1 Sesudah itu bani Moab dan bani Amon datang bersama orang Meunim untuk berperang melawan Yosafat.
2 Maka datanglah beberapa orang memberitahu Yosafat, “Suatu pasukan besar datang dari Edom di seberang Laut Mati hendak menyerang tuanku. Sesungguhnya, mereka sudah berada di Hazezon-Tamar,” iaitu En-Gedi.
3 Yosafat menjadi takut, lalu dia menetapkan hati untuk mencari hadirat TUHAN. Dimaklumkannya puasa bagi seluruh Yehuda.
4 Orang Yehuda pun berkumpul untuk memohon pertolongan daripada TUHAN. Ya, dari semua kota Yehuda mereka yang datang untuk mencari hadirat TUHAN.
5 Kemudian Yosafat berdiri di tengah-tengah jemaah Yehuda dan Yerusalem di Bait TUHAN, di depan pelataran yang baru.
6 Dia berkata, “Ya TUHAN, Allah nenek moyang kami, bukankah Engkau Allah di syurga? Bukankah Engkau berkuasa atas segala kerajaan bangsa-bangsa? Di tangan-Mu ada kuasa dan keperkasaan, sehingga tidak ada yang dapat bertahan melawan Engkau.
7 Ya Allah kami, bukankah Engkau yang menghalau penduduk negeri ini dari hadapan umat-Mu Israel dan mengurniakannya kepada keturunan Abraham, sahabat-Mu itu, untuk selama-lamanya?
8 Mereka telah menetap di sini dan membina tempat suci bagi nama-Mu. Kata mereka,
9 ‘Jika malapetaka, iaitu pedang, hukuman, wabak penyakit, atau bencana kebuluran menimpa kami, maka kami akan berdiri di depan Bait ini dan di hadapan-Mu, kerana nama-Mu ditegakkan di dalam Bait ini. Kami akan berseru kepada-Mu dalam keperitan kami, dan Engkau akan mendengar serta menyelamatkan kami.’
10 Sekarang, lihatlah bani Amon, Moab, dan orang Pergunungan Seir ini! Engkau tidak mengizinkan orang Israel mendatangi mereka ketika mereka keluar dari Tanah Mesir, sehingga orang Israel menyingkir mereka dan tidak membinasakan mereka.
11 Tetapi lihatlah, sebagai balasan mereka terhadap kami, mereka datang untuk menghalau kami dari tanah milik-Mu yang telah Kauwariskan kepada kami.
12 Ya Allah kami, masakan Engkau tidak menghukum mereka? Kami tidak punya kekuatan untuk menghadapi pasukan besar yang datang menyerang kami ini. Kami tidak tahu apa yang harus kami lakukan, tetapi mata kami tertuju kepada-Mu.”
13 Sementara itu semua orang Yehuda berdiri di hadapan TUHAN, bersama-sama isteri dan anak muda serta anak-anak kecil mereka.
14 Maka Roh TUHAN turun di tengah-tengah jemaah itu ke atas Yahaziel anak Zakharia anak Benaya anak Yeiel anak Matanya, seorang Lewi daripada bani Asaf.
15 Dia berkata, “Dengarlah, wahai semua orang Yehuda dan penduduk Yerusalem, juga Tuanku Raja Yosafat! Beginilah firman TUHAN kepadamu, ‘Jangan takut dan jangan kecut hati dengan pasukan besar itu, kerana bukan kamu yang akan berperang melainkan Allah.
16 Esok, turunlah dan datangi mereka. Ketahuilah, mereka akan naik melalui pendakian Zis. Kamu akan menemukan mereka di hujung lembah, di Gurun Yeruel.
17 Kamu tidak usah berperang dalam pertempuran ini. Berdirilah tegak di tempatmu dan lihatlah kemenangan daripada TUHAN yang menyertai kamu, wahai orang Yehuda dan Yerusalem. Jangan takut dan jangan kecut hati! Majulah esok dan hadapi mereka, TUHAN akan menyertai kamu.”
18 Yosafat membongkok dengan muka sampai ke tanah. Semua orang Yehuda dan penduduk Yerusalem pun bersujud di hadapan TUHAN dan menyembah TUHAN.
19 Lalu bani Lewi daripada bani Kehat dan bani Korah bangkit untuk memuji TUHAN, Allah Israel, dengan suara yang sangat nyaring.
20 Keesokan harinya mereka bangun pagi-pagi lalu pergi ke kawasan gersang Tekoa. Ketika mereka hendak pergi, berdirilah Yosafat dan berkata, “Dengarlah aku, wahai orang Yehuda dan penduduk Yerusalem! Percayalah kepada TUHAN, Allahmu, maka kamu akan tetap teguh. Percayalah kepada para nabi-Nya, maka kamu akan berjaya.”
21 Setelah berunding dengan rakyat, dia mengangkat kalangan yang akan menyanyi bagi TUHAN dan memuji Dia dengan pakaian suci sambil berjalan di depan kalangan yang bersenjata; demikianlah nyanyian mereka, “Mengucap syukurlah kepada TUHAN, kerana kasih-Nya kekal selama-lamanya.”
22 Pada waktu mereka mulai bersorak-sorai dan menyanyikan puji-pujian, TUHAN mengadakan pengadangan terhadap bani Amon, bani Moab, dan orang Pergunungan Seir yang datang menyerang Yehuda, sehingga mereka semua dikalahkan.
23 Bani Amon dan Moab bangkit melawan penduduk Pergunungan Seir lalu menumpas dan membinasakan mereka. Setelah memusnahkan penduduk Seir, mereka saling membinasakan sesama sendiri.
24 Ketika orang Yehuda sampai ke tempat peninjauan di gurun dan memandang ke arah pasukan itu, tampaklah mayat bergelimpangan di tanah. Tidak ada yang terselamat.
25 Kemudian Yosafat dan pasukannya datang untuk menjarah barang-barang musuh. Mereka mendapati banyak harta benda di situ, juga barang-barang berharga. Semuanya diambil mereka bagi diri mereka sendiri sampai mereka tidak dapat membawanya lagi. Tiga hari lamanya mereka menjarah barang-barang itu kerana begitu banyaknya.
26 Pada hari keempat mereka berkumpul di Lembah Berkat, lalu di sana mereka memuji-muji TUHAN. Itulah sebabnya tempat itu dinamai Lembah Berkat sampai hari ini.
27 Setelah itu, kembalilah semua orang Yehuda dan Yerusalem di bawah pimpinan Yosafat. Mereka kembali ke Yerusalem dengan sukacita, kerana TUHAN telah membuat mereka bersukacita atas kekalahan musuh-musuh mereka.
28 Mereka memasuki Yerusalem dengan diiringi bunyi gambus, kecapi, dan nafiri, lalu menuju Bait TUHAN.
29 Rasa takut daripada Allah melanda semua kerajaan negeri-negeri lain ketika mereka mendengar bahawa TUHAN telah memerangi musuh-musuh Israel.
30 Maka sentosalah kerajaan Yosafat, kerana Allahnya mengurniainya ketenteraman di segala penjuru.
31 Demikianlah Yosafat bertakhta atas Yehuda. Umurnya tiga puluh lima tahun pada waktu dia menaiki takhta, dan dia bertakhta di Yerusalem selama dua puluh lima tahun. Nama ibunya ialah Azuba anak Silhi.
32 Dia hidup mengikuti jejak Asa, ayahnya, tanpa menyimpang daripada jalan itu. Dilakukannya apa yang benar di mata TUHAN.
33 Namun demikian, bukit-bukit pemujaan tidak disingkirkannya, dan rakyat belum juga mengarahkan hati mereka kepada Allah nenek moyang mereka.
34 Riwayat Yosafat yang selebihnya dari awal hingga akhir, sesungguhnya semuanya tertulis dalam riwayat Yehu anak Hanani yang tercantum dalam kitab raja-raja Israel.
35 Sesudah itu Yosafat, raja Yehuda, bekerjasama dengan Ahazia, raja Israel, yang fasiq perbuatannya.
36 Yosafat bekerjasama dengannya untuk membuat kapal-kapal yang akan berlayar ke Tarsis. Kapal-kapal itu dibuat di Ezion-Geber.
37 Tetapi Eliezer anak Dodawa dari Maresa bernubuat menentang Yosafat, katanya, “Kerana tuanku bekerjasama dengan Ahazia, maka TUHAN akan menghancurkan pekerjaan tuanku.” Kapal-kapal itu pun pecah, sehingga tidak dapat berlayar ke Tarsis.