1 Kebetulan di sana ada seorang yang rendah akhlak bernama Seba anak Bikri, seorang Benyamin. Dia meniup sangkakala dan berkata, “Kita tidak mendapat bahagian daripada Daud, kita tidak mendapat harta pusaka daripada anak Isai itu! Pulanglah ke khemah masing-masing, wahai orang Israel!”
2 Maka semua orang Israel berhenti mengikuti Daud, lalu mereka mengikuti Seba anak Bikri. Akan tetapi, orang Yehuda tetap setia mengikuti raja mereka, dari Sungai Yordan ke Yerusalem.
3 Daud pun sampai di istananya, di Yerusalem. Lalu dia mengumpulkan sepuluh orang gundik yang ditinggalkannya untuk menunggui istana, lalu menempatkan mereka di sebuah rumah yang dijaga. Dia menyediakan keperluan mereka, tetapi tidak meniduri mereka. Maka mereka dipencilkan sehingga hari kematian mereka dan mereka hidup seperti balu.
4 Kemudian raja berkata kepada Amasa, “Kerahkanlah bagiku orang Yehuda dalam tiga hari dan kamu hadirlah lagi di sini.”
5 Maka pergilah Amasa mengerahkan orang Yehuda. Akan tetapi, dia berlambat-lambat sehingga melebihi batas waktu yang ditentukan baginya.
6 Lalu kata Daud kepada Abisai, “Sekarang Seba anak Bikri akan mencederakan kita lebih daripada Absalom. Jadi, bawalah hamba-hamba tuanmu dan kejarlah dia, supaya jangan dia merebut kota-kota yang berkubu dan terselamat daripada kita.”
7 Lalu keluarlah orang Yoab, orang Kreti, orang Pleti, dan semua kesateria untuk mengikutinya. Mereka keluar dari Yerusalem untuk mengejar Seba anak Bikri.
8 Ketika mereka berada dekat dengan batu besar di Gibeon, datanglah Amasa menemui mereka. Pada waktu itu Yoab mengenakan pakaian perang dengan ikat pinggang dan sebilah pedang bersarung yang tersandang di pinggangnya. Ketika dia melangkah maju, pedang itu terjatuh.
9 Kata Yoab kepada Amasa, “Engkau sihat, saudaraku?” Lalu Yoab memegang janggut Amasa dengan tangan kanannya untuk mencium dia.
10 Tetapi Amasa tidak memperhatikan pedang yang ada di tangan kiri Yoab. Lalu Yoab menikamkan pedang itu ke perutnya, sehingga isi perutnya terburai ke tanah. Yoab tidak perlu menikam Amasa lagi kerana dia sudah mati. Setelah itu, Yoab dan Abisai, adiknya, mengejar Seba anak Bikri.
11 Salah seorang anak buah Yoab berdiri di sisi jenazah itu dan berkata, “Sesiapa yang menyukai Yoab dan sesiapa yang memihak kepada Daud, ikutilah Yoab.”
12 Pada waktu itu Amasa terguling di tengah jalan raya dengan berlumuran darah. Ketika dilihatnya seluruh rakyat masih berdiri di situ, disingkirkannya jenazah Amasa dari jalan raya ke padang, lalu ditutupnya jenazah itu dengan sehelai kain, kerana setiap orang yang berlalu di sampingnya berhenti di situ.
13 Setelah jenazah itu dipindahkan dari jalan raya, barulah seluruh rakyat berjalan mengikuti Yoab untuk mengejar Seba anak Bikri.
14 Seba telah melintasi semua daerah suku Israel sampai Abel-Bet-Maakha. Semua orang Bikri telah berkumpul lalu mengikutinya juga.
15 Kemudian datanglah anak buah Yoab mengepungnya di Abel-Bet-Maakha. Mereka mendirikan sebuah benteng di hadapan kota itu sedemikian rupa sehingga benteng itu berada dekat dengan tembok kota. Seluruh pasukan yang menyertai Yoab pun menggempur tembok itu untuk merobohkannya.
16 Kemudian berserulah seorang perempuan yang bijak dari dalam kota itu, “Dengarlah! Dengarlah! Tolong katakan kepada Yoab, ‘Datanglah mendekat ke mari, supaya hamba dapat berbicara dengan tuan.’ ”
17 Ketika Yoab datang mendekat, bertanyalah perempuan itu, “Adakah tuan ini Yoab?” Jawabnya, “Ya!” Kata perempuan itu kepadanya, “Dengarlah kata-kata hambamu ini!” Jawabnya, “Aku dengar!”
18 Kemudian berbicaralah perempuan itu, katanya, “Pada zaman dahulu orang biasa berkata begini, ‘Mintalah petunjuk di Abel’ dan demikianlah cara mereka menyelesaikan perkara.
19 Hamba seorang daripada kalangan yang suka akan damai dan setia di Israel. Tuan berikhtiar untuk memusnahkan sebuah kota, iaitu sebuah kota induk di Israel. Mengapakah tuan hendak menelan habis harta pusaka TUHAN?”
20 Lalu Yoab menjawab demikian, “Janganlah, janganlah aku sekali-kali menelan atau memusnahkan!
21 Bukan begitu maksudku. Akan tetapi, seorang daripada pergunungan Efraim, namanya Seba anak Bikri, telah berniat menghancurkan Raja Daud. Serahkan sahaja dia, maka aku akan meninggalkan kota ini.” Kata perempuan itu kepada Yoab, “Baik, kepalanya akan dilemparkan kepada tuan dari tembok ini.”
22 Kemudian pergilah perempuan itu mendapatkan seluruh rakyat secara bijak. Lalu mereka memenggal kepala Seba anak Bikri dan melemparkannya kepada Yoab. Maka Yoab meniup sangkakala, lalu bubarlah mereka dari kota itu dan masing-masing ke khemahnya. Setelah itu, kembalilah Yoab ke Yerusalem menghadap raja.
23 Yoab mengepalai seluruh tentera Israel. Benaya anak Yoyada mengepalai orang Kreti dan orang Pleti.
24 Adoram mengepalai para buruh paksa manakala Yosafat anak Ahilud menjadi pencatat sejarah.
25 Seya menjadi jurutulis sementara Zadok dan Abyatar menjadi imam.
26 Ira, orang Yair itu, juga menjadi imam bagi Daud.