1 Tentu sekali tiada faedahnya aku berbangga. Aku akan menceritakan penglihatan dan wahyu yang kudapati daripada Tuhan.
2 Aku mengenal seorang dalam Kristus. Empat belas tahun lalu, orang itu dibawa ke langit yang ketiga (sama ada di dalam tubuh atau di luar tubuh aku tidak tahu, Allah yang mengetahuinya).
3 Aku tahu orang itu (sama ada di dalam tubuh atau di luar tubuh aku tidak tahu, Allah yang mengetahuinya)
4 dibawa ke Firdaus lalu mendengar kata-kata yang tidak terperikan, yang tidak boleh dituturkan oleh manusia.
5 Aku berbangga dengan orang itu, tetapi aku tidak akan berbangga dengan diriku, kecuali kelemahan-kelemahanku.
6 Walaupun jikanya aku ingin berbangga, aku bukanlah bodoh, kerana aku menyatakan yang benar. Tetapi aku tidak akan melakukannya, supaya jangan ada orang yang menilaiku lebih tinggi daripada yang dilihatnya tentangku dan yang didengarnya daripadaku.
7 Supaya aku tidak terasa terlalu tinggi kerana begitu dilimpahi wahyu, aku telah diberi duri dalam daging, utusan Iblis, untuk menyakitiku.
8 Sudah tiga kali aku memohon kepada Tuhan supaya seksa ini disisihkan daripadaku.
9 Tetapi firman-Nya, “Cukuplah kasih kurnia-Ku bagimu, kerana kekuatan-Ku menjadi sempurna dalam kelemahan.” Oleh itu, aku paling rela berbangga tentang kelemahan-kelemahanku, supaya kuasa Kristus menaungiku.
10 Oleh itu, aku rela menanggung pelbagai kelemahan, celaan, kesempitan, penganiayaan dan kesusahan untuk Kristus; kerana apabila aku lemah, ketika itulah aku kuat.
11 Aku telah berbangga selaku orang bodoh. Kamu telah memaksaku berbuat demikian. Sepatutnya kamu memberiku penghargaan; kerana aku tidak kurang daripada rasul-rasul terunggul itu, walaupun aku orang yang tidak penting.
12 Tanda-tanda kerasulanku telah ditunjukkan kepadamu dengan sepenuhnya, iaitu pelbagai tanda ajaib dan mukjizat.
13 Dari segi apakah kamu kurang daripada jemaah-jemaah lain, kecuali aku tidak membebanimu? Maafkan kesalahanku itu!
14 Kini, bagi kali ketiga, aku bersedia mengunjungi kamu. Aku tidak akan membebani kamu, kerana aku menghendaki kamu, bukan hartamu. Tidaklah wajar anak-anak mengumpulkan harta untuk ibu bapa. Ibu bapalah yang patut mengumpulkan harta untuk anak-anak.
15 Aku rela berbelanja malah berhabis untukmu. Oleh itu, jika kasihku semakin kulimpahkan kepadamu, wajarkah aku semakin kurang dikasihi?
16 Walau bagaimanapun, aku tidak membebanimu. Namun demikian, aku dikatakan pandai memperdaya dan menawanmu dengan tipu helah!
17 Pernahkah aku memperdayamu melalui orang yang telah kuutus kepadamu?
18 Aku telah meminta Titus pergi mengunjungimu, bersama seorang lagi saudara kita. Adakah Titus memperdayamu? Tidakkah kami hidup menurut roh yang sama? Tidakkah kami bertindak dengan langkah-langkah yang sama?
19 Adakah kamu menyangka kami membela diri di hadapanmu? Kami bersuara di hadapan Allah dalam Kristus. Kami melakukan segala-galanya untuk menguatkanmu, saudara-saudara yang kukasihi.
20 Aku takut kalau-kalau ketika aku datang nanti, aku mendapatimu tidak seperti yang kuharapkan dan kamu mendapatiku tidak seperti yang kamu harapkan. Janganlah hendaknya ketika itu aku menemui pertengkaran, hasad dengki, kemarahan, sikap mementingkan diri, umpat-mengumpat, desas-desus, keangkuhan, dan huru-hara.
21 Aku harap, ketika aku datang kelak, janganlah aku dipermalu oleh Allahku di hadapanmu dan bersedih kerana ramai yang dahulu berbuat dosa tetap tidak bertaubat daripada kekejian, pencabulan dan keliaran hawa nafsu dalam kehidupan mereka.

Studi Alkitab lengkap, silahkan lihat Alkitab SABDA :: 2 Korintus 12
Studi Alkitab mobile, silahkan lihat Alkitab Mobi :: 2 Korintus 12

Download Aplikasi Alkitab Karaoke (BETA) Android:
https://play.google.com/store/apps/details?id=org.sabda.alkitabkaraoke
Kunjungi Alkitab Audio Diglot:
AYT - KJV