1 Ahitofel berkata kepada Absalom, “Izinkanlah aku memilih dua belas ribu orang, maka aku akan bersiap dan mengejar Daud malam ini juga.
2 Aku akan mendatanginya ketika dia penat dan tidak berdaya. Aku akan mengejutkannya, sehingga seluruh rakyat yang ada bersamanya akan melarikan diri. Hanya raja sahaja yang akan kubunuh,
3 manakala seluruh rakyat itu akan kubawa pulang kepada tuanku seperti pengantin perempuan dibawa kepada suaminya. Tuanku hanya mencari seorang sahaja, bukan? Oleh itu, seluruh rakyat dapat pulang dengan selamat.”
4 Saranan itu dipandang baik oleh Absalom dan oleh semua tua-tua Israel.
5 Namun demikian, setelah itu Absalom berkata, “Panggillah pula Husai, orang Arki itu, biar kita dengar juga apa yang akan dikatakannya.”
6 Ketika Husai masuk menghadap Absalom, berkatalah Absalom kepadanya, “Demikianlah yang dicadangkan Ahitofel. Patutkah kita ikut cadangannya itu? Jika tidak, cakaplah sahaja!”
7 Lalu kata Husai kepada Absalom, “Kali ini nasihat yang diberikan Ahitofel itu tidak baik.”
8 Kata Husai pula, “Tuanku tahu bahawa ayah Tuanku dan anak buahnya itu memang kesateria, dan mereka sedang panas hati seperti seekor beruang yang kehilangan anaknya di padang. Apatah lagi, ayah tuanku sememangnya seorang pejuang. Tentunya dia tidak akan bermalam bersama-sama rakyat,
9 melainkan sedang bersembunyi di suatu lubang atau di suatu tempat yang lain. Jadi, jika pada serangan awal ada beberapa orang yang tewas, maka sesiapa pun yang mendengarnya akan berkata, ‘Pasukan yang mengikuti Absalom sudah kalah.’
10 Oleh itu, orang yang gagah perkasa pun, yang hati seperti hati singa, akan menjadi takut, kerana semua orang Israel tahu bahawa ayah tuanku memang seorang kesateria dan para anak buahnya juga kalangan yang gagah perkasa.
11 Oleh sebab itu aku menasihatkan supaya semua orang Israel yang ramainya bagaikan pasir di tepi laut, tersebar dari Dan ke Bersyeba, dipanggil untuk bergabung dengan tuanku. Kemudian tuanku sendiri harus pergi bertempur.
12 Kita akan mendatangi dia di tempat mana-mana pun dia berada, lalu kita akan menyergapnya sehingga dia menjadi seperti embun yang jatuh ke bumi. Tidak ada seorang pun yang tertinggal akan hidup, baik dia mahupun semua orang yang menyertainya.
13 Jika dia masuk ke dalam sebuah kota, semua orang Israel akan memasang tali pada kota itu lalu kita akan menyeretnya ke sungai, sehingga sebutir batu kecil pun tidak terdapat lagi di sana.”
14 Kemudian kata Absalom dan semua orang Israel, “Nasihat Husai, orang Arki, lebih baik daripada nasihat Ahitofel.” TUHAN memang berketetapan membatalkan nasihat Ahitofel yang baik itu, supaya TUHAN dapat mendatangkan malapetaka kepada Absalom.
15 Kemudian Husai berkata kepada para imam iaitu Zadok dan Abyatar, “Begitulah yang dinasihatkan Ahitofel kepada Absalom dan para tua-tua Israel, tetapi begini begitulah yang kunasihatkan.
16 Maka sekarang, suruhlah orang dengan segera memberitahu Daud, ‘Jangan bermalam di tempat-tempat penyeberangan sungai di gurun malam ini, tetapi menyeberanglah segera, supaya jangan raja dan seluruh rakyat yang ada bersamanya dimusnahkan.’ ”
17 Pada waktu itu Yonatan dan Ahimaas sedang menunggu di En-Rogel. Ada seorang pelayan perempuan yang biasa pergi menyampaikan khabar kepada mereka, dan kemudian mereka akan pergi untuk memberitahu khabar itu kepada Raja Daud, kerana mereka tidak boleh terlihat masuk ke dalam kota.
18 Namun demikian, kali itu ada seorang pemuda yang melihat mereka lalu melaporkannya kepada Absalom. Oleh itu, Yonatan dan Ahimaas segera pergi, lalu sampai di rumah seseorang di Bahurim yang mempunyai perigi di halamannya. Mereka pun turun ke dalam perigi itu.
19 Kemudian isteri orang itu mengambil kain penutup. Dibentangkannya kain itu di mulut perigi, lalu ditebarkannya butir-butir gandum di atasnya. Tidak ada orang yang mengetahui hal itu.
20 Ketika anak buah Absalom datang kepada perempuan di rumah itu, bertanyalah mereka, “Di manakah Ahimaas dan Yonatan?” Jawab perempuan itu kepada orang itu, “Mereka sudah menyeberangi sungai.” Kemudian mereka mencari-cari, tetapi tidak dapat menemukan kedua-dua orang itu. Maka kembalilah mereka ke Yerusalem.
21 Setelah orang itu pergi, kedua-duanya pun keluar dari dalam perigi, lalu pergi menyampaikan khabar itu kepada Raja Daud. Kata mereka kepada Daud, “Bersiaplah, tuanku, dan seberangilah sungai ini dengan segera, kerana begini begitulah yang dinasihatkan Ahitofel mengenai tuanku.”
22 Kemudian bersiaplah Daud dan segenap rakyat yang menyertainya, lalu mereka menyeberangi Sungai Yordan. Pada waktu fajar menyingsing tidak ada seorang pun yang tertinggal, yang belum menyeberangi Sungai Yordan.
23 Sementara itu, setelah Ahitofel melihat bahawa nasihatnya tidak dituruti, dia pun memasang pelana keldainya, bersiap-siap, lalu pulang ke rumahnya, ke kotanya. Dia membereskan urusan rumah tangganya, kemudian menggantung diri dan mati. Lalu dia dikebumikan di dalam kubur ayahnya.
24 Daud sampai ke Mahanaim. Sementara itu Absalom menyeberangi Sungai Yordan dengan semua orang Israel yang menyertainya.
25 Absalom telah mengangkat Amasa untuk mengepalai tentera sebagai ganti Yoab. Amasa ialah anak Yitra, seorang Ismael yang memperisteri Abigail anak Nahas, saudara perempuan Zeruya, ibu Yoab.
26 Lalu orang Israel dan Absalom berkhemah di Tanah Gilead.
27 Ketika Daud tiba di Mahanaim, datanglah Sobi anak Nahas dari Raba, kota bani Amon, bersama Makhir anak Amiel dari Lodebar, dan Barzilai, orang Gilead dari Rogelim.
28 Mereka membawa tempat tidur, mangkuk, periuk belanga, juga gandum, barli, tepung, emping, kacang hijau, kacang merah,
29 madu, dadih, domba dan keju daripada lembu untuk dimakan oleh Daud serta rakyat yang menyertainya, kerana kata mereka, “Rakyat tentunya berasa lapar, lelah dan haus di gurun.”

Studi Alkitab lengkap, silahkan lihat Alkitab SABDA :: 2 Samuel 17
Studi Alkitab mobile, silahkan lihat Alkitab Mobi :: 2 Samuel 17

Download Aplikasi Alkitab Karaoke (BETA) Android:
https://play.google.com/store/apps/details?id=org.sabda.alkitabkaraoke
Kunjungi Alkitab Audio Diglot:
AYT - KJV