1 Sebagai rakan-rakan sekerja, kami meminta kepadamu, janganlah sia-siakan kasih kurnia Allah yang telah kamu terima,
2 kerana demikianlah firman-Nya, “Aku telah mendengar kata-katamu ketika Aku berkenan dan pada hari penyelamatan, Aku telah menolongmu.” Sekaranglah waktunya Allah berkenan dan sekaranglah hari penyelamatan itu.
3 Dalam hal apa jua, kami tidak menyebabkan orang tersandung, supaya pengabdian kami tidak dicela.
4 Sebaliknya, dalam semua hal, kami telah membuktikan bahawa kami bersikap secara yang wajar bagi hamba-hamba Allah. Kami cukup tabah menghadapi kesusahan, kesulitan dan kesempitan,
5 sebatan, pemenjaraan, huru-hara, penat lelah, bercekang mata, dan keadaan lapar.
6 Kami hidup dalam kesucian, pengetahuan, kesabaran, baik budi, dalam Roh Kudus, dan dalam kasih sejati.
7 Kami menyampaikan kebenaran, dan hidup dalam kuasa Allah. Kami bersenjatakan perbenaran, di tangan kanan dan kiri.
8 Kami dimuliakan dan dihina, dikeji dan dipuji. Kami dipanggil penipu sedangkan kami benar.
9 Kami dianggap tidak dikenali, padahal terkenal. Kami disangka sudah hampir mati, tetapi ternyata masih hidup. Kami dibelasah, namun tidak dibunuh.
10 Kami disedihkan, tetapi sentiasa gembira. Kami miskin, namun ramai yang kami perkaya. Kami tidak memiliki apa-apa, tetapi kami mempunyai segala-galanya.
11 Wahai orang Korintus! Kami telah bercakap terus terang kepadamu, hati kami terbuka luas.
12 Kamu terbatas bukanlah oleh kami tetapi oleh perasaanmu sendiri.
13 Oleh itu, aku berkata seperti kepada anak-anak, bukalah hatimu supaya antara kita saling berterus terang.
14 Janganlah berpasangan dengan orang yang tidak beriman. Pasangan begitu tidak sepadan; kerana adakah persamaan antara yang benar dengan yang derhaka? Dapatkah terang bersatu dengan gelap?
15 Adakah muafakat antara Kristus dengan Belial? Adakah kesamaan antara orang yang beriman dengan orang yang tidak beriman?
16 Apakah hubungannya antara bait Allah dengan berhala-berhala? Kita ialah bait Allah yang hidup, seperti dalam firman-Nya, “Aku akan tinggal dalam mereka dan berjalan di antara mereka. Aku akan menjadi Allah mereka dan mereka akan menjadi umat-Ku.”
17 Oleh itu, “Keluarlah daripada kalangan mereka, dan asingkanlah dirimu daripada mereka,” demikianlah firman Tuhan. “Jangan sentuh yang najis, maka Aku akan menerimamu”
18 “Aku akan menjadi Bapamu, dan kamu, anak-anak-Ku lelaki perempuan, demikianlah firman Tuhan Yang Maha Kuasa.”

Studi Alkitab lengkap, silahkan lihat Alkitab SABDA :: 2 Korintus 6
Studi Alkitab mobile, silahkan lihat Alkitab Mobi :: 2 Korintus 6

Download Aplikasi Alkitab Karaoke (BETA) Android:
https://play.google.com/store/apps/details?id=org.sabda.alkitabkaraoke
Kunjungi Alkitab Audio Diglot:
AYT - KJV