1 Hizkia mengirim pesan ke seluruh Israel dan Yehuda, bahkan menulis surat kepada orang Efraim dan Manasye supaya mereka datang ke Bait TUHAN di Yerusalem untuk merayakan Paskah bagi TUHAN, Allah Israel.
2 Raja bersama-sama para pembesarnya dan seluruh jemaah di Yerusalem berunding untuk merayakan Paskah pada bulan kedua.
3 Mereka memang tidak dapat merayakan Paskah pada waktunya, kerana belum cukup jumlah imam yang telah menyucikan dirinya, dan rakyat pun belum berkumpul di Yerusalem.
4 Hal itu dipandang baik oleh raja serta seluruh jemaah.
5 Mereka memutuskan untuk menyiarkan pengumuman di seluruh Israel, dari Bersyeba sampai Dan, supaya orang datang ke Yerusalem untuk merayakan Paskah bagi TUHAN, Allah Israel. Mereka memang belum pernah merayakannya secara menyeluruh dan besar-besaran di seluruh negeri sebagaimana yang tertulis.
6 Maka bersegeralah perginya para pesuruh untuk membawa surat daripada raja dan para pembesarnya ke seluruh Israel serta Yehuda. Selaras dengan perintah raja, mereka berkata, “Wahai orang Israel, kembalilah kepada TUHAN, Allah Abraham, Ishak, dan Israel, supaya Dia juga kembali kepada kalangan umat yang tertinggal yang terselamat daripada tangan raja-raja Asyur.
7 Janganlah seperti para bapamu dan para saudaramu yang berbuat mungkar terhadap TUHAN, Allah nenek moyang mereka, sehingga Dia menjadikan mereka suatu kengerian seperti yang kamu lihat sendiri.
8 Sekarang, janganlah keras hati seperti nenek moyangmu, tetapi serahkanlah dirimu kepada TUHAN. Datanglah ke tempat suci-Nya, yang telah disucikan-Nya untuk selama-lamanya, dan beribadatlah kepada TUHAN, Allahmu, supaya surutlah hendaknya murka-Nya yang menyala-nyala terhadapmu.
9 Jika kamu kembali kepada TUHAN, maka para saudaramu dan anak-anakmu akan mendapat belas kasihan di hadapan orang yang menawan mereka, sehingga mereka dapat kembali ke negeri ini, kerana TUHAN, Allahmu, sememangnya maha pengasih lagi maha penyayang. Dia tidak akan memalingkan wajah-Nya daripada dirimu jika kamu kembali kepada-Nya.”
10 Maka segeralah para pesuruh itu pergi dari kota ke kota, melalui Tanah Efraim dan Manasye, bahkan sampai ke Zebulon. Tetapi mereka ditertawakan dan diolok-olokkan.
11 Namun demikian, ada juga beberapa orang dari Asyer, Manasye, dan Zebulon yang merendahkan diri lalu datang ke Yerusalem.
12 Di Tanah Yehuda nyata pulalah tangan Allah membuat mereka sehati untuk melakukan perintah raja dan para pembesar selaras dengan firman TUHAN.
13 Maka berkumpullah sejumlah besar rakyat di Yerusalem, sebuah jemaah yang sangat besar, untuk merayakan Perayaan Roti Tidak Beragi pada bulan kedua.
14 Mereka segera menyingkirkan mazbah-mazbah yang ada di Yerusalem. Semua tempat membakar dupa pun disingkirkan dan dibuang ke Lembah Kidron.
15 Setelah itu, mereka menyembelih korban Paskah pada hari keempat belas pada bulan kedua. Para imam dan bani Lewi berasa malu, lalu menyucikan diri dan membawa korban-korban bakaran ke Bait TUHAN.
16 Mereka berdiri di tempat masing-masing menurut peraturan yang ditetapkan, selaras dengan Kitab Suci Taurat yang disampaikan Allah melalui Musa, hamba Allah itu. Lalu para imam memercikkan darah yang diterima mereka daripada bani Lewi.
17 Dalam jemaah ada ramai orang yang belum menyucikan diri. Oleh sebab itu bani Lewi bertanggungjawab atas penyembelihan domba Paskah bagi setiap orang yang belum suci, yang tidak dapat menyiapkan korbannya untuk dipersembahkan kepada TUHAN.
18 Sejumlah besar rakyat, kebanyakan dari Efraim, Manasye, Isakhar, dan Zebulon, memang belum menyucikan diri. Namun demikian, mereka memakan korban Paskah juga, bertentangan dengan apa yang tertulis. Kerana itu Hizkia berdoa untuk mereka, katanya, “TUHAN Yang Maha Baik, semoga Engkau mengampuni setiap orang
19 yang telah menetapkan hatinya untuk mencari Allah, iaitu TUHAN, Allah nenek moyangnya, sungguhpun orang itu tidak suci menurut aturan tempat suci.”
20 TUHAN mendengar Hizkia, dan Dia menyembuhkan bangsa itu.
21 Orang Israel yang hadir di Yerusalem merayakan Perayaan Roti Tidak Beragi selama tujuh hari dengan kesukaan yang besar. Dengan nyaring, bani Lewi dan para imam memuji-muji TUHAN setiap hari dengan diiringi alat-alat muzik TUHAN.
22 Hizkia menyampaikan pujian kepada semua bani Lewi yang memperlihatkan kecekapan yang baik dalam pengendalian ibadat kepada TUHAN. Demikianlah orang makan makanan hari raya tujuh hari lamanya, mempersembahkan korban kedamaian, dan mengucap syukur kepada TUHAN, Allah nenek moyang mereka.
23 Kemudian seluruh jemaah berunding untuk mengadakan perayaan tujuh hari lagi. Jadi, mereka pun mengadakan perayaan tujuh hari lagi dengan suka ria.
24 Hizkia, raja Yehuda, menyumbangkan kepada jemaah seribu ekor lembu jantan dan tujuh ribu ekor domba. Para pembesar pun menyumbangkan kepada jemaah seribu ekor lembu jantan dan sepuluh ribu ekor domba. Sementara itu, ramai imam yang sudah menyucikan diri.
25 Seluruh jemaah Yehuda bersuka ria bersama-sama para imam, bani Lewi, seluruh jemaah yang datang dari Israel, dan pendatang dari Tanah Israel serta yang tinggal di Tanah Yehuda.
26 Demikianlah ada kesukaan yang besar di Yerusalem, kerana sejak zaman Salomo anak Daud, raja Israel, belum pernah terjadi peristiwa seperti itu di Yerusalem.
27 Setelah itu, para imam Lewi segera memberkati rakyat. Suara mereka didengar Allah dan doa mereka sampai ke tempat kediaman-Nya yang suci di syurga.