1 “Manusia, yang dilahirkan oleh perempuan, singkat umurnya dan penuh keresahan.
2 Dia tumbuh seperti bunga, lalu layu. Dia menghilang seperti bayang-bayang dan tidak selamanya ada.
3 Patutkah Engkau tujukan pandangan-Mu ke arah orang yang sedemikian itu? Akankah Engkau turut membawaku ke pengadilan-Mu?
4 Siapakah yang dapat menjadikan yang najis kepada yang suci? Tiada seorang pun!
5 Hari-hari manusia sudah ditentukan. Jumlah bulannya sudah Kautetapkan, dan batas-batasnya pun sudah Kautentukan sehingga tidak dapat dilaluinya.
6 Jadi, alihkanlah pandangan-Mu daripadanya, supaya dia tidak diganggu dan dapat menikmati hari-harinya seperti seorang pekerja upahan.
7 Jika ditebang, pokok itu masih ada harapan: pokok itu akan bertunas lagi dan pucuknya tidak akan berhenti tumbuh.
8 Sekalipun akarnya menjadi tua di dalam tanah dan tunggulnya mati dalam debu,
9 pokok itu akan bertunas ketika mencium bau air, dan mengeluarkan ranting seperti tanaman muda.
10 Tetapi apabila manusia mati dan terbujur kaku; ketika putus nyawanya, di manakah dia?
11 Seperti air menguap dari laut dan sungai menjadi tohor dan kering,
12 demikianlah manusia berbaring dan tidak bangkit semula. Selama langit masih ada, manusia tidak akan terjaga dan tidak akan bangun daripada tidurnya.
13 Hanya sekiranya Engkau menyembunyikan aku di alam kubur, melindungi aku sehingga murka-Mu surut! Hanya sekiranya Engkau menentukan batas waktu bagiku lalu mengingat aku!
14 Jika manusia mati, dapatkah dia hidup lagi? Sepanjang hari pergelutanku aku hendak menanti sehingga tiba saat pemulihanku.
15 Engkau akan memanggil dan aku akan menjawab Engkau, Engkau akan rindu kepada buatan tangan-Mu ini.
16 Meskipun pada waktu itu Engkau menghitung langkah-langkahku, dosaku tidak akan Kauperhatikan.
17 Pelanggaranku akan dimateraikan dalam pundi-pundi, kesalahanku akan Kaututup.
18 Namun demikian, seperti gunung runtuh musnah dan batu pejal berpindah dari tempatnya,
19 seperti air mengikis batu-batu dan luapan air menghanyutkan debu bumi, demikianlah Engkau memutuskan harapan manusia.
20 Engkau mengalahkan dia untuk selama-lamanya dan dia pun pergi, Engkau mengubah mukanya dan mengusirnya.
21 Anak-anaknya menjadi mulia, tetapi dia tidak tahu; mereka menjadi hina, tetapi ia tidak menyedarinya.
22 Hanya tubuhnya menyakitinya, jiwanya berkabung kerana dirinya sendiri.”