1 “Aku bosan dengan hidupku. Aku hendak melampiaskan keluhanku, aku hendak berbicara dalam kepahitan jiwaku.
2 Aku hendak berkata kepada Allah, ‘Jangan mengecam aku. Beritahulah aku mengapa Engkau berperkara dengan aku.
3 Adakah baik bagi-Mu bahawa Engkau menindas aku, bahawa Engkau memandang hina karya tangan-Mu, sementara Engkau menerangi rancangan orang fasiq?
4 Adakah Engkau memiliki mata jasmani? Adakah Engkau melihat sebagaimana manusia melihat?
5 Adakah hari-hari-Mu seperti hari-hari manusia? Adakah tahun-tahun-Mu seperti tahun-tahun seorang insan,
6 sehingga Engkau mencari-cari kesalahanku dan mengusut dosaku,
7 sungguhpun Engkau tahu bahawa aku tidak bersalah dan tidak ada yang dapat melepaskanku daripada tangan-Mu?
8 Tangan-Mu yang membentuk aku dan menjadikan aku, tetapi Engkau berpaling dan hendak memusnahkan aku.
9 Ingatlah betapa Engkau yang menjadikan aku daripada tanah liat. Adakah Engkau akan mengembalikan aku menjadi debu?
10 Bukankah Engkau yang mencurahkan aku seperti air susu, dan membekukan aku seperti keju?
11 Engkau membungkus aku dengan kulit dan daging, mencantumkan aku dengan tulang dan urat.
12 Engkau mengurniai aku hidup dan kasih abadi, pemeliharaan-Mu yang menjaga nyawaku.
13 Namun demikian, hal-hal inilah yang Kausembunyikan dalam hati-Mu, aku tahu bahawa hal ini ada pada-Mu:
14 Jika aku berbuat dosa, Engkau akan mengawasi aku dan tidak akan membebaskan aku daripada kesalahanku.
15 Jika aku bersalah, malangnya aku! Jika aku benar, aku tidak dapat mengangkat kepalaku, kerana aku penuh aib dan sedar akan kehinaanku.
16 Jika aku meninggikan diri, Engkau memburu aku seperti singa dan menunjukkan lagi diri-Mu yang menakjubkan kepadaku.
17 Engkau mengajukan saksi-saksi baru menentang aku dan memperbesar murka-Mu terhadap aku. Bergantian pasukan yang melawan aku.
18 Mengapa Engkau mengeluarkan aku daripada rahim? Kalau putus sahaja nyawaku waktu itu sehingga tidak ada mata yang pernah melihatku,
19 dan aku seakan-akan tidak pernah ada, kerana daripada kandungan langsung dibawa ke kubur.
20 Bukankah pendek sahaja umurku? Berhentilah, biarkanlah aku, supaya aku dapat tersenyum sejenak,
21 sebelum aku pergi tanpa dapat kembali, ke negeri kegelapan dan bayang-bayang maut,
22 negeri kegelapan yang seperti kelam sahaja, negeri bayang-bayang maut yang tidak beraturan, di sana cahaya sekadar serupa dengan kegelapan.’ ”

Studi Alkitab lengkap, silahkan lihat Alkitab SABDA :: Ayub 10
Studi Alkitab mobile, silahkan lihat Alkitab Mobi :: Ayub 10

Download Aplikasi Alkitab Karaoke (BETA) Android:
https://play.google.com/store/apps/details?id=org.sabda.alkitabkaraoke
Kunjungi Alkitab Audio Diglot:
AYT - KJV