan-Nya dan memenuhi mulutku dengan pembelaan.
5 Aku mahu mengetahui jawapan-jawapan yang diberikan-Nya kepadaku, dan memahami apa yang difirmankan-Nya kepadaku.
6 Sudikah Dia berperkara dengan aku dalam kuasa-Nya yang besar? Tidak, tetapi Dia akan memberikan perhatian kepadaku.
7 Di sana orang yang lurus hati dapat membela diri di hadapan-Nya, dan aku akan bebas daripada Hakimku untuk selama-lamanya.
8 Ketika aku berjalan ke depan, Dia tidak ada di situ. Ketika aku berjalan ke belakang, tidak kudapati Dia.
9 Ketika Dia berkarya di sebelah kiri, aku tidak dapat memandang Dia. Ketika Dia berpaling ke sebelah kanan, aku tidak dapat melihat Dia.
10 Namun begitu, Dia tahu tentang jalan yang kuambil. Setelah Dia menguji aku, aku akan keluar seperti emas.
11 Kakiku tetap mengikuti langkah-Nya. Aku tetap menuruti jalan-Nya dan tidak menyimpang.
12 Aku tidak menjauh daripada perintah-Nya. Aku menyimpan khazanah firman-Nya lebih daripada makananku sehari-harian.
13 Akan tetapi, Dia tidak berubah. Siapa dapat melawan-Nya? Apa yang dikehendaki-Nya, itulah yang dilakukan-Nya.
14 Dia menyelesaikan apa yang ditentukan bagiku, dan banyak hal semacam itu ada pada-Nya.
15 Itulah sebabnya aku tergoncang di hadapan-Nya. Kalau kufikirkan hal itu, aku ketakutan terhadap Dia.
16 Allah telah membuat hatiku lemah. Yang Maha Kuasa telah membuat aku gementar,
17 kerana aku tidak dilenyapkan sebelum datangnya kegelapan, dan kekelaman tidak ditutupi-Nya daripada mukaku.”