1 Pada waktu itu berkatalah Salomo, “TUHAN telah berfirman bahawa Dia bersemayam dalam kelam pekat.
2 Aku telah membina bait agung bagi hadirat-Mu, tempat Engkau hadir selama-lamanya.”
3 Kemudian raja berpaling dan memohonkan berkat untuk seluruh jemaah Israel, ketika seluruh jemaah Israel berdiri.
4 Dia berkata, “Segala puji bagi TUHAN, Allah Israel! Dia sendiri telah berfirman kepada Daud, ayahku, dan telah menggenapinya dengan kuasa-Nya. Firman-Nya,
5 ‘Sejak Aku membawa umat-Ku keluar dari Tanah Mesir, tidak ada kota yang Kupilih di antara semua suku Israel untuk membina sebuah bait supaya nama-Ku tinggal di sana, dan tidak ada orang yang Kupilih untuk menjadi pemimpin atas umat-Ku Israel.
6 Tetapi kemudian Aku memilih Yerusalem supaya nama-Ku tinggal di sana, dan Aku memilih Daud untuk mengepalai umat-Ku Israel.’
7 Daud, ayahku, berniat membina sebuah bait bagi nama TUHAN, Allah Israel,
8 Tetapi TUHAN berfirman kepada Daud, ayahku, ‘Niatmu untuk membina bait bagi nama-Ku itu memang baik.
9 Akan tetapi, bukan engkau yang akan membina bait itu, melainkan anak kandungmu yang akan lahir kelak. Dialah yang akan membina bait bagi nama-Ku.’
10 Sekarang TUHAN telah menepati firman yang disampaikan-Nya, kerana aku telah bangkit untuk menggantikan Daud, ayahku. Aku telah duduk di atas takhta kerajaan Israel, seperti yang difirmankan TUHAN, dan telah membina bait bagi nama TUHAN, Allah Israel.
11 Di sana telah kutempatkan tabut berisi perjanjian TUHAN, yang diikat-Nya dengan orang Israel.”
12 Salomo berdiri menghadap mazbah TUHAN, di hadapan seluruh jemaah Israel, lalu menadahkan tangannya.
13 Memang Salomo telah membuat mimbar gangsa yang sepanjang lima hasta, selebar lima hasta, dan setinggi tiga hasta. Dia meletakkan mimbar itu di tengah-tengah halaman, berdiri di atasnya, lalu berlutut di hadapan seluruh jemaah Israel sambil menadahkan tangannya ke langit.
14 Katanya, “Ya TUHAN, Allah Israel, tidak ada Allah yang seperti Engkau, baik di langit mahupun di bumi. Engkau berpegang teguh pada perjanjian dan kasih abadi bagi hamba-hamba-Mu yang hidup di hadapan-Mu dengan segenap hati mereka.
15 Engkau yang berpegang teguh pada apa yang Kaujanjikan kepada hamba-Mu Daud, ayahku. Engkau sendiri telah berfirman lalu mengotakannya dengan kuasa-Mu, seperti yang terjadi pada hari ini.
16 Sekarang, ya TUHAN, Allah Israel, peganglah apa yang telah Kaujanjikan kepada hamba-Mu Daud, ayahku, dengan berfirman, ‘Di hadapan-Ku, tidak akan terputus keturunanmu yang akan duduk di atas takhta kerajaan Israel, asalkan anak-anakmu tetap hidup menurut hukum Taurat, sebagaimana engkau telah hidup di hadapan-Ku.’
17 Sekarang, ya TUHAN, Allah Israel, biarlah terbukti firman yang Kausampaikan kepada hamba-Mu Daud.
18 Akan tetapi, sungguhkah Allah mahu tinggal bersama-sama manusia di atas bumi? Sesungguhnya, langit bahkan langit di atas segala langit pun tidak dapat memuat Engkau, apa lagi bait yang kubangunkan ini!
19 Tiliklah doa dan permohonan hamba-Mu ini, ya TUHAN, Allahku. Dengarlah seruan dan doa yang hamba-Mu panjatkan di hadirat-Mu ini.
20 Semoga siang dan malam mata-Mu terbuka terhadap bait ini, terhadap tempat yang Kaufirmankan bahawa Engkau akan menegakkan nama-Mu di sini. Dengarlah doa yang dipanjatkan hamba-Mu dengan menghadap ke tempat ini.
21 Dengarlah kiranya permohonan hamba-Mu dan umat-Mu Israel ketika mereka berdoa dengan menghadap ke tempat ini. Dengarlah dari tempat tinggal-Mu di syurga, dan ampunilah kami ketika Engkau mendengarkannya.
22 Jika seseorang berdosa terhadap sesamanya, dia harus mengangkat sumpah, dan datang bersumpah di depan mazbah-Mu di bait ini,
23 maka dengarlah kiranya di syurga dan bertindaklah. Adililah hamba-hamba-Mu, balaslah orang yang bersalah, dan timpakanlah perbuatannya pada dirinya sendiri. Pertahankanlah orang benar, dan ganjarlah dia selaras dengan perbenarannya.
24 Jika umat-Mu Israel dikalahkan oleh musuh kerana mereka berdosa terhadap Engkau, kemudian mereka berbalik kepada-Mu, mengakui keagungan nama-Mu, berdoa, dan memohon belas kasihan di hadapan-Mu di bait ini,
25 maka dengarlah kiranya di syurga. Ampunkanlah dosa umat-Mu Israel dan bawalah mereka kembali ke tanah yang telah Kaukurniakan kepada mereka serta nenek moyang mereka.
26 Apabila langit tertutup dan hujan tidak kunjung turun kerana mereka telah berdosa terhadap Engkau, lalu mereka berdoa dengan menghadap ke tempat ini, mengakui keagungan nama-Mu, dan berbalik daripada dosa mereka kerana Engkau telah menindas mereka,
27 maka dengarlah kiranya di syurga. Ampunkanlah dosa hamba-hamba-Mu dan umat-Mu, Israel – kerana Engkaulah yang mengajar mereka jalan baik yang patut ditempuh mereka – dan turunkanlah hujan ke tanah-Mu, yang telah Kaukurniakan kepada umat-Mu sebagai harta pusaka.
28 Jika ada bencana kebuluran di negeri, penyakit sampar, kelayuan tanaman, penyakit bijirin, belalang besar, dan belalang pemusnah; jika musuh mengepung salah sebuah kota di negeri mereka; jika ada wabak atau penyakit apa-apa pun,
29 lalu seseorang atau seluruh umat-Mu Israel memanjatkan suatu doa atau permohonan sambil menadahkan tangan dengan menghadap ke bait ini kerana masing-masing mengetahui kesusahan dan penderitaan sendiri,
30 maka dengarlah dari tempat tinggal-Mu di syurga. Ampunilah, dan balaslah setiap orang selaras dengan segala jalan hidupnya kerana Engkau mengetahui isi hatinya – hanya Engkaulah yang mengetahui isi hati anak-anak manusia.
31 Dengan demikian mereka akan takut kepada-Mu dan hidup menurut jalan-Mu selama mereka hidup di tanah yang telah Kaukurniakan kepada nenek moyang kami.
32 Juga bagi orang asing yang tidak termasuk umat-Mu Israel, yang datang dari negeri jauh kerana nama-Mu yang besar, tangan-Mu yang perkasa, dan lengan-Mu yang terhulur, apabila dia datang berdoa dengan menghadap ke bait ini,
33 maka dengarlah kiranya dari syurga, tempat tinggal-Mu. Bertindaklah selaras dengan semua yang diserukan kepada-Mu oleh orang asing itu. Dengan demikian, segala bangsa di bumi dapat mengenal nama-Mu serta takut kepada-Mu seperti umat-Mu, Israel, dan mereka tahu bahawa nama-Mu diserukan atas bait yang kubangunkan ini.
34 Jika umat-Mu maju berperang melawan musuh-musuh mereka, ke mana-mana pun Kausuruh mereka, dan jika mereka berdoa kepada-Mu dengan berkiblat ke kota yang Kaupilih serta ke bait yang kubangunkan bagi nama-Mu,
35 maka dengarlah kiranya di syurga doa dan permohonan mereka. Belalah perkara mereka.
36 Jika mereka berdosa terhadap Engkau – kerana tidak ada manusia yang tidak berdosa – dan Engkau murka terhadap mereka serta menyerahkan mereka kepada musuh sehingga mereka dibuang sebagai tawanan ke negeri yang jauh atau yang dekat,
37 dan jika mereka sedar akan diri di negeri tempat mereka tertawan, lalu berbalik serta memohon belas kasihan kepada-Mu di negeri tempat mereka tertawan itu dengan berkata, ‘Kami telah berdosa, bersalah, dan berbuat fasiq;’
38 jika mereka berbalik kepada-Mu dengan segenap hati dan dengan segenap jiwa di negeri tempat mereka tertawan, iaitu tempat kalangan yang menawan mereka; dan jika mereka berdoa dengan berkiblat ke negeri yang telah Kaukurniakan kepada nenek moyang mereka, ke kota yang telah Kaupilih, serta ke bait yang telah kubangunkan bagi nama-Mu,
39 maka dengarlah kiranya doa dan permohonan mereka dari tempat tinggal-Mu di syurga. Belalah perkara mereka, dan ampunilah umat-Mu yang telah berdosa terhadap Engkau.
40 Sekarang, ya Allahku, biarlah mata-Mu terbuka dan telinga-Mu mendengar doa yang dipanjatkan di tempat ini:
41 Ya TUHAN Allah, segeralah hadir di tempat Engkau bersemayam, Engkau dengan tabut kekuatan-Mu. Biarlah para imam-Mu, ya TUHAN Allah, menyarungkan penyelamatan, dan biarlah orang salih-Mu bersorak-sorai kerana kebaikan-Mu.
42 Ya TUHAN Allah, janganlah berpaling daripada orang yang telah Kaulantik. Ingatlah kasih abadi-Mu kepada Daud, hamba-Mu itu.”

Studi Alkitab lengkap, silahkan lihat Alkitab SABDA :: 2 Tawarikh 6
Studi Alkitab mobile, silahkan lihat Alkitab Mobi :: 2 Tawarikh 6

Download Aplikasi Alkitab Karaoke (BETA) Android:
https://play.google.com/store/apps/details?id=org.sabda.alkitabkaraoke
Kunjungi Alkitab Audio Diglot:
AYT - KJV