1 Setibanya Rehabeam di Yerusalem, dia mengumpulkan keturunan kaum Yehuda dan Benyamin, seratus lapan puluh ribu orang pilihan yang siap bertempur, untuk berperang melawan orang Israel dan mengembalikan kerajaan itu kepada Rehabeam.
2 Tetapi datanglah firman TUHAN untuk Semaya, hamba Allah, demikian,
3 “Katakanlah kepada Rehabeam anak Salomo, raja Yehuda, dan kepada semua orang Israel di Yehuda dan Benyamin,
4 ‘Beginilah firman TUHAN, “Jangan maju dan jangan berperang melawan para saudaramu. Pulanglah ke rumah masing-masing, kerana hal ini berasal daripada Aku.” ’ Mereka mendengar firman TUHAN lalu pulang tanpa maju menyerang Yerobeam.
5 Rehabeam tinggal di Yerusalem dan membina kota-kota berkubu di Yehuda.
6 Dia membina Betlehem, Etam, Tekoa,
7 Bet-Zur, Sokho, Adulam,
8 Gat, Maresa, Zif,
9 Adoraim, Lakhis, Azeka,
10 Zora, Ayalon, dan Hebron, kota-kota berkubu yang terletak di wilayah Yehuda serta Benyamin.
11 Dia memperkuat kota-kota berkubu itu dan menempatkan pemimpin-pemimpin di situ lengkap dengan persediaan makanan, minyak, dan juga air anggur.
12 Di setiap kota disediakannya perisai dan tombak. Dia menjadikan kota-kota itu sangat kuat. Demikianlah Yehuda dan Benyamin menjadi miliknya.
13 Kemudian para imam dan bani Lewi dari semua daerah kediaman mereka di seluruh Israel menggabungkan diri dengan Rehabeam.
14 Bani Lewi meninggalkan padang ragut serta milik mereka, lalu pergi ke Yehuda dan Yerusalem, kerana Yerobeam dan anak-anaknya melarang mereka daripada menjalankan tugas sebagai imam-imam TUHAN.
15 Yerobeam mengangkat bagi dirinya imam untuk bukit-bukit pemujaan, untuk penyembahan patung kambing dan anak lembu yang dibuatnya.
16 Bani Lewi itu diiringi oleh kalangan daripada segala suku Israel yang menetapkan hati mereka untuk mencari hadirat TUHAN, Allah Israel. Mereka datang ke Yerusalem untuk mempersembahkan korban kepada TUHAN, Allah nenek moyang mereka.
17 Mereka memperkuat kerajaan Yehuda dan memantapkan kedudukan Rehabeam anak Salomo tiga tahun lamanya, kerana selama tiga tahun itu mereka hidup mengikuti jejak Daud dan Salomo.
18 Rehabeam memperisteri Mahalat, anak Yerimot anak Daud dengan Abihail anak Eliab anak Isai.
19 Perempuan itu melahirkan baginya beberapa orang anak lelaki: Yeus, Semarya, dan Zaham.
20 Sesudah Mahalat, dia memperisteri Maakha anak Absalom yang melahirkan baginya Abia, Atai, Ziza, dan Selomit.
21 Rehabeam mencintai Maakha anak Absalom lebih daripada semua isteri dan gundiknya. Dia mempunyai lapan belas orang isteri dan enam puluh orang gundik, serta dikurniai dua puluh lapan anak lelaki dan enam puluh orang anak perempuan.
22 Rehabeam mengangkat Abia, anak Maakha, sebagai ketua dan pemimpin antara saudaranya, kerana dia bermaksud untuk menjadikannya raja.
23 Dia bertindak bijak dengan menyebarkan semua anaknya ke seluruh Tanah Yehuda dan Benyamin, di semua kota berkubu. Dia memberi mereka makanan dengan limpahnya dan mencarikan ramai isteri bagi mereka.

Studi Alkitab lengkap, silahkan lihat Alkitab SABDA :: 2 Tawarikh 11
Studi Alkitab mobile, silahkan lihat Alkitab Mobi :: 2 Tawarikh 11

Download Aplikasi Alkitab Karaoke (BETA) Android:
https://play.google.com/store/apps/details?id=org.sabda.alkitabkaraoke
Kunjungi Alkitab Audio Diglot:
AYT - KJV