1 Kemudian datanglah semua suku Israel menghadap Daud di Hebron dan berkata, “Sesungguhnya, kami ini darah dagingmu.
2 Pada masa dahulu, ketika Saul menjadi raja atas kami, tuankulah yang memimpin pergerakan orang Israel. TUHAN pun telah berfirman kepada tuanku, ‘Engkaulah yang akan menggembala umat-Ku, Israel, dan engkaulah yang akan menjadi pemimpin atas orang Israel.’ ”
3 Demikianlah semua tua-tua Israel datang menghadap raja di Hebron. Lalu Raja Daud mengikat perjanjian dengan mereka di Hebron, di hadapan TUHAN, dan mereka melantik Daud menjadi raja atas Israel.
4 Daud berumur tiga puluh tahun pada waktu dia menaiki takhta, dan dia bertakhta selama empat puluh tahun.
5 Selama tujuh tahun enam bulan dia bertakhta atas Yehuda di Hebron, dan di Yerusalem dia bertakhta selama tiga puluh tiga tahun atas seluruh Israel dan Yehuda.
6 Kemudian raja dan orangnya pergi ke Yerusalem mendatangi orang Yebus, penduduk negeri itu. Orang Yebus berkata kepada Daud, “Engkau tidak mungkin masuk ke sini. Bahkan orang buta dan orang tempang dapat mengusirmu.” Fikir mereka, “Daud tidak dapat masuk ke sini.”
7 Akan tetapi, Daud merebut kubu pertahanan Sion, iaitu Kota Daud.
8 Pada hari itu berkatalah Daud, “Sesiapa hendak menewaskan orang Yebus biarlah dia naik melalui saluran air untuk menyerang orang tempang dan orang buta yang membenci Daud itu.” Itulah sebabnya orang berkata, “Orang buta dan orang tempang tidak boleh masuk ke dalam istana.”
9 Kemudian Daud tinggal di kubu pertahanan itu dan menamakannya Kota Daud. Kota itu dibinanya di sekeliling kubu itu, bermula dari Milo ke arah dalam.
10 Maka kebesaran Daud semakin bertambah, kerana TUHAN, Allah alam semesta, menyertainya.
11 Hiram, raja Tirus, mengirim beberapa orang utusan kepada Daud dengan membawa kayu araz, para tukang kayu, dan para tukang batu. Mereka membina sebuah istana untuk Daud.
12 Maka sedarlah Daud bahawa TUHAN telah mengukuhkan dia sebagai raja atas Israel dan telah mengangkat martabat kerajaannya demi Israel, umat-Nya.
13 Daud mengambil lagi beberapa orang gundik dan isteri dari Yerusalem, setelah dia datang dari Hebron. Bagi Daud masih lahir lagi anak lelaki dan perempuan.
14 Inilah nama anak-anak yang dilahirkan baginya di Yerusalem: Syamua, Sobab, Natan, Salomo,
15 Yibhar, Elisua, Nefeg, Yafia,
16 Elisama, Elyada, dan Elifelet.
17 Ketika orang Filistin mendengar bahawa Daud telah dilantik menjadi raja atas Israel, maka pergilah semua orang Filistin untuk mencari Daud. Akan tetapi, Daud mendapat tahu tentang hal itu, lalu dia pergi ke kubu pertahanan.
18 Maka datanglah dan tersebarlah orang Filistin di Lembah Refaim.
19 Lalu Daud meminta petunjuk daripada TUHAN, katanya, “Dapatkah aku maju menyerang orang Filistin? Akankah Engkau menyerahkan mereka ke dalam tanganku?” Jawab TUHAN kepada Daud, “Maralah, Aku pasti akan menyerahkan orang Filistin ke dalam tanganmu.”
20 Sesampainya Daud di Baal-Perasim, dia mengalahkan mereka di sana. Katanya, “TUHAN telah menerobos musuh di depanku sebagaimana air menerobos.” Itulah sebabnya tempat itu dinamakannya Baal-Perasim.
21 Orang Filistin meninggalkan berhala-berhala mereka di sana, lalu Daud dan orangnya mengangkut semua itu.
22 Kemudian sekali lagi orang Filistin mara dan tersebar di Lembah Refaim.
23 Daud pun meminta petunjuk daripada TUHAN, dan Dia menjawab, “Jangan maju, tetapi buatlah lingkaran mengelilingi mereka dari belakang, dan seranglah mereka dari arah yang berhadapan dengan pokok-pokok kertau itu.
24 Ketika engkau mendengar bunyi derap langkah di atas pokok-pokok kertau itu, bertindaklah cepat, kerana saat itu TUHAN telah maju mendahului engkau untuk mengalahkan pasukan orang Filistin itu.”
25 Daud pun melakukan seperti yang diperintahkan TUHAN kepadanya. Maka dia mengalahkan orang Filistin dari Geba ke jalan masuk menuju Gezer.