1 Apabila berita ketumpasan Abner di Hebron didengar oleh Isyboset anak Saul, maka patahlah semangatnya dan resahlah semua orang Israel.
2 Isyboset anak Saul ada dua orang ketua pasukan, yang pertama bernama Baana dan yang kedua bernama Rekhab. Mereka anak Rimon, orang Beerot daripada bani Benyamin – kerana Beerot juga dikira sebagai daerah Benyamin.
3 Dahulunya orang Beerot melarikan diri ke Gitaim lalu menjadi pendatang di sana sampai hari ini.
4 Yonatan anak Saul mempunyai seorang anak lelaki yang cacat kedua-dua belah kakinya. Ketika dia berumur lima tahun khabar tentang Saul dan Yonatan sampai dari Yizreel. Pengasuh anak itu terus mengambilnya lalu melarikan diri, dan dalam keadaan terburu-buru itu, anak itu terjatuh lalu menjadi tempang. Nama anak itu ialah Mefiboset.
5 Anak-anak Rimon, orang Beerot itu, yakni Rekhab dan Baana, berangkat ke rumah Isyboset dan tiba di situ pada hari yang panas terik. Ketika itu Isyboset sedang berehat tengah hari.
6 Mereka masuk ke bahagian tengah rumah, seolah-olah hendak mengambil gandum, lalu menikam dia di perutnya. Setelah itu, Rekhab dan Baana, saudaranya, melarikan diri.
7 Ketika mereka masuk ke dalam rumah itu, Isyboset sedang berbaring di atas katil dalam bilik tidurnya. Mereka menikam lantas membunuhnya, dan memenggal kepalanya. Lalu mereka membawa kepalanya itu dan berjalan semalam-malaman melalui jalan Araba.
8 Kemudian mereka membawa kepala Isyboset kepada Daud di Hebron dan berkata kepada raja, “Inilah kepala Isyboset anak Saul, musuh tuanku, yang mengancam nyawa tuanku. Pada hari ini TUHAN telah membalas perbuatan yang dilakukan Saul dan keturunannya terhadap tuanku.”
9 Akan tetapi, jawab Daud kepada Rekhab dan Baana, saudaranya, anak-anak Rimon orang Beerot itu, “Demi TUHAN yang hidup, yang telah menebus nyawaku daripada segala kesesakan!
10 Ketika orang mengkhabarkan kepadaku demikian, ‘Sesungguhnya, Saul sudah mati,’ dan menyangka bahawa dia membawa khabar baik, maka kutangkap dia dan kubunuh di Ziklag. Itulah upah yang kuberikan kepadanya untuk khabarnya itu.
11 Lebih-lebih beratnya lagi hukuman itu apabila orang fasiq membunuh seorang yang tidak bersalah di rumahnya sendiri, di tempat tidurnya. Sekarang tidak mungkin aku tidak menuntut darahnya daripada tanganmu dan melenyapkan kamu daripada muka bumi!”
12 Kemudian Daud memberikan perintah kepada orang mudanya, dan mereka pun membunuh kedua-duanya. Mereka memotong tangan dan kaki kedua-duanya serta menggantung mereka berdekatan dengan kolam di Hebron. Lalu kepala Isyboset diambil dan dimakamkan di dalam makam Abner di Hebron.

Studi Alkitab lengkap, silahkan lihat Alkitab SABDA :: 2 Samuel 4
Studi Alkitab mobile, silahkan lihat Alkitab Mobi :: 2 Samuel 4

Download Aplikasi Alkitab Karaoke (BETA) Android:
https://play.google.com/store/apps/details?id=org.sabda.alkitabkaraoke
Kunjungi Alkitab Audio Diglot:
AYT - KJV