1 Pada tahun kedua belas zaman pemerintahan Ahas, raja Yehuda, Hosea anak Ela menaiki takhta atas Israel di Samaria. Dia bertakhta selama sembilan tahun,
2 dan melakukan apa yang jahat di mata TUHAN walau tidak seperti raja-raja Israel yang mendahuluinya.
3 Kemudian Salmaneser, raja Asyur, maju menyerangnya. Hosea pun takluk kepadanya serta wajib membayar ufti.
4 Akan tetapi, raja Asyur mendapati adanya persekongkolan pada pihak Hosea, kerana Hosea telah mengirim beberapa orang utusan kepada So, raja Mesir, dan tidak lagi mempersembahkan ufti kepada raja Asyur seperti biasanya tahun demi tahun. Oleh sebab itu raja Asyur mengurung dan membelenggunya di dalam penjara.
5 Setelah itu, raja Asyur maju menjelajahi seluruh negeri itu, lalu menyerang Samaria dan mengepungnya selama tiga tahun.
6 Pada tahun kesembilan zaman pemerintahan Hosea, raja Asyur merebut Samaria. Dia membuang orang Israel ke Asyur lalu menyuruh mereka tinggal di Halah dan berdekatan dengan Habor, iaitu sungai di Gozan, serta di kota-kota orang Madai.
7 Hal itu terjadi kerana orang Israel berdosa terhadap TUHAN, Allah mereka, yang telah menuntun mereka keluar dari Tanah Mesir, daripada genggaman Firaun, raja Mesir. Mereka menyembah tuhan-tuhan lain
8 dan hidup menurut kebiasaan bangsa-bangsa yang telah dihalau TUHAN dari hadapan orang Israel, serta menuruti kebiasaan yang dilakukan oleh raja-raja Israel.
9 Secara bersembunyi-sembunyi, orang Israel melakukan hal-hal yang tidak benar di mata TUHAN, Allah mereka. Mereka membina bukit-bukit pemujaan di semua kota mereka, dari menara tinjau sampai ke kota yang berkubu.
10 Mereka mendirikan tiang-tiang berhala dan patung-patung Asyera di atas setiap bukit yang tinggi, juga di bawah setiap pokok yang rimbun.
11 Di sana, di atas segala bukit pemujaan, mereka membakar dupa, seperti yang dilakukan oleh bangsa-bangsa yang telah dibuang TUHAN dari hadapan mereka. Mereka melakukan hal-hal yang jahat, sehingga mereka membangkitkan murka TUHAN.
12 Mereka beribadat kepada berhala-berhala, padahal TUHAN telah berfirman kepada mereka, “Jangan lakukan hal itu.”
13 TUHAN telah mengingatkan Israel dan Yehuda dengan perantaraan semua nabi dan pelihat, firman-Nya, “Berbaliklah daripada jalan hidupmu yang jahat itu dan berpeganglah teguh pada perintah-perintah serta ketetapan-ketetapan-Ku, selaras dengan hukum Taurat yang telah Kuperintahkan kepada nenek moyangmu dan yang telah Kusampaikan kepadamu dengan perantaraan hamba-hamba-Ku, para nabi.”
14 Namun demikian, mereka tidak mahu mendengar malahan mereka mengeraskan hati seperti nenek moyang mereka yang tidak percaya kepada TUHAN, Allah mereka.
15 Mereka menolak segala ketetapan-Nya dan perjanjian yang telah diikat-Nya dengan nenek moyang mereka, juga peraturan-peraturan yang telah disampaikan-Nya kepada mereka. Mereka mengejar kesia-siaan, sehingga mereka menjadi sia-sia. Mereka mengikuti bangsa-bangsa yang ada di sekeliling mereka, padahal TUHAN telah memerintah mereka supaya jangan berlaku seperti kalangan itu.
16 Mereka meninggalkan segala perintah TUHAN, Allah mereka, dan membuat patung tuangan berbentuk dua ekor anak lembu. Mereka membuat patung Asyera, sujud menyembah segala benda langit, dan beribadat kepada Baal.
17 Mereka mempersembahkan anak lelaki dan perempuan mereka sebagai korban yang dibakar. Mereka melakukan tenung dan nujum, serta menjual diri untuk melakukan apa yang jahat di mata TUHAN, sehingga mereka membangkitkan murka-Nya.
18 Oleh sebab itu TUHAN sangat murka terhadap Israel, lalu membuang mereka daripada hadirat-Nya. Tidak ada yang tertinggal kecuali suku Yehuda.
19 Orang Yehuda pun tidak berpegang teguh pada perintah-perintah TUHAN, Allah mereka, melainkan hidup menurut kebiasaan yang dilakukan oleh Israel.
20 Maka TUHAN menolak seluruh keturunan Israel. Dia menindas mereka dan menyerahkan mereka ke dalam tangan para penjarah, sampai Dia membuang mereka daripada hadirat-Nya.
21 Ketika Dia merenggut Israel daripada keluarga Daud, mereka mengangkat Yerobeam anak Nebat menjadi raja. Tetapi Yerobeam membuat orang Israel menyimpang dan tidak mengikuti TUHAN, serta menyebabkan mereka melakukan dosa yang besar.
22 Selanjutnya orang Israel hidup menurut segala dosa yang dilakukan Yerobeam dan tidak menjauhinya,
23 sehingga TUHAN menjauhkan orang Israel daripada hadirat-Nya, seperti yang difirmankan-Nya dengan perantaraan semua hamba-Nya, para nabi. Orang Israel dibuang dari tanah mereka ke Asyur, demikianlah sampai hari ini.
24 Raja Asyur mengangkut orang dari Babel, dari Kuta, dari Awa, dari Hamat, dan dari Sefarwaim, lalu menyuruh mereka tinggal di kota-kota Samaria menggantikan orang Israel. Mereka itu pun menduduki Samaria dan tinggal di kota-kotanya.
25 Ketika mereka mula-mula tinggal di sana, mereka tidak menyembah TUHAN. Oleh sebab itu TUHAN melepaskan singa-singa di tengah-tengah mereka sehingga terbunuh beberapa orang daripada mereka.
26 Kemudian kepada raja Asyur dilaporkan demikian, “Bangsa-bangsa yang tuanku angkut dan tempatkan di kota-kota Samaria itu tidak mengetahui aturan beribadat kepada tuhan negeri itu. Oleh sebab itu Dia melepaskan singa-singa di tengah-tengah mereka. Ketahuilah, singa-singa itu membaham mereka, kerana mereka tidak mengetahui aturan beribadat kepada tuhan negeri itu.”
27 Raja Asyur pun memerintahkan, “Suruhlah ke sana salah seorang imam yang telah kamu buang dari daerah itu. Dia harus pergi dan tinggal di sana untuk mengajar mereka aturan beribadat kepada tuhan negeri itu.”
28 Maka datanglah seorang imam yang telah dibuang dari Samaria, lalu tinggal di Betel. Dia mengajar mereka cara seharusnya menyembah TUHAN.
29 Akan tetapi, setiap bangsa di kota tempat tinggal mereka membuat tuhan sendiri dan menempatkannya di kuil-kuil di atas bukit pemujaan yang dibuat oleh orang Samaria.
30 Orang Babel membuat patung Sukot-Benot, orang Kuta membuat patung Nergal, orang Hamat membuat patung berhala Asima,
31 orang Awa membuat patung Nibhas dan Tartak, manakala orang Sefarwaim membakar anak mereka sebagai korban bagi Adramelekh dan Anamelekh, tuhan-tuhan orang Sefarwaim.
32 Di samping itu, mereka pun menyembah TUHAN dan mengangkat daripada kalangan mereka imam untuk bukit-bukit pemujaan, yang mempersembahkan korban bagi mereka dalam kuil di bukit-bukit pemujaan itu.
33 Jadi, mereka menyembah TUHAN, tetapi juga beribadat kepada berhala-berhala mereka, menurut kebiasaan bangsa-bangsa tempat asal mereka.
34 Sampai hari ini mereka terus menjalankan kebiasaan-kebiasaan mereka yang terdahulu. Mereka tidak menyembah TUHAN dan tidak mengikuti segala ketetapan, peraturan, hukum, atau perintah yang diberikan TUHAN kepada bani Yakub, yang Dia namakan ‘Israel’ itu.
35 Dengan orang Israel TUHAN telah mengikat perjanjian serta memberikan perintah, “Jangan menyembah tuhan-tuhan lain. Jangan sujud, beribadat, ataupun mempersembahkan korban kepada tuhan-tuhan itu.
36 Melainkan, kamu harus bertakwa kepada TUHAN sahaja, yang telah menuntun kamu keluar dari Tanah Mesir dengan kuasa yang besar dan dengan tangan yang terhulur. Kepada-Nyalah kamu harus sujud menyembah, dan kepada-Nyalah kamu harus mempersembahkan korban.
37 Kesemua ketetapan, peraturan, hukum, dan perintah yang telah dituliskan-Nya bagimu, harus kamu pegang teguh dengan melakukannya sepanjang masa. Jangan menyembah tuhan-tuhan lain.
38 Jangan lupakan perjanjian yang telah Kuikat dengan kamu, dan jangan kausembah tuhan-tuhan lain.
39 Sebaliknya, kamu harus menyembah TUHAN, Allahmu. Dialah yang akan melepaskan kamu daripada tangan semua musuhmu.”
40 Meskipun begitu, bangsa-bangsa itu tidak mahu mendengar. Mereka terus menjalankan kebiasaan mereka yang terdahulu.
41 Jadi, mereka menyembah TUHAN, tetapi juga beribadat kepada patung-patung ukiran mereka, begitu jugalah anak cucu mereka. Sampai hari ini mereka melakukan apa yang dilakukan oleh nenek moyang mereka.