1 Maka Bildad, orang Suah, menjawab,
2 “Berapa lama lagi kamu hendak mencari kata-kata? Sedarilah, sesudah itu baru kami akan berbicara.
3 Mengapa kami dianggap binatang? Mengapa di matamu kami dianggap bodoh?
4 Engkau yang mencabik-cabik dirimu sendiri dalam amarah, masakan dunia harus dibengkalaikan demi engkau, atau batu pejal dipindahkan dari tempatnya?
5 Bagaimanapun juga cahaya orang fasiq akan dipadamkan, nyala apinya tidak akan bercahaya.
6 Cahaya di dalam khemahnya menjadi gelap, pelita di atasnya dipadamkan.
7 Langkahnya yang tegap dipersempit, dan rancangannya sendiri menjatuhkan dia.
8 Kakinya sendiri memasukkan dia ke dalam jaring, dia berjalan di atas jala.
9 Perangkap menangkap tumitnya, jerat menahan dia.
10 Tali jebakan untuknya tersembunyi di tanah, ada perangkap baginya di jalan.
11 Kedahsyatan mengejutkan dia di segala penjuru, mengejarnya pada setiap langkahnya.
12 Kekuatannya hilang kerana lapar. Bencana bersiap menantikan dia terantuk,
13 memakan bahagian-bahagian kulitnya. Anak sulung maut memakan anggota tubuhnya.
14 Dia diseret dari khemahnya yang aman, dia dibawa melangkah menghadap raja kegerunan.
15 Orang yang tidak ada kena-mengena dengannya diam di khemahnya, belerang dihamburkan ke atas kediamannya.
16 Di bawah, akar-akarnya mengering, di atas, cabangnya layu.
17 Ingatan kepadanya lenyap dari bumi, namanya tidak lagi disebut di jalan.
18 Dia diusir dari cahaya ke dalam gelap, dihalau dari dunia.
19 Dia tidak ada anak atau cucu-cicit dalam kalangan bangsanya, tidak ada yang terselamat di tempat tinggalnya.
20 Orang di barat tercengang melihat ajalnya, orang di timur dicengkam kengerian.
21 Sungguh, demikianlah kediaman orang zalim, begitulah tempat tinggal orang yang tidak mengenal Allah.”