1 Rakyat negeri itu kemudian menjemput Yoahas anak Yosia dan menobatkan dia menjadi raja di Yerusalem menggantikan ayahnya.
2 Yoahas berumur dua puluh tiga tahun pada waktu dia menaiki takhta, dan dia bertakhta selama tiga bulan di Yerusalem.
3 Raja Mesir menggulingkannya di Yerusalem, dan mendenda negeri itu sebanyak seratus talenta perak dan satu talenta emas.
4 Lalu raja Mesir menobatkan Elyakim, saudara Yoahas, menjadi raja atas Yehuda dan Yerusalem, dan mengganti namanya menjadi Yoyakim. Akan tetapi Yoahas, saudaranya, diambil Nekho dan dibawa ke Mesir.
5 Yoyakim berumur dua puluh lima tahun pada waktu dia menaiki takhta, dan dia bertakhta selama sebelas tahun di Yerusalem. Dia melakukan apa yang jahat di mata TUHAN, Allahnya.
6 Kemudian Nebukadnezar, raja Babel, maju menyerangnya dan membelenggunya dengan rantai gangsa untuk dibawa ke Babel.
7 Nebukadnezar juga membawa sebahagian daripada alat kelengkapan Bait TUHAN ke Babel dan menaruhnya di kuil dewanya di Babel.
8 Riwayat Yoyakim yang selebihnya, segala kekejian yang dilakukannya dan kesalahan yang terdapat padanya, sesungguhnya semua itu tertulis dalam kitab raja-raja Israel dan Yehuda. Maka Yoyakhin, anaknya, menaiki takhta menggantikannya.
9 Yoyakhin berumur lapan belas tahun pada waktu dia menaiki takhta, dan dia bertakhta selama tiga bulan sepuluh hari di Yerusalem. Dia melakukan apa yang jahat di mata TUHAN.
10 Pada pergantian tahun, Raja Nebukadnezar menyuruh agar Yoyakhin dibawa ke Babel berserta dengan segala alat kelengkapan yang indah-indah dari Bait TUHAN. Lalu dia menobatkan Zedekia, saudara ayah Yoyakhin, menjadi raja atas Yehuda dan Yerusalem.
11 Zedekia berumur dua puluh satu tahun pada waktu dia menaiki takhta, dan dia bertakhta selama sebelas tahun di Yerusalem.
12 Dia melakukan apa yang jahat di mata TUHAN, Allahnya, dan tidak merendahkan diri di hadapan Nabi Yeremia yang menyampaikan firman TUHAN.
13 Lalu dia memberontak melawan Raja Nebukadnezar yang telah menyuruh dia bersumpah setia demi Allah. Dia menegarkan tengkuknya, mengeraskan hatinya, dan tidak mahu berbalik kepada TUHAN, Allah Israel.
14 Juga semua pemimpin daripada kalangan imam dan rakyat berbuat banyak kemungkaran dengan mengikuti segala kekejian bangsa-bangsa lain. Mereka menajiskan Bait TUHAN yang telah disucikan-Nya di Yerusalem.
15 TUHAN, Allah nenek moyang mereka, terus-menerus mengirim pesan kepada mereka dengan perantaraan utusan-utusan-Nya, kerana Dia sayang kepada umat-Nya dan kepada tempat kediaman-Nya.
16 Akan tetapi, mereka mengolok-olokkan utusan-utusan Allah itu, meremehkan firman-Nya, dan mengejek nabi-nabi-Nya sehingga murka TUHAN bangkit terhadap umat-Nya dan tidak mungkin lagi ada pemulihan.
17 Dia membawa raja Kasdim kepada mereka, lalu raja itu membunuh orang muda mereka dengan pedang di Bait Suci mereka, dan tidak ada belas kasihan terhadap semua pemuda, gadis, orang yang tua atau renta. Allah menyerahkan mereka semua ke dalam tangannya.
18 Segala alat kelengkapan Rumah Allah, baik besar mahupun kecil, perbendaharaan rumah TUHAN, serta perbendaharaan raja dan para pembesarnya, semuanya dibawanya ke Babel.
19 Mereka membakar Rumah Allah dan merobohkan tembok Yerusalem. Semua purinya dibakar habis dan segala alat kelengkapannya yang berharga dimusnahkan.
20 Kemudian raja itu membuang orang yang terselamat daripada pedang ke Babel. Mereka menghamba kepadanya dan kepada anak-anaknya sampai kerajaan Parsi berkuasa.
21 Dengan demikian genaplah firman TUHAN yang disampaikan oleh Yeremia, sampai negeri itu menikmati tahun-tahun Sabatnya. Selama masa ketandusannya, negeri itu menjalani Sabat, sampai genap tujuh puluh tahun.
22 Pada tahun pertama zaman pemerintahan Kores, raja Parsi, TUHAN menggerakkan hati Kores, raja Parsi itu, untuk memenuhi firman TUHAN yang disampaikan oleh Yeremia. Lantas raja itu menuliskan perisytiharan dan menyiarkannya di seluruh kerajaannya. Demikianlah bunyinya:
23 “Beginilah titah Kores, raja Parsi, ‘TUHAN, Allah semesta langit, mengurniakan segala kerajaan di bumi kepadaku dan Dia menugaskan aku untuk membina sebuah bait bagi-Nya di Yerusalem, di Tanah Yehuda. Sesiapa pun umat-Nya antara kamu, semoga TUHAN, Allahnya menyertainya, dan biarlah dia kembali.’ ”