1 Aku melihat TUHAN hadir di sisi mazbah berhala dan Dia berfirman, “Hentamlah segala kepala tiang itu sehingga kesemua ambang pintu bergoncang, lalu pecahkan dan jatuhkanlah kesemuanya ke atas kepala semua orang. Dengan pedang akan Kucabut nyawa sesiapa yang terselamat. Tiada seorang pun daripada mereka akan mampu melarikan diri, tiada seorang pun dapat menyelamatkan diri.
2 Sekalipun mereka terdaya menggali sampai alam barzakh, akan Kuambil mereka dari sana dengan tangan-Ku. Sekalipun mereka terdaya memanjat ke langit, akan Kuturunkan mereka dari sana.
3 Sekalipun mereka menyembunyikan diri di puncak Gunung Karmel, akan Kuburu mereka dan Kuambil mereka dari sana. Sekalipun mereka bersembunyi daripada pandangan-Ku di dasar laut, akan Kuperintahkan sang ular laut untuk memagut mereka di sana.
4 Sekalipun mereka dijadikan tawanan oleh para musuh mereka, akan Kuperintahkan pedang untuk mencabut nyawa mereka di sana. Aku akan tujukan pandangan kepada mereka untuk mendatangkan kebinasaan, bukan kebaikan terhadap mereka.”
5 Tuhan, ALLAH alam semesta, Dialah yang menyentuh bumi sehingga bumi luluh dan semua penduduknya berkabung. Semuanya akan meluap seperti Sungai Nil dan surut seperti Sungai Nil di Mesir.
6 Dialah yang membangunkan anjungan-Nya di langit dan yang mengasaskan kubah-Nya di bumi. Dialah yang memanggil air laut dan yang mencurahkannya ke permukaan bumi – TUHAN, itulah nama-Nya.
7 “Bukankah kamu seperti bani Kush bagi-Ku, wahai orang Israel?” demikianlah firman TUHAN. “Bukankah Aku telah menuntun orang Israel keluar dari Tanah Mesir, orang Filistin dari Kaftor dan orang Aram dari Kir?
8 Sesungguhnya, pandangan Tuhan ALLAH tertuju kepada kerajaan yang berdosa ini. Aku akan memusnahkannya dari muka bumi, tetapi Aku tidak akan memusnahkan keturunan kaum Yakub sama sekali,” demikianlah firman TUHAN.
9 “Sesungguhnya, Aku akan memberikan perintah dan menampi keturunan kaum Israel dalam kalangan segala bangsa seperti orang menampi dengan nyiru, tetapi butir yang terkecil pun tidak akan jatuh ke tanah.
10 Semua orang berdosa daripada kalangan umat-Ku akan mati dengan pedang, iaitu kalangan yang berkata, ‘Malapetaka tidak akan mendatangi atau mencapai kita.’ ”
11 “Pada waktu itu Aku akan membina semula khemah Daud yang telah roboh. Akan Kututup lubang-lubang dindingnya dan akan Kudirikan semula keruntuhannya. Aku akan membangunkannya semula seperti pada zaman dahulu,
12 supaya mereka dapat menguasai saki-baki Edom dan segala bangsa yang Kupanggil milik-Ku,” demikianlah firman TUHAN yang melakukan hal ini.
13 “Sesungguhnya, waktunya akan datang,” demikianlah firman TUHAN, “tepat pada masanya, pembajak tanah akan menyusul penuai dan pengirik anggur akan menyusul penabur benih. Gunung-gunung akan menitiskan air anggur yang baru dan akan kebanjiranlah segala bukit.
14 Aku akan memulihkan keadaan umat-Ku Israel, dan mereka akan membangunkan kembali kota-kota yang telah rosak lalu menghuninya. Mereka akan menanam kebun-kebun anggur dan meminum air anggurnya, mereka akan membuat kebun-kebun dan memakan buahnya.
15 Aku akan menanam mereka di tanah mereka dan mereka tidak akan dicabut lagi dari tanah yang telah Kukurniakan kepada mereka,” firman TUHAN, Allahmu.