1 Oleh sebab kita telah mendapat janji-janji itu, saudara-saudara yang kukasihi, sucikanlah diri daripada segala yang menajiskan tubuh atau roh, dan sempurnakan kesucian kita dengan rasa takut kepada Allah.
2 Berikanlah tempat bagi kami dalam hatimu. Kami tidak pernah berbuat salah kepada sesiapa. Kami tidak pernah merosakkan iman atau memperalatkan sesiapa.
3 Aku berkata demikian bukan untuk menyalahkan kamu, kerana tadi aku menyatakan bahawa kamu telah mendapat tempat dalam hati kami, maka kita sehidup semati.
4 Aku sangat mempercayaimu dan berbangga denganmu. Aku sangat terhibur, dan dalam segala kesusahan kami, hatiku dipenuhi kegembiraan.
5 Setelah sampai di Makedonia, ternyata kami langsung tidak mengalami ketenangan dalam batin. Kami menanggung pelbagai kesusahan: persengketaan dari luar, dan ketakutan dalam diri sendiri.
6 Tetapi Allah, yang menghibur orang yang putus asa, menghibur kami dengan kedatangan Titus.
7 Bukan kedatangannya sahaja yang menghibur, malah juga penghiburan yang didapatinya keranamu. Dia bercerita kepada kami tentang kerinduanmu, penyesalanmu, dan kesungguhan semangatmu menyokongku, yang lebih menggembirakan lagi hatiku.
8 Walaupun aku telah menyedihkanmu dengan surat yang kukirim, aku tidak menyesal. Pada suatu ketika memang aku menyesal, kerana jelas sekali surat itu telah menyedihkanmu, biarpun untuk beberapa detik.
9 Tetapi kini aku gembira, bukan kerana kamu bersedih, tetapi kerana kesedihanmu itu membawa taubat. Ertinya, memanglah kamu bersedih, tetapi hal itu selaras dengan kehendak Allah, maka kami tidaklah merugikanmu.
10 Kesedihan yang selaras dengan kehendak Allah membawa taubat dan penyelamatan, maka tidak harus disesali. Sebaliknya, kesedihan dari dunia ini membawa maut.
11 Perhatikan bahawa kesedihanmu itu selaras dengan kehendak Allah. Betapa hebatnya yang dicetuskan dalam dirimu: kesungguhan, keinginan membersihkan diri daripada tuduhan, kemarahan, ketakutan, kerinduan, semangat, dan usaha menegakkan keadilan. Dari segala segi kamu telah membuktikan dirimu suci dalam hal ini.
12 Kutulis surat itu kepadamu bukan untuk orang yang melakukan kesalahan itu, dan bukan pula untuk orang yang menjadi mangsa kesalahan itu, tetapi supaya perhatian kami terhadapmu di hadapan Allah ternyata kepadamu.
13 Oleh sebab itulah kami berasa terhibur. Tetapi selain itu, kami berasa lebih gembira lagi melihat kegembiraan Titus, kerana kamu telah menenteramkan hatinya.
14 Aku telah berbangga denganmu di hadapan Titus dan aku tidak malu berbuat demikian. Sebagaimana dalam hal-hal lain kami bercakap benar kepadamu, kata-kata bangga kami terhadapmu di hadapan Titus juga ternyata benar.
15 Kasihnya kepadamu kian mendalam apabila dia mengingati ketaatanmu, dan betapa kamu telah menyambutnya dengan takut dan gementar.
16 Aku gembira kerana aku dapat mempercayaimu dalam segala hal.

Studi Alkitab lengkap, silahkan lihat Alkitab SABDA :: 2 Korintus 7
Studi Alkitab mobile, silahkan lihat Alkitab Mobi :: 2 Korintus 7

Download Aplikasi Alkitab Karaoke (BETA) Android:
https://play.google.com/store/apps/details?id=org.sabda.alkitabkaraoke
Kunjungi Alkitab Audio Diglot:
AYT - KJV