1 Maka Zofar, orang Naama, menjawab,
2 “Itulah sebabnya kegelisahanku mendorong aku menjawab, kerana kurasakan desakan dari dalam.
3 Kudengar teguran yang menghina aku, tetapi dari dalam pengertianku suatu roh menjawab aku.
4 Tidakkah engkau mengetahui hal ini sejak zaman dahulu, sejak manusia ditempatkan di atas bumi,
5 bahawa sorak-sorai orang fasiq sebentar sahaja dan sukacita orang munafik hanya sesaat?
6 Sekalipun keangkuhannya menjulang ke langit dan kepalanya sampai menyentuh awan,
7 dia akan binasa selama-lamanya seperti kotorannya sendiri. Orang yang pernah melihatnya akan bertanya, ‘Di manakah dia?’
8 Dia akan melayang lenyap seperti mimpi dan tidak ditemukan lagi, dia akan dihalau seperti penglihatan pada malam hari.
9 Mata yang melihatnya tidak akan melihatnya lagi, tempat tinggalnya pun tidak akan memandangnya lagi.
10 Anak-anaknya harus mencari belas kasihan daripada fakir miskin, tangannya sendiri harus mengembalikan kekayaannya.
11 Tulang-tulangnya penuh dengan tenaga orang muda, tetapi itu pun akan berbaring bersama-samanya dalam debu.
12 Sekalipun kejahatan terasa manis di mulutnya, sekalipun dia menyembunyikannya di bawah lidahnya,
13 sekalipun dia menyayangkannya dan tidak mahu melepaskannya malah menahannya pada langit-langit mulutnya,
14 makanannya itu akan berubah di dalam perutnya, menjadi bisa ular senduk di dalam dirinya.
15 Dia menelan kekayaan, tetapi memuntahkannya lagi; Allah akan mengeluarkannya dari dalam perutnya.
16 Dia akan menghisap bisa ular senduk, dan lidah ular berbisa akan membunuhnya.
17 Dia tidak akan memandang batang-batang air, sungai-sungai yang mengalirkan madu dan dadih.
18 Dia akan mengembalikan hasil jerih lelahnya dan tidak akan menelannya, Dia tidak akan menikmati kekayaan hasil dagangnya.
19 Kerana dia telah menindas dan menterlantarkan fakir miskin, serta merampas rumah yang tidak dibangunkannya;
20 sesungguhnya, dia tidak mengenal ketenangan dalam batinnya, dan dia tidak akan menyelamatkan barang yang disukainya.
21 Tidak ada yang selamat daripada sifat lahapnya. Oleh itu, kemakmurannya tidak akan bertahan.
22 Dalam kemewahannya yang berlimpah dia akan mengalami kesesakan, dan kesukaran akan menimpanya dengan sepenuh kuasa.
23 Ketika dia mengisi perutnya, Allah melepaskan murka-Nya yang menyala-nyala dan menghujankan murka itu kepadanya sebagai makanannya.
24 Dia akan melarikan diri daripada senjata besi, tetapi panah gangsa akan menembusnya.
25 Anak panah dicabut keluar daripada punggungnya, dan mata panah yang berkilat itu keluar daripada hempedunya. Kengerian mendatanginya.
26 Kegelapan yang pekat tersedia bagi hartanya. Api yang tidak dihembus akan melahapnya dan menghabiskan apa yang terselamat di khemahnya.
27 Langit akan menyingkapkan kesalahannya, dan bumi akan bangkit melawannya.
28 Kekayaan rumahnya akan lenyap, dihanyutkan pada hari murka-Nya.
29 Itulah bahagian daripada Allah untuk orang fasiq, harta pusaka yang ditentukan Allah baginya.”

Studi Alkitab lengkap, silahkan lihat Alkitab SABDA :: Ayub 20
Studi Alkitab mobile, silahkan lihat Alkitab Mobi :: Ayub 20

Download Aplikasi Alkitab Karaoke (BETA) Android:
https://play.google.com/store/apps/details?id=org.sabda.alkitabkaraoke
Kunjungi Alkitab Audio Diglot:
AYT - KJV