1 Pada tahun ketujuh belas zaman pemerintahan Pekah anak Remalya, Ahas anak Yotam, raja Yehuda, menaiki takhta.
2 Ahas berumur dua puluh tahun ketika dia menaiki takhta, dan dia bertakhta di Yerusalem selama enam belas tahun. Dia tidak melakukan apa yang benar di mata TUHAN, Allahnya, seperti yang dilakukan Daud, leluhurnya,
3 melainkan hidup mengikuti jejak raja-raja Israel. Bahkan dia juga mempersembahkan anaknya sebagai korban yang dibakar, sama dengan kekejian bangsa-bangsa yang telah dihalau TUHAN dari hadapan orang Israel.
4 Dia mempersembahkan korban dan membakar dupa di bukit-bukit pemujaan, di atas tempat-tempat tinggi, dan di bawah setiap pokok yang rimbun.
5 Pada waktu itu majulah Rezin, raja Aram, dan Pekah anak Remalya, raja Israel, ke Yerusalem untuk berperang. Mereka mengepung Ahas, tetapi tidak dapat mengalahkannya.
6 Pada masa itu Rezin, raja Aram, mengembalikan Elat kepada Edom dan mengusir orang Yehuda dari Elat. Orang Edom datang ke Elat lalu tinggal di sana sampai hari ini.
7 Kemudian Ahas mengirim beberapa orang utusan kepada Tiglat-Pileser, raja Asyur, dengan pesan, “Aku ini hamba tuan dan anak tuan. Majulah dan selamatkanlah aku daripada tangan raja Aram dan daripada tangan raja Israel yang bangkit menyerang aku.”
8 Ahas mengambil perak dan emas yang terdapat dalam Bait TUHAN dan dalam perbendaharaan istana raja, lalu mengirimkannya sebagai persembahan kepada raja Asyur.
9 Raja Asyur pun mendengar permohonannya, lalu maju menyerang Damsyik. Dia merebut kota itu dan membuang penduduknya ke Kir, manakala Rezin dibunuhnya.
10 Lalu pergilah pula Raja Ahas ke Damsyik untuk menemui Tiglat-Pileser, raja Asyur. Di situ dilihatnya sebuah mazbah, yang ada di Damsyik. Kemudian Raja Ahas mengirimkan kepada Imam Uria gambar mazbah itu, iaitu contohnya, dan juga cara pembuatan keseluruhannya.
11 Maka Imam Uria membina sebuah mazbah menurut semua yang dikirim Raja Ahas dari Damsyik, dan menyelesaikan pembuatannya sebelum Raja Ahas datang dari Damsyik.
12 Setibanya dari Damsyik, raja pun meninjau mazbah itu. Kemudian dihampirinya mazbah itu dan dipersembahkannya korban di atasnya.
13 Dibakarnya korban bakarannya dan juga persembahan bahan makanannya, dicurahkannya persembahan minumannya, serta dipercikkannya darah korban kedamaiannya pada mazbah itu.
14 Mazbah gangsa yang ada di hadapan TUHAN dipindahkannya dari depan Bait itu, iaitu dari antara mazbah buatannya dengan Bait TUHAN, lalu ditaruhnya di sisi utara mazbah buatannya.
15 Kemudian Raja Ahas memberikan perintah kepada Imam Uria, “Di atas mazbah yang besar itu bakarlah korban bakaran pagi dan persembahan bahan makanan petang, korban bakaran dan persembahan bahan makanan raja, serta korban bakaran, persembahan bahan makanan, dan persembahan minuman seluruh rakyat negeri. Percikkanlah padanya semua darah korban bakaran dan semua darah korban sembelihan. Mazbah gangsa itu akan kugunakan untuk mencari petunjuk.”
16 Imam Uria melakukan semua yang diperintahkan Raja Ahas.
17 Selanjutnya Raja Ahas memotong papan penutup wadah-wadah penopang dan menyingkirkan bejana pembasuhan dari atasnya. Dia juga menurunkan kolam dari atas lembu-lembu gangsa yang menopangnya, lalu menaruhnya di atas sebuah alas batu.
18 Serambi tertutup untuk hari Sabat yang dibina dalam Bait itu serta pintu masuk untuk raja yang di sebelah luar, disingkirkannya dari Bait TUHAN demi raja Asyur.
19 Riwayat Ahas selebihnya, apa yang dilakukannya, bukankah semuanya tertulis dalam kitab hikayat raja-raja Yehuda?
20 Lalu Ahas dibaringkan bersama nenek moyangnya dan dimakamkan di sisi nenek moyangnya di Kota Daud. Maka Hizkia, anaknya, menaiki takhta untuk menggantikannya.

Studi Alkitab lengkap, silahkan lihat Alkitab SABDA :: 2 Raja-raja 16
Studi Alkitab mobile, silahkan lihat Alkitab Mobi :: 2 Raja-raja 16

Download Aplikasi Alkitab Karaoke (BETA) Android:
https://play.google.com/store/apps/details?id=org.sabda.alkitabkaraoke
Kunjungi Alkitab Audio Diglot:
AYT - KJV