1 Inilah yang diperlihatkan Tuhan ALLAH kepadaku: Lihatlah Dia sedang membentuk kawanan belalang ketika semaian terakhir mulai tumbuh, iaitu penumbuhan semaian terakhir sesudah disabit bahagian bagi raja.
2 Setelah kawanan itu selesai memakan semaian yang tumbuh di tanah, aku pun berkata, “Ya Tuhan ALLAH, semoga Engkau mengampuni Israel! Bagaimanakah Yakub dapat bertahan? Dia begitu kecil!”
3 Maka TUHAN pun berbelas kasihan atas hal itu. “Itu tidak akan terjadi,” firman TUHAN.
4 Inilah yang diperlihatkan Tuhan ALLAH kepadaku: Lihatlah Tuhan ALLAH sedang memanggil renjisan api untuk menjalankan hukuman. Kemudian api itu memakan habis samudera raya dan memakan habis tanah ladang.
5 Lalu aku berkata, “Ya Tuhan ALLAH, semoga Engkau hentikanlah! Bagaimanakah Yakub dapat bertahan? Dia begitu kecil!”
6 Maka TUHAN pun berbelas kasihan atas hal itu. “Itu pun tidak akan terjadi,” firman Tuhan ALLAH.
7 Inilah yang diperlihatkan-Nya kepadaku: Lihatlah Tuhan hadir di sisi sebuah tembok yang tegak lurus dengan tangan-Nya memegang batu ladung.
8 Firman TUHAN kepadaku, “Apa yang kaulihat, Amos?” Jawabku, “Batu ladung.” Firman Tuhan, “Sesungguhnya, Aku akan memasang batu ladung di tengah-tengah umat-Ku Israel, dan Aku tidak akan mengampuni mereka lagi.
9 Akan tandus kesepianlah segala bukit pemujaan Ishak dan tempat-tempat suci Israel akan menjadi puing-puing. Aku akan bangkit melawan keluarga Yerobeam dengan pedang.”
10 Lalu Amazia, imam di Betel, menghantar perutusan ini kepada Yerobeam raja Israel, “Kini Amos bersekongkol melawan tuanku di tengah-tengah keturunan kaum Israel. Negeri ini tidak sanggup lagi menanggung segala ucapannya.
11 Maka balaslah Amos, ‘Yerobeam akan mati di hujung pedang dan orang Israel pasti dibuang dari bumi mereka.’ ”
12 Lalu Amazia berkata kepada Amos, “Wahai pelihat, pergilah! Nyahlah ke Tanah Yehuda! Carilah nafkah di sana dan bernubuatlah di sana!
13 Jangan lagi bernubuat di Betel, kerana ini tempat suci raja, bait suci kerajaan.”
14 Jawab Amos kepada Amazia, “Aku ini bukan nabi, dan juga bukan seorang anak nabi. Aku penternak dan pemelihara pokok ara.
15 Namun demikian, TUHAN mengambilku daripada pekerjaan menggiring kawanan domba dan TUHAN berfirman kepadaku, ‘Pergilah, bernubuatlah kepada umat-Ku Israel.’
16 Sekarang, dengarlah firman TUHAN. Engkau berkata, ‘Jangan bernubuat menentang Israel dan jangan bertutur menentang keturunan kaum Ishak.’
17 Oleh sebab itu beginilah firman TUHAN, ‘Isterimu akan menjadi perempuan sundal di kota, sedangkan anak-anakmu baik lelaki mahupun perempuan akan tewas oleh pedang. Tanahmu akan dibahagi-bahagi dengan menggunakan tali pengukur, sedangkan engkau sendiri akan mati di tanah yang najis, dan orang Israel pasti dibuang dari bumi mereka.’ ”

Studi Alkitab lengkap, silahkan lihat Alkitab SABDA :: Amos 7
Studi Alkitab mobile, silahkan lihat Alkitab Mobi :: Amos 7

Download Aplikasi Alkitab Karaoke (BETA) Android:
https://play.google.com/store/apps/details?id=org.sabda.alkitabkaraoke
Kunjungi Alkitab Audio Diglot:
AYT - KJV